BELAJARLAH DARIPADA IMAM GHAZALI

  1. Telah diketahui umum, Imam Al-Ghazali sangat mahir dalam ilmu aqidah & falsafah, fiqh Shafie dengan kitab 4 serangkainya dan tasawwuf dengan Minhajul Abidin dan Ihya’ Ulumuddinnya.
  2. Imam Al-Ghazali mempunyai marhalah kehidupan yang unik dan bervariasi. Beliau digelar Hujjjatul Islam kerana kuat memperjuangkan aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dan mencantas aliran-aliran aqidah sesat serta falsafah menyeleweng.
  3. Begitu juga, beliau banyak menumpukan dalam ilmu fiqh sehingga beliau sangat menguasainya dan melahirkan kitab tonggak yang penting dalam mazhab Shafie iaitu Al-Basith, Al-Wasith, Al-Wajiz dan Al-Khulasoh.
  4. Setelah peristiwa dengan adiknya Imam Ahmad, beliau meninggalkan dunia perdebatan, lalu menumpukan kepada ilmu kerohanian dan tasawwuf. Pada marhalah ini, beliau perlu menundukan nafsu dan kembali menjadi penuntut yang sebenar2nya. Lalu terhasillah kitab Ihya’ Ulumuddin, Bidayah Hidayah, Minhajul Abidin dan lain-lain.
  5. Dengan ini lengkap lah 3 tonggak ilmu utama dalam Islam yang dikuasai dan disumbang oleh Imam Al-Ghazali
  6. Ada yang mengatakan Imam Al-Ghazali sangat lemah dalam ilmu hadis. Namun, bagi yang membaca berbahasan beliau berkaitan as-Sunnah dalam kitab Al-Mustasfa, kemahiran beliau dalam hadis tidak boleh dipandangan enteng. Begitu juga, manhaj penyusunan hadis yang diatur oleh beliau dalam Ihya’ Ulumuddin.
  7. Adapun dari sudut pengajian hadis secara talaqqi seperti yang ditempuhi ulama hadis terdahulu seperti Imam Malik, Imam Bukhari dan Imam Yahya bin Ma’in, beliau terlewat dalam mempelajarinya. Hal ini kerana beliau lebih menumpukan dalam 3 ilmu utama terlebih dahulu. Menurut Dr. Muhammad ‘Aqil al-Mahdali, Imam Al-Ghazali telah mempelajari hadis secara wijadah (penemuan) dan juga ijazah, namun beliau tidak mempelajarinya secara sama‘ (talaqqi) kecuali di akhir hayatnya. (al-Imam al-Ghazali wa ‘Ilm al-Hadith hlm. 81-83)
  8. Sekali lagi kita dapat pelajari dari semangat menuntut ilmu Imam Al-Ghazali melalui mujahadahnya dalam menuntut ilmu hadis secara talaqqi dan menghafaznya. Kata ‘Abd al-Ghafir al-Farisi: “Beliau juga telah mendengar berbagai-bagai hadis secara formal bersama-sama para fuqaha’. Antara yang saya temukan bukti sama‘nya ialah apa yang beliau dengar daripada kitab Mawlid al-Nabi SAW karangan Abu Bakr Ahmad bin ‘Amr ibn Abi ‘Asim al-Syaybani, riwayat al-Imam Syeikh Abu Bakr Muhammad bin al-Harith al-Asbahani, dari Abu Muhammad ‘Abdullah bin Muhammad bin Ja‘far ibn Hayyan, dari pengarangnya. Imam al-Ghazali telah mendengarnya dari Syeikh Abu ‘Abd Allah Muhammad ibn Ahmad al-Khawari – Khawar Tabaran – rahimahullah, bersama-sama dua orang anaknya, Syeikh ‘Abd al-Jabbar dan Syeikh ‘Abd al-Hamid serta sekumpulan para fuqaha’… Kitab tersebut di dalam dua juzuk yang didengar oleh beliau” (Tabaqat al-Syafi‘iyyah al-Kubra, 6/212-214).
  9. Kesungguhan Imam Al-Ghazali dapat dilihat melalui penguasaan ilmu yang baru beliau pelajari, contoh sebelum ini adalah ilmu tasawwuf. Kemudian pada akhir hayatnya, beliau banyak menumpukan dalam pengajian hadis. Menurut Ibn Kathir : “Dikatakan pada akhir hayatnya, beliau telah cenderung kepada mendengar hadith dan menghafal al-Sahihain (al-Bukhari dan Muslim)…” (Al-Bidayah wa al-Nihayah, 12/214-215).
  10. Bahkan kata muridnya, al-Hafiz ‘Abd al-Ghafir al-Farisi (w. 529H): “Di akhir hayatnya, beliau telah memberi tumpuan terhadap hadis Nabi al-Mustafa SAW, dan duduk bersama para ahlinya, serta menelaah al-Sahihain, al-Bukhari dan Muslim, yang mana kedua-duanya merupakan hujjah Islam. Seandainya beliau hidup lama, nescaya beliau mampu mengatasi semua orang dalam disiplin ilmu (hadis) tersebut dengan waktu yang cukup singkat yang beliau luangkan untuk memperolehinya. Tidak diragukan lagi bahwa beliau telah mendengar hadis-hadis di waktu-waktu sebelumnya, dan beliau hanya menyibukkan diri dengan mendengarnya (secara sama‘) di akhir hayat. Dan beliau tidak berkesempatan meriwayatkannya. Namun, hal itu tidak memudaratkan terhadap apa yang beliau tinggalkan dari kitab-kitab yang telah ditulis dalam bab usul, furu’ dan seluruh bahagian yang lain, yang akan kekal disebut-sebut namanya. Dan telah tertetap di sisi mereka yang menelaah dan mengambil faedah daripadanya bahwa tidak ada lagi orang terkemudian yang sebanding dengannya sesudah beliau”. (Lihat: Tabyin Kazib al-Muftari oleh al-Hafiz Ibn ‘Asakir, hlm. 296; Tabaqat al-Syafi‘iyyah al-Kubra, 6/210).
  11. Namun, taqdir Allah mengatasi segala-galanya. Beliau tidak sempat memberi khidmat pada ilmu hadis yang baru beliau ceburi. Dikisahkan beliau ditemui meninggal dunia sedang kitab Sahih Al-Bukhari di dadanya. Begitulah mujahadah yang dapat kita pelajari daripada marhalah hidupnya. Hidup dengan ilmu, mati dengan ilmu. Tidak pernah berhenti dalam menuntut ilmu.

Bacaan selanjutnya berkaitan mujahadah Al-Ghazali dalam ilmu hadis di sini : http://sawanih.blogspot.com/2011/12/status-imam-al-ghazali-450-505h-dalam.html?m=1

Disediakan oleh:
Hafiz Al-Za’farani (HAZA)