Bayt al Hikmah (House of Wisdom), ialah perpustakaan besar yang didirikan pada zaman kerajaan Abbasiyah di Baghdad. Khalifah Abu Jaafar al Mansur (754-775 M) iaitu khalifah kedua Abbasiyah sangat cintakan ilmu sains tabii, matematik dan ilmu-ilmu selain dari ilmu syariah. Dikatakan khalifah ini mempunyai pengetahuan yang luas dalam astronomi dan mantik.

Pada zaman kerajaan ini berkembangnya ilmu falsafah alamiah iaitu ilmu fizik, matematik, biologi dan sebagainya. Selepas pemerintahan Khalifah Abu Jaafar al Mansur, kerja-kerja terjemahan kitab-kitab ilmiah dari Yunani, India dan lain-lain ke bahasa Arab dan Parsi banyak dijalankan. Para penterjemah dibayar dengan upah yang besar ketika itu.

Pada zaman Khalifah al Makmun (813-833 M), terbinanya perpustakaan ini iaitu Bayt al Hikmah. Ada sumber mengatakan jumlah bilangan kitab/buku yang ada di Bayt al Hikmah ialah sebanyak 601000 jilid buku dan 2400 mushaf al Quran. Tidak hanya menjadi perpustakaan, tetapi juga mempunyai balai cerap astronomi, biro penterjemahan, penyalinan manuskrip dan ahli lembaga penelitian ilmiah.

Antara koleksi yang disimpan di dalam Bayt al Hikmah ialah karya-karya yang meliputi bidang filsafat, geometri, mekanikal, muzik, aritmetik dan perubatan.

Cuma pada zaman ini jugalah fahaman muktazilah mula berkembang, tetapi dengan adanya para ilmuwan yang berfahaman Asyairah seperti al Qadi Abu Bakar Muhammad al Baqillani dan lain-lain, memurnikan semula fahaman umat Islam pada zaman itu.

Kredit : Uthman Daud