[ Pertama ]
? Usul fiqh merupakan ilmu tentang kaedah mengeluarkan hukum syara’ daripada dalil-dalinya seperti al-Qur`an, al-Sunnah, ijma, qiyas, istihsan dan sebagainya.
?Qawaid fiqh membincangkan hukum fiqh itu sendiri berdasarkan kepada kaedah yang dikumpulkan daripada hukum-hukum yang mempunyai persamaan dari sudut yang tertentu. Seperti kaedah tentang niat, syak, mudarat, adat, rukhsah dan sebagainya.

[ Kedua ]
? Dari segi punca dan tempat ambilan, usul fiqh berpunca dari perbahasan lafaz-lafaz dalam Arab, nahu, saraf, balaghah. Kaedah ini diperolehi secra istiqra` atau induktif terhadap teks-teks Arab, syair dan khutbah.
?Sedangkan qawaid fiqh diperolehi daripada hukum syara’ yang lima, fatwa-fatwa dan masalah-masalah fiqh.

[ Ketiga ]
? Kaedah-kaedah dalam usul fiqh lebih khusus kepada ahli ijtihad dan ahli fatwa dalam usahanya untuk menyimpulkan hukum syara’ dari dalil-dalinya, begitu juga dalam menyelesaikan hukum masalah yang tidak disebutkan hukumnya dalam dalil-dali muktabar dan permasalahan baru (nawazil).
?Qawaid fiqh pula lebih khusus dengan ahli fiqh atau pelajar yang menjadikannya rujukan untuk mengetahui hukum-hukum furu’ sebagai alternative kepada merujuk bab-bab yang banyak.

Sifat kaedah usul fiqh adalah umum dan menyeluruh manakala qawaid fiqh mempunyai juga pengecualian oleh sebab itu ia disebutkan juga sebagai kaedah aghlabiyyah iaitu kaedah kebanyakan bukan umum kulli.

[ Keempat ]
?Fokus perbincangan bertopik ataupun maudu’ bagi ilmu usul al-fiqh adalah dalil dan juga hukum. Manakala kaedah fiqh lebih tertumpu kepada perbuatan mukallaf.

Sebagai contohnya, di dalam ilmu usul fiqh terdapatnya sebuah kaedah usuliyyah yang
disebutkan iaitu :

الأَمْرُ لِلْوُجُوبِ إِلَّا أَنْ تصرفُهُ قَرِينَة
“Kata perintah membawa kepada hukum wajib kecuali jika terdapat qarinah yang mengalihkan daripada wajib kepada sunat.”

Kaedah di atas jelas menunjukkan bahawa ilmu usul fiqh lebih menumpukan kepada dalil dan hukum. Justeru, jika dilihat kepada nas-nas al-Quran ataupun hadith yang terdapat padanya kata perintah maka ia membawa kepada hukum wajib selagi mana tidak terdapat petunjuk lain yang mengalihkannya dari hukum tersebut.

Manakala contoh bagi kaedah fiqh adalah seperti:

الضَّرَرُ يُزَال

Maksudnya: Perkara yang memberi mudharat itu hendaklah dihilangkan.

Daripada kaedah fiqh ini kita dapat melihat bahawa setiap perbuatan mukallaf yang mendatangkan mudharat hendaklah dihilangkan. Maka kita mendapati bahawa kaedah fiqh memberikan tumpuan kepada perbuatan mukallaf.

[ Kelima ]
? kebanyakan permasalahan usul al-fiqh tidak berkhidmat untuk membawa kepada hikmah pensyariatan dan juga tujuannya.
?Ini berbeza dengan kaedah fiqh yang mana ia memberi pengenalan akan jalan untuk sampai kepada rahsia ataupun hikmah di sebalik hukum-hakam syara’. Serta ia berkhidmat kepada maqasid syariah yang bersifat umum dan juga khusus.

Sebagai contoh: Di antara maqasid syariah adalah untuk menjaga agama, nyawa, akal, harta, dan juga maruah. Untuk berkhidmat kepada kelima-lima maqasid syariah ini, kaedah fiqh memainkan peranannya seperti berikut:

Islam melarang umatnya untuk memberikan kemudharatan kepada sesiapa sahaja. Ini termasuklah kemudharatan kepada nyawa, harta benda, akal dan seumpamanya. Oleh kerana itu terdapatnya kaedah fiqh yang mengatakan:

لَا ضَرَر وَلَا ضِرَار

Maksudnya: Tidak boleh memberi mudharat dan tidak boleh membalas kemudharatan dengan kemudharatan.

Justeru, hikmah diharamkan arak di dalam syariat adalah kerana ia memberi mudharat kepada akal. Hikmah diharamkan mencuri adalah kerana ia memberikan kemudharatan kepada harta benda manusia. Demikian jugalah kaedah-kaedah fiqh yang lain.

Wallahu A’lam….

Credit : Shahrul Ikmal Rahim