NABI YAHYA AS & SAYYIDINA HUSEIN AS

Tragedi Karbala yang berlaku pada hari Jumaat 10 Muharram 61 H bukanlah suatu kejadian yang biasa dan enteng. Ia adalah suatu peristiwa yang telah mengundang kemurkaan besar Allah SWT. Kemurkaan ini telah terserlah pada beberapa peristiwa luar biasa yang berlaku selepasnya, antaranya ialah: Kemerahan luar biasa di langit.

Kemerahan ini bukanlah kemerahan biasa yang berlaku setiap hari, seperti sangkaan sebahagian orang yang cuba menafikan atau mempertikaikan perkara ini.

Akan tetapi ia adalah kemerahan luar biasa yang tidak pernah dilihat sebelumnya (seperti dalam riwayat Ibn Sīrīn), dan ia berlangsung untuk suatu tempoh tertentu (6 bulan seperti dalam riwayat al-Aswad, atau 4 bulan seperti riwayat Yazīd al-Hāshimī), dan ia kelihatan seperti darah beku (sebagaimana dalam riwayat Ummu Ḥakīm).

Jika ada yang mempersoalkan: Kenapa perkara seperti ini berlaku kepada Husein sahaja, sedangkan ia tidak pula berlaku semasa kematian ayahnya dan juga datuknya??!

Maka jawapannya boleh didapati daripada riwayat berikut:

Daripada Qurrah al-Muzanī (seorang sahabat), katanya:

“ما بَكَتِ السَّماءُ عَلَى أَحَدٍ إلّا عَلَى يَحْيَى بْنِ زَكَرِيَّا والْحُسَيْنِ بْنِ عَلِيٍّ، وحُمْرَتُها بُكاؤها”

“Langit tidak pernah menangis ke atas seseorang pun melainkan ke atas Yaḥyá bin Zakariyyā dan Husein bin ʿAlī, dan kemerahannya itulah tangisannya”.

Ia diriwayatkan oleh Ibn ʿAsākir dengan sanad yang lemah, tetapi ia disokong oleh riwayat berikut daripada Ibrāhīm al-Nakhaʿī (tokoh Tabi’in terkenal), katanya:

“مَا بَكَتِ السَّمَاءُ مُنْذُ كَانَتِ الدُّنْيَا إِلَّا عَلَى اثْنَيْنِ … وَتَدْرِي مَا بُكَاءُ السَّمَاءِ؟
قُلْتُ: لَا.
قَالَ: تَحْمَرُّ وَتَصِيرُ وَرْدَةً كَالدِّهَانِ، إِنَّ يَحْيَى بْنَ زَكَرِيَّا لَمَّا قُتِلَ احْمَرَّتِ السَّمَاءُ وَقَطَرَتْ دَمًا. وَإِنَّ حُسَيْنَ بْنَ عَلِيٍّ لَمَّا قُتِلَ احْمَرَّتِ السَّمَاءُ”.

“Langit tidak pernah menangis sejak wujudnya dunia melainkan ke atas dua orang… tahukah kamu apakah tangisan langit itu?

Kataku (yakni ʿUbayd si perawi): Tidak.

Kata beliau: Ia menjadi merah, dan menjadi bunga mawar yang berkilat seperti minyak. Sesungguhnya Yaḥyá bin Zakariyyā setelah baginda dibunuh, langit telah menjadi merah, dan menitiskan darah. Dan sesungguhnya Husein bin ʿAlī setelah beliau dibunuh, langit juga telah menjadi merah”.

Ia diriwayatkan oleh Ibn Abī Ḥātim, dan disebutkan oleh Ibn Kathīr dalam tafsirnya , dan sanadnya adalah hasan .

Perhatikan bahawa kejadian langit menjadi merah pernah juga berlaku kepada Nabi Yaḥyá a.s.

Nah, di sini kita juga boleh melontarkan persoalan yang sama: Kenapa kejadian ini berlaku kepada Nabi Yaḥyá a.s. sahaja, dan tidak berlaku kepada para Nabi lain yang lebih tinggi darjatnya??!

Ya benar, Nabi Yaḥyá a.s. bukanlah nabi yang paling tinggi darjatnya, tetapi tahukah anda bagaimanakah kewafatan baginda??

Baginda telah dipancung, dan kepala baginda yang mulia telah dipersembahkan kepada salah seorang pelacur Bani Israil!

Maka begitulah juga dengan Saidina Husein a.s; beliau bukanlah lebih hebat daripada bapanya, tetapi kita telah melihat bagaimanakah beliau telah dibunuh dengan begitu kejam di Karbalā.

Dan sebagai manusia terbaik pada zaman beliau, tidaklah pelik jika langit menangisi kematian tragis beliau.

Kerana itulah, kematian tragis Nabi Yaḥyá a.s. dan Saidina Husein a.s. mempunyai kedudukan yang khusus di sisi Allāh Taʿāla, sebagaimana dalam riwayat berikut:

عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللهُ تَعَالَى عَنْهُمَا: أَوْحَى اللهُ تَعَالَى إلى مُحَمَّدٍ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ [وآله] وَسَلَّمَ: إنِّي قَتَلْتُ بِيَحْيَى بْنِ زَكَرِيَّا سَبْعِينَ أَلْفًا، وإنِّي قاتِلٌ بِابْنِ ابْنَتِكَ الْحُسَيْنِ سَبْعِينَ ألفًا وسَبْعِينَ أَلْفًا.

Daripada Ibn ʿAbbās r.anhuma: “Allāh Taʿāla telah mewahyukan kepada Muḥammad s.a.a.w: Sesungguhnya Aku telah membunuh dengan sebab Yaḥyá bin Zakariyya tujuh puluh ribu orang, dan sesungguhnya Aku akan membunuh dengan sebab anak puterimu Husein tujuh puluh ribu dan tujuh puluh ribu lagi” .

(Riwayat al-Ḥākim dalam al-Mustadrak (3:195) nombor 4822, dan beliau berkata: Ṣaḥīḥ sanadnya. Al-Dhahabī pula berkata: Di atas syarat Muslim).

Perhatikan bahawa kemurkaan Allah Ta’ala diatas pembunuhan Saidina Husein a.s. adalah lebih besar daripada kemurkaan-Nya diatas pembunuhan Nabi Yahya a.s! Maka renungkanlah!!

Kredit : Kesatuan al-Malayuwiyah