Saya bahagikan buku pembacaan kepada 7 kategori:

1) Kategori Wajib Sampai Lumat : Buku rujukan malar hijau (evergreen) wajib untuk memiliki penguasaan yang baik untuk pengkhususan yang anda pilih. Misalnya buku silibus universiti, ataupun matan-matan klasik yang padat untuk penuntut ilmu. Jika pengkhususan anda ialah usul fiqh, misalnya, maka kategori ini merangkumi semua buku utama sebagai ‘paksi’ keilmuan usul fiqh anda, serta buku-buku asas segala ilmu syariah lain, seperti tafsir, ilmu hadis, syarah hadis, seerah, aqidah, dan sebagainya. Buku-buku ini wajib dikhatamkan, dijadikan rujukan asas, dan setiap kali dirasakan anda perlu ulangkaji, ulangkaji.

2) Kategori Perlu Ulangkaji: Buku rujukan malar hijau yang kandungan ilmiahnya lebih mendalam dari kategori (1), tetapi tidaklah sampai ke tahap wajib. Cuba berusaha untuk khatam, dan jadikan rujukan. Dan jika larat diulang, ulang. Buku kategori ini sangat elok jika diulang setiap beberapa tahun sekali untuk menyegarkan kefahaman.

3) Kategori Perlu Khatam Sekali: Buku berkaitan bidang anda yang anda rasa elok dikhatam paling kurang sekali untuk mendapat pendedahan mengenainya, tetapi tidaklah terasa perlu untuk mengulangnya. Seandainya selepas khatam sekali, dirasakan ada keperluan untuk diulang, sama ada secepat mungkin ataupun beberapa tahun sekali, ertinya ia layak untuk dimasukkan ke kategori (2), masukkan.

4) Kategori ‘Disunatkan’ Khatam Sekali: Buku yang berkaitan bidang anda, tetapi dirasakan hanya perlu khatam sekali. Berbeza dengan kategori (3), kategori ini ialah buku yang tidak terasa urgensi untuk dibaca, iaitu jika tidak berkesempatan dibaca pun, anda tidak rasa begitu kerugian bila memikirkan fokus penumpuan pengkhususan yang anda pilih. Mungkin ia buku syariah juga bagi pelajar usul fiqh tadi, tapi kajian lebih spesifik bidang tafsir misalnya.

5) Kategori Sampingan: Buku yang mengandungi ilmu atau pengajaran tetapi implikasinya tidak serius seperti kategori (1) hingga (4). Biasanya buku luar bidang, bidang sains politik, kewangan atau perubatan bagi pelajar usul fiqh tadi misalnya. Kadang-kadang, seandainya anda kebetulan berjumpa buku yang membuatkan anda terasa yang ia perlu dijadikan rujukan asas sepanjang hayat (selagi relevan) untuk suatu bidang yang bukan fokus anda, misalnya kewangan atau perubatan untuk pelajar usul fiqh tadi, boleh sahaja untuk memasukkannya dalam kategori (1) atau (2), iaitu jika ia tidak terlalu mendalam atau panjang lebar tetapi mencukupi untuk menjadi pengetahuan asas anda dalam bidang itu. Tetapi biasanya buku ini sekadar dibaca untuk mengisi masa lapang, merehatkan fikiran, dan menambah pengetahuan am.

6) Kategori Rujukan Tebuk-Tebuk: Buku-buku rujukan besar yang tak larat dikhatamkan tetapi perlu dijadikan rujukan. Ia sepenting kategori (1) dan (2) tadi, cuma tak sempat dikhatamkan. Kamus dan ensiklopedia juga kategori ini. Ataupun kebanyakan kitab turath yang melebihi 5 jilid.

7) Kategori Fiksyen: Untuk merehatkan fikiran, serta untuk supaya minda tidak terlalu kaku. Saya bahagikan kepada dua kategori: a) Yang berbaloi dibaca lebih dari sekali, tetapi kebanyakannya b) yang cukuplah dikhatamkan hanya sekali.

Pembahagian ini untuk saya sangat bermanfaat untuk merancang dan memberi prioriti untuk buku yang hendak dibaca, dicari, atau diulang khatam. Kerana yang sangat berperanan dalam membina diri itu bukan sahaja berapa banyak yang dibaca, tetapi bagaimana memilih, membaca, berinteraksi dengan apa yang dibaca, dan menjadikannya dapat dimanfaatkan.

Wallahua’lam.

credit : Muhd Eirfan