Perbahasan berkenaan dengan tupai dan hukum memakannya telah menjadi perbincangan yang hangat dikalangan para penuntut Ilmu dan para Ilmuwan di Tanah air ini.
Saya simpulkan perbahasan berkenaan dengan perkara ini seperti berikut :
- Di dalam Bahasa Arab ianya disebut السنجاب . Ianya diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu sebagai Tupai dan ke dalam Bahasa Indonesia sebagai Bajing.
- Hukum memakan Tupai @ Bajing adalah harus menurut para Ulama Syafieyah. Perkara ini telah disebutkan di dalam kitab-kitab para Ulama Syafieyah yang muktabar.
- Terdapat satu lagi jenis binatang yang disebut Treeshrew atau زبابيات الشجر yang diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu khususnya masyarakat utara ( Kedah ) sebagai Kuweh dan di dalam Bahasa Indonesia disebut dengan Tupai.
- Hukum memakan Treeshrew @ Kuweh @ Tupai Indonesia adalah haram kerana ianya termasuk di dalam keluarga Tikus.
- Rupa kedua-dua binatang ini hampir sama cuma Treeshrew agak muncung mulutnya berbanding Bajing @ Tupai Malaysia .
- Perbezaan terjemahan ini memberi impak yang sangat besar dalam perletakan hukum. Maka perlu bagi para penuntut Ilmu meneliti dengan baik perkara ini agar kita tidak termasuk mengharamkan perkara yang dihalalkan Syarak.
- Kebanyakan daripada masyarakat kita menggunakan pandangan yang disebutkan oleh sebahagian Ulama Besar tanah Melayu semisal al-Allamah Syeikh Arsyad al-Banjari rahimahullah yang menyebutkan bahawa Tupai adalah haram. Jika kita melihat dengan teliti maka pandangan Syeikh Arsyad adalah sangat tepat kerana tupai yang dimaksudkan adalah Treeshrew bukannya Squirrel . Syeikh Arsyad adalah merupakan seorang yang berketurunan Indonesia dan Tupai di dalam istilah mereka adalah Treeshrew.
- Ini dikuatkan dengan pandangan daripada Majlis Ulama Indonesia ( MUI) yang telah mengeluarkan fatwa tentang perkara ini dengan sangat jelas bertarikh 9 Rabi’ul Awwal 1441 bersamaan 6 November 2019 .
- Tahqiq tentang masalah ini sangat perlu bagi memahamkan kepada Masyarakat umumnya .
- Disebabkan itulah saya menggunakan istilah Tupai Bajing bagi yang halal dimakan , dan Tupai Kuweh bagi yang haram dimakan menggabungkan kedua-dua bahasa agar dapat dibezakan.
Kredit : Ustaz Nazrul Nasir