Imam al-Maturidi: Jawhar, aradh, causality, human free-will & ikhtiyar.
Abu Mansur al Maturidi (wafat 944) adalah pendiri aliran Maturidiah yang merupakan aliran kedua terbesar selapas aliran Asha’irah dalam Ahli Sunnah wal Jamaah. Beliau berasal dari Transaxonia (Uzbekistan). Karya penting beliau dalam ilmu Kalam adalah ‘Kitab al Tawhid’.
Kerangka metafizik Imam al Maturidi didapati tidak bergantung sepenuhnya kepada idea atomisme walaupun sesetengah daripada kajian beliau mirip kepada pandangan para atomis. Ini kerana hujah tentang pembahagian partikel/atom tidak dibicarakan dalam Kitab al Tawhid tersebut. Imam al Maturidi lebih gemar menggunakan istilah jawhar (substances/subtrate) yang mana para atomis menggelarkannya sebagai atom. Al Maturidi membahagikan dua perkara yang boleh dicerap kepada dua bahagian; pertama objek fizikal (‘ayn) dan kedua adalah sifat (aradh/accidents). Beliau menyatakan wujud benda/objek fizikal sebagai jisim. Jisim terdiri dari tiga dimensi (3D), terbatas dan gabungan beberapa unit jawhar. Jisim juga merupakan entiti yang menerima dan menanggung aradh (accident). Dalam Kitab al Tawhid, al Maturidi menggunakan istilah “’ayn” dan kadangkala diselikan dengan istilah “jawhar” bagi menghuraikan persoalan aradh. Imam Maturidi juga sering menggunakan perkataan “sifah” dan diselikan dengan perkatan aradh. Sepertimana Mutakallimun Ash’airah, Imam al Maturidi berpendapat bahawa aradh tidak boleh wujud pada setiap saat/masa dengan sendirinya tanpa jirim. Al Maturidi mengkelaskan segala yang wujud pada alam semesta kepada dua perkara iaitu jawhar (objek) dan aradh. Beliau menerapkan analisis yang serupa kepada sifat semula jadi alam (natures), dimana alam semula jadi (natures) ini hanya terdiri dari 2 unsur, sama ada jirim ataupun aradh (accidents). Mustahil bagi aradh untuk wujud dengan sendiri. Aradh juga tidak boleh kekal dalam dua masa, untuk kekal, aradh memerlukan ajen luar/kekuatan lain yang boleh mengekalkan keberadaannya. Manakala bagi jirim, keberadaannya akan sentiasa disertai aradh. Aradh yang menumpang pada jirim akan sentiasa berubah-ubah dari masa ke semasa. Ketika aradh berubah maka kondisi jirim juga akan berubah. Dengan itu, aradh dan jirim dsimpulkan tidak akan kekal pada dua keadaan/masa. Melalui penelitian ini, alam itu tidak kekal dan sudah tentu ia juga tidak mempunyai kekuatuan tersendiri (causal power) untuk mengekalkan keberadaannya. Imam al Maturidi menyatakan segala fenomena semula jadi alam adalah sebagai proses adat samata-mata dan bukan atas kudrah tersendiri (causal power).
Idea ‘alam baharu’ (huduth) bagi al Maturidi sangat berkait rapat dengan idea reka bentuk (design) alam. Beliau seringkali menyatakan bahawa segala perkara baharu atau wujud sentiasa bergantung antara satu sama lain. Sebagai contoh, haiwan memerlukan tumbuhan untuk hidup manakala tumbuhan serta/haiwan masing-masing memerlukan ruangan langit untuk menerima udara, cahaya matahari dan sebagainya. Dan perlu diketahui bahawa penyebab utama (causal agent) dalam rantaian kehidupan yang kompleks ini adalah semata-mata Tuhan, Pentadbir semesta alam. Penyebab utama (causal agent) ini semestinya tidak bergantung kepada perkara lain seperti mana yang dilihat dalam rantaian kehidupan alam semula semesta. Ia juga Qadim (tiada mula) dan tidak diciptakan. Pada kesimpulannya, yang dikatakan penyebab utama (causal agent) itu harus bersifat dengan Qadim (Tiada Mula), Hakim (Maha Mengetahui) dan Qadir (Maha Kuasa). Imam al Maturidi mempunyai pandangan yang serupa dengan mutakallimun Ash’airah yang menyatakan bahawa segala penciptaan berada langsung dalam lingkungan kuasa/Kudrah Ilahi dan sudah tentu metafizik bagi kedua aliran ini bertentangan dengan metafizik panteisisme. Beliau berpandagan bahawa aradh tidak boleh terpisah dari objek fizikal. Aradh sentiasa berubah, objek fizikal (jawhar) juga berubah dan yang kekal serta tidak berubah adalah Dzat Tuhan. Jawhar dan aradh tidak berada pada dzat Tuhan, kerana jika dua perkara itu ada pada dzat Tuhan maka dzat tersebut akan ikut berubah-ubah. Oleh itu jawhar dan aradh adalah penciptaan Tuhan, bukan dari juzuk atau manifestasi dari Dzat Nya seperti yang difahami akidah panteisime.
Berhubung dengan kehendak bebas manusiawi (human free wil), al Maturidi menuruti Imam al Asha’ari melalui konsep kasb. Seperti mana al Asha’ari, al Maturidi mendalilkan adanya semacam kekuatan/kesempatan tertentu (quwwa) yang berjalan serentak atau yang wujud bersamaan serentak dengan dengan kehendak sukarela manusia. Al Maturidi mengatakan kesempatan/kekuatan ini adalah harus bagi kapasiti manusia untuk bertindak. Jika kekuatan ini tidak ada maka manusia tidak ada kemampuan untuk membuat pilihan untuk bertindak. Bagi al Maturidi, kekuatan/kesempatan ini juga diciptakan. Manusia sentiasa berada di bawah kekuasaan dan ketentuan Ilahi namun ketentuan ini tidak membatalkan tanggungjawab mereka terhadap setiap tindak tanduk dan pilihan mereka. Terdapat 3 perkara pada prilaku manusia yang dicipta ataupun dilenyapkan. Tiga perkara tersebut adalah kemahuan (desire), kecenderungan dan pilihan (ikhtiyar). Bagi al Maturidi, kehendak bebas (free-will) adalah satu kondisi secara sukarela (ikhtiyar) manusia dan ia tidak teratakluk pada perbuatan yang tidak sengaja atau tanpa sedar. Irada manusia adalah bebas dari keterpakasaan atau dipaksa dan ia juga bebas dari perbuatan yang tidak disengajakan/tanpa sedar. Al Maturidi mengkelaskan irada (free will) manusia sesuai dengan ikhtiyar dan bukan dengan kecenderungan atau keinginan.
Imam al Maturidi membahagikan tindakan manusia itu kepada dua bentuk iaitu gerak dan diam sepertimana aradh yang tidak boleh wujud dengan sendirinya. Oleh itu, ia bergantung sepenuhnya kepada Kuasa Ilahiah yang berterusan bagi mengekalkan kewujudannya. Posisi Imam al Maturidi dalam menganalisis tindakan manusia tidak bergantung kepada aspek antologi tetapi bergantung kepada aspek etika. Beliau meletakkan kebebasan atau kekuatan (power) untuk memilih sebagai sebab yang dipertanggungjawabkan kepada manusia itu sendiri. Satu tindakan yang serupa adakalanya dianggap bermoral dalam satu keadaan dan adakalanya tindakan tersebut menjadi tidak bermoral pada keadaan yang lain. Sebagai contoh, melakukan hubungan seks. Tuhan melarang zina atau seks diluar pernikahan tetapi Tuhan menggalakkan hubungan intim bagi pasangan suami isteri. Dari segi ontologi ia merupakan sebuah tindakan yang serupa, kudrah manusia tidak mampu memberi bekas atas hasil dari tindakan tersebut. Sebaliknya peranan manusia dalam status antologi yang sama terletak pada pemilihan bagaimana tindakan tersebut dilakukan. Peranan sebegini tidak mempengaruhi struktur ontologika tindakan manusia itu tetapi ia menentukan etika prilakunya. Ini menunjukkan kudrah manusia itu tidak dapat memberi bekas seperti yang dinayatakan oleh Imam al Maturidi. Kenyataan Imam al Maturidi lebih jelas sekiranya ditelusuri pernyataan beliau bahawa kudrah manusia itu diciptakan sesuai dengan keinginan, kecenderungan dan pilihan mereka. Kekuatan untuk bertindak dan kelakuan tindakan itu sendiri diciptakan sesuai dengan pilihan manusia dan ini amat bertepatan dengan tanggungjawab yang dipikul ke atas tindakan manusia itu sendiri.
Pic: Imam Maturidi (rhm) Mausoleum
Kredit : https://www.facebook.com/100004487621123/posts/1930841070408795/?d=n