KESULTANAN PERLAK: DAULAH ISLAM PERTAMA DI ALAM MELAYU

KEMASUKAN Islam ke Nusantara sejak abad ketujuh Masehi akhirnya membuahkan hasil apabila daulah Islam yang pertama dapat didirikan di Perlak, utara Sumatera (dalam provinsi Aceh sekarang). Kerajaan Islam Perlak dikatakan berdiri selepas 40 tahun kedatangan Islam ke wilayah itu. Kerajaan Perlak yang terletak di pantai timur Aceh, mengadap Selat Melaka muncul ketika Empayar Sriwijaya yang berpusat di Palembang dan beragama Buddha menjadi kerajaan terbesar di Nusantara. Islam yang masuk ke Perlak dikatakan berasal dari Teluk Kambey, Gujerat, India. Ada pengkaji mengatakan rombongan pendakwah tersebut dikirimkan oleh Abdullah bin Muawiyah bin Abdullah bin Jaafar bin Abi Talib (m. 747M), pemimpin yang bangkit melawan Daulah Umayyah di Kufah bersama Abu Muslim untuk mengasaskan Daulah Abbasiyah pada 750M. Rombongan pendakwah yang dikirimnya ini telah berjaya meng-Islamkan Perlak pada awal 800M, sebelum dapat menegakkan daulah Islam.

Mendirikan negara atau kerajaan yang berasaskan Islam adalah pengalaman baru bagi orang Melayu, kerana sebelumnya para pemerintah di Nusantara adalah beragama Hindu-Buddha. Kebangkitan Perlak sebagai daulah Islam telah memberi nafas baru kepada Alam Melayu sebagai bakal wilayah kekuasaan Islam. Kerajaan Perlak (840-1292M) sebenar berdiri di atas dua dinasti raja iaitu Dinasti Sayyid (840-918M) dan Dinasti Johan Berdaulat (918-1292M). Kerajaan ini, terpaksa menghadapi serangan Empayar Sriwijaya. Namun begitu, Kerajaan Perlak telah bangkit menjadi pusat pendidikan dan pengembangan dakwah yang terpenting di Nusantara, sebelum perlaksanaan syariat Islam dapat dijalankan. Marco Polo yang tiba di Perlak pada 1292M mencatatkan bagaimana hukum-hukum syariat telah berkuat kuasa di negara ini.

PENUBUHAN DAN PEMBENTUKAN DAULAH

Pembentukan Kerajaan Perlak sebagai daulah Islam telah bermula sejak awal 800M. Akibat krisis politik di Asia Barat kerana gerakan kaum Alawiyah dan Abbasiyah untuk menjatuhkan Daulah Umayyah, satu rombongan pendakwah berbangsa Parsi diketuai oleh Nakhoda Khalifah bergerak dari Teluk Kambey, Gujerat untuk menyebarkan Islam di Alam Melayu. Salah seorang pendakwah yang menyertai rombongan ini ialah Sayyid Ali bin Mohammad bin Jaafar as-Sadiq bin Muhammad bin Ali bin Hussein bin Ali bin Abi Talib. Pada peringkat awal, mereka telah berdakwah kepada Raja Perlak, Meurah Shahrun Nuwi. Setelah Shahrun Nuwi memeluk Islam, bagi mengukuhkan lagi dakwah, Sayyid Ali bin Muhammad telah mengahwini Puteri Makhdum Tansyuri, iaitu puteri kepada adik Meurah Sharun Nuwi, Pengeran Salman yang juga merupakan Raja Juempa.

Perkahwinan ini telah menyebabkan Raja Perlak dan Raja Juempa yang berketurunan Parsi memeluk Islam. Selepas kematian Muerah Shahrun Nuwi pada 840M, putera Sayyid Ali bin Muhammad, iaitu Sayyid Abdul Aziz telah diangkat menjadi raja yang baru. Baginda memakai gelaran Sultan Alaiddin Sayyid Maulana Abdul Aziz dan mengisytihar
kan kerajaannya sebagai kerajaan Islam pada 1 Muharram 225H (12 November 839M). Bandar Perlak pula diberikan nama baru, Bandar Khalifah. Dengan pertabalan Sultan Sayyid Abdul Aziz ini, maka bermulalah pemerintahan Dinasti Sayyid sebagai daulah Islam pertama di Nusantara. Kerajaan yang berusia 452 tahun ini diperintah oleh 18 orang sultan.

PERLAK MENJADI PUSAT PERDAGANGAN DAN DAKWAH

Ketika rombongan Nakhoda Khalifah tiba pada 173H (800M), Perlak telah pun menjadi sebuah pelabuhan yang dikunjungi oleh para pedagang dari China, Maluku, India dan Arab kerana ia terletak di laluan pedagangan utama. Selain rempah yang dibawa oleh pedagang Maluku, di utara Sumatera ini terkenal dengan wangian kapur yang dikeluarkan di Barus, berdekatan dengan Fansur (selatan Aceh). Perdagangan Arab-Sumatera pula telah berlangsung lama, terutama melibatkan pedagang Quraisy di Aden, Yaman. Di Perlak, barang-barang dagangan dari China, India dan Arab, selain dari Kepulauan Melayu diperdagangkan. Kerana perdagangan juga, keluarga Meurah Shahrun Nuwi berhijrah ke Perlak dari Parsi, sebelum menjadi raja di sini.

Pembentukan Kerajaan Perlak pada awalnya dipelopori keluarga Alawiyah. Kegagalan mereka menguasai kerajaan baru selepas kejatuhan Daulah Umayyah pada 750M, telah membuka ruang kepada Abdullah as-Saffah mengasaskan Daulah Abbasiyah menjadi khalifah (750-754M). Atas sebab gagal menguasai kerajaan, keluarga Alawiyah tersingkir ke Mada’in (selatan Baghdad). Merekalah yang mengirimkan pendakwah ke Nusantara. Para pendakwah yang berjaya meng-Islam Meurah Shahrun Nuwi telah bersemenda pula dengan pendudukan tempatan untuk meluaskan pengaruh Islam. Dalam tempoh 40 tahun, keluarga diraja, orang awam dan saudagar dari Arab dan Parsi telah ramai yang beragama Islam,sehingga Islam mulai diterima secara meluas dan dapat mendirikan daulah. Selepas itu, Islam mula dikembangkan ke kawasan sekitar Aceh termasuk Juempa, Lamuri, Pene, Pasai, Samudera, Singkel, Fansur, Barus dan lain-lain.

Sepanjang sejarah Kesultanan Perlak (840-1292M), seramai 18 orang sultan telah memerintah kerajaan ini dengan dua dinasti. Dinasti yang pertama ialah Dinasti Sayyid yang berketurunan Jaafar as-Sadiq, manakala Dinasti Johan Berdaulat pula dari keturunan asli Muerah Shahrun Nuwi. Raja-raja Dinasti Sayyid adalah seperti berikut:

i. Sultan Alaiddin Sayyid Maulana Abdul Aziz Shah (840-864M)
ii. Sultan Alaiddin Sayyid Maulana Abdul Rahim Shah (864-888M)
iii. Sultan Alaiddin Sayyid Maulana Abbas Shah (888-913M)
iv. Sultan Alaiddin Sayyid Maulana Ali Mughyat Shah (913-918M)

**Adapun Dinasti Johan Berdaulat seramai 14 orang raja, iaitu:

v. Sultan Makhdum Alaiddin Malik Abdul Kadir Shah Johan Berdaulat (928-932M)
vi. Sultan Makhdum Alaiddin Malik Muhammad Amin Shah Johan Berdaulat (832-956M)
vii. Sultan Makhdum Alaiddin Abdul Malik Shah Johan Berdaulat (956-983M)
viii. Sultan Makhdum Alaiddin Malik Ibrahim Shah Johan Berdaulat (986-1023M)
ix. Sultan Makhdum Alaiddin Malik Mahmud Shah Johan Berdaulat (1023-1058M)
x. Sultan Makhdum Alaiddin Malik Mansur Shah Johan Berdaulat (1059-1078M)
xi. Sultan Makhdum Alaiddin Malik Abdullah Shah Johan Berdaulat (1078-1109M)
xii. Sultan Makhdum Alaiddin Malik Ahmad Shah Johan Berdaulat (1109-1135M)
xiii. Sultan Makhdum Alaiddin Malik Mahmud Shah Johan Berdaulat (1135-1160M)
xiv. Sultan Makhdum Alaiddin Malik Usman Shah Johan Berdaulat (1160-1173M)
xv. Sultan Makhdum Alaiddin Malik Muhammad Shah Johan Berdaulat (1173-1200M)
xvi. Sultan Makhdum Alaiddin Abdul Jalil Shah Johan Berdaulat (1200-1230M)
xvii. Sultan Makhdum Alaiddin Malik Muhammad Amin Shah II Johan Berdaulat (1230-1267M)
xviii. Sultan Makhdum Alaiddin Malik Abdul Aziz Johan Berdaulat (1267-1292M)

Kredit : Ibnu Kamal Aliff (disunting)