Membaca doa pada awal tahun atau bulan sebenarnya merupakan sunnah para sahabat RA. Ini berdasarkan riwayat berikut berbunyi:

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ هِشَامٍ رضي الله عنه – من صغار الصحابة – قَالَ: كَانَ أَصْحَابُ رَسُولِ اللَّهِ – صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ – يَتَعَلَّمُونَ هَذَا الدُّعَاءَ – وفي رواية: كما يتعلَّمون القرآن – إِذَا دَخَلَتِ السَّنَةُ أَوِ الشَّهْرُ: “اللَّهُمَّ أَدْخِلْهُ عَلَيْنَا بِالْأَمْنِ وَالْإِيمَانِ، وَالسَّلَامَةِ وَالْإِسْلَامِ، وَرِضْوَانٍ مِنَ الرَّحْمَنِ، وَجَوَازٍ مِنَ الشَّيْطَانِ”. (رَوَاهُ الطَّبَرَانِيُّ فِي المعجم الْأَوْسَطِ، والبغوي في معجم الصحابة ، وقال الهيثمي في مجمع الزوائد: وَإِسْنَادُهُ حَسَنٌ. وقال ابن حجر في الإصابة: وهذا موقوف على شرط الصحيح)
Terjemahan:
Daripada ‘Abdullah bin Hisyam RA katanya: Para sahabat Rasulullah s.a.w. mempelajari doa ini – dalam satu riwayat: sebagaimana mereka mempelajari al-Quran – apabila masuk awal tahun atau bulan: “Ya Allah, masukkanlah ia kepada kami dengan keamanan, keimanan, keselamatan, keislaman, dan keredhaan daripada ar-Rahman (Yang Maha Pengasih) serta kelepasan daripada syaitan”.

Takhrij & Ulasan:

  • Ia diriwayatkan oleh Imam al-Tabarani dalam al-Mu‘jam al-Awsat dan Imam al-Baghawi dalam Mu‘jam al-Sahabah. Kata al-Hafiz al-Haithami dalam Majma az-Zawa’id: “Dan sanadnya hasan”. Walaupun ada yang mempertikaikan jalur riwayat at-Tabarani, namun ia didokong oleh jalur riwayat al-Baghawi serta menjadikannya kuat. Menurut al-Hafiz Ibnu Hajar dalam kitab al-Isabah, sanad yang diriwayatkan oleh al-Baghawi merupakan khabar mauquf yang memenuhi syarat al-Sahih.
  • Menurut saya, riwayat ini walaupun mauquf (terhenti) pada sahabat RA, namun ia mempunyai hukum marfu‘ (sampai kepada Rasulullah SAW) kerana tidak mungkin sahabat mereka-reka sendiri doa berkenaan dan sudah tentu mereka mempelajarinya daripada Rasulullah SAW juga. Ini disungguhkan dengan ungkapan yang menunjukkan perhatian khas daripada para sahabat RA terhadapnya dalam riwayat al-Baghawi: “…mempelajari doa ini sebagaimana mereka mempelajari al-Quran’. Riwayat ini sedikit berbeza dengan beberapa riwayat lain yang hanya menyebut Nabi SAW berdoa di setiap awal bulan, tanpa menyebut tahun, antaranya riwayat;

عن طلحة بن عبيدِ اللهِ – رضي الله عنه – أنَّ النبيَّ – صلى الله عليه وسلم – كَانَ إِذَا رَأى الهلاَلَ قَالَ: “اللَّهُمَّ أَهِلَّهُ عَلَيْنَا بِالْيُمْنِ وَالْإِيمَانِ، وَالسَّلَامَةِ وَالْإِسْلَامِ، رَبِّي وَرَبُّكَ اللَّهُ”. (رواه أحمد والدارمي والترمذي وقال: حديث حسن غريب، وله شاهد من حديث ابن عمر أخرجه الدارمي وابن حبان في صحيحه نحوه)
Terjemahan: Daripada Talhah bin ‘Ubaidillah RA bahawa Nabi s.a.w. apabila melihat anak bulan (ertinya masuk awal bulan) baginda berdoa: “Ya Allah, terbitkanlah ia ke atas kami dengan keberkatan, keimanan, keselamatan dan keislaman. Tuhanku dan Tuhanmu adalah Allah”. (HR Ahmad, ad-Darimi dan at-Tirmizi, katanya: Hadis hasan gharib. Juga terdapat hadis sokongan daripada Ibn ‘Umar RA yang dikeluarkan oleh ad-Darimi dan Ibn Hibban dalam Sahihnya seumpamanya)

Wallahu a‘lam.

https://sawanih.blogspot.com/2014/10/riwayat-sahih-doa-awal-tahun.html?m=1

Kredit : Dr Khafidz Soroni