Saya terfikir nasib anak-anak kita di Malaysia, khususnya yang ibu bapa mereka mengaku beragama Islam.

Apakah aliran pendidikan yang kita salurkan kepada mereka?

Adakah kita mendidik anak-anak kita supaya menghormati khazanah ilmu?

Adakah kita mendidik anak-anak kita supaya menghormati ciptaan Tuhan yang Maha Esa?

Adakah kita mendidik anak-anak kita berkenaan faham keadilan, kesopanan, kesusilaan?

Adakah kita mendidik anak-anak kita perihal adab?

Saya berpendapat kebanyakan daripada anak-anak kita tiada adab disebabkan kebanyakkan ibu bapa mereka mencerminkan sikap tidak ambil peduli.

Kebanyakan anak-anak kita tidak faham peri kesopanan dan kesusilaan, apatah lagi faham keadilan.

Saya berpendapat anak-anak kita tidak menghormati mahupun mengakui ciptaan Tuhan Yang Maha Esa, sebahagian besar disebabkan aliran pendidikan yang disalurkan.

Kita kaum Muslimun, sebagai ibu bapa inginkan anak-anak mendapat pendidikan Islami; namun apa yang diajar kepada mereka melanggar faham Islam sama sekali.

Lihatlah gelagat kita, orang dewasa, yang tidak malu mencerca, mengeluarkan tohmahan, fitnah memfitnah sesama kita, yang giat membina benteng dan tembok yang kononnya berlandaskan agama dan budaya yang bertujuan memisahkan masyarakat kita.

Lihatlah bagaimana sesetengah pemimpin yang diberi amanah dan yang menerima beban amanah tersebut mendustakan ciptaan Yang Maha Esa.

Dengan tidak memikirkan akibatnya mereka rela merosakkan alam ciptaan, kayu hutan simpanan dan takungan air ingin diambil dengan rakus kononnya kerana hutan tersebut tidak sihat kecuali pokoknya yang dikatakan ‘sudah mati’ dikeluarkan.

“Apa salahnya sekiranya wang diperoleh daripada anugerah Tuhan” dijadikan asas hujah.

Masyarakat majmuk diingini, rakyat bersatu padu menjadi sebutan cogan kata, namun apa yang diamalkan adalah sebaliknya dengan cerminan sifat perkauman dan perbezaan yang amat ketara.

Perbezaan dan perkauman dititik beratkan dan diberi pengkhususan; yang lebih menyedihkan apabila semuanya itu dikatakan menurut pandangan agama, lebih-lebih lagi sekiranya alasan diberi bahawa sesuatu pandangan bahaya itu dilakukan demi “semua umat Islam”.

Pegangan kepada sesuatu aliran siasah diberi keutamaan, kebenaran yang berasaskan pegangan ilmu dan akhirnya keadilan dijadikan mangsa.

Hak-hak diperdebatkan, namun perdebatan tersebut tidak mengandungi unsur tanggungjawab.

Keimanan dan ketakwaan dijadikan asas aliran siasah, namun apa yang dihasilkan mencerminkan kejahilan dan kepalsuan, semuanya atas nama Tuhan.

Adakah ini yang kita ingin mengajar anak-anak kita?

Nampaknya, jauh daripada menghasilkan manusia yang berpandukan kepada kefahaman dan kebenaran yang berasaskan pegangan iman yang kuat, kita telah membelakangkan Tuhan, membelakangkan nabi-nabi-Nya, membelakangkan agama, dan akhirnya menyediakan bekal untuk kembali ke zaman jahiliah dimana natijahnya terkandung dalam kitab al-Quran.

Bangunlah daripada lena, kejutkanlah diri daripada khayal.

28 September 2008

Kredit : Syed Ali Tawfik al-Attas