~ Selangor Darul Ehsan, selalu dianggap sebagai negeri penghijrah yang selalu disebut dengan suku etnik “Jawa”, “Bugis” dan sebagainya. Tapi tahukah anda bahawa Selangor dahulunya juga sebuah negeri yang kaya dengan etnik dan bahasa tersendiri?

Sebelum abad ke-19 dan 20, Selangor pada ketika itu tidak mempunyai ramai penduduk atau pendatang dari seluruh pelusuk Nusantara, China dan India. Jadi pada masa itu Selangor kebanyakannya dihuni oleh Melayu jati dan pelbagai etnik Senoi, Semang dan Proto-Melayu (Melayu Aborigin). Melayu pada ketika itu dikenali sebagai orang Klang kerana disitulah terbentuknya identiti jati Melayu Selangor.

Selain Melayu terdapat juga orang Semai yang tinggal di hujung utara daerah Hulu Selangor dan kebanyakannya masih tinggal disana sehingga sekarang. Orang Temuan pula merupakan etnik jati kedua terbesar di Selangor dan wilayah mereka tersebar dari Hulu Selangor hingga ke Sepang, namun disebabkan urbanisasi di lembah Klang, kebanyakan kampung-kampung mereka terpaksa dirobohkan atau dimodenkan. Ketiga ialah orang Mah Meri yang merupakan penduduk asal di wilayah kepulauan yang kini berada di dalam daerah Kuala Langat dan Klang. Mereka masih lagi tinggal disana namun wilayah mereka semakin mengecil akibat pembangunan oleh kerana berada di kawasan pelabuhan tersibuk di Malaysia.

Selain daripada etnik-etnik yang disebut di atas, terdapat juga beberapa etnik orang asli yang sudahpun pupus dan sejarah mereka hampir hilang ditelan zaman, itu ialah etnik Rasa di Hulu Selangor, etnik Tanjung dan Sakai di Hulu Langat, serta etnik Tasau di Kuala Langat dan Klang.