BIODATA SYEIKH AHMAD FAHMI ZAMZAM AL BANJARI AN NADWI AL MALIKI DAN CORETAN KISAH GURU BELIAU

Ahmad Fahmi bin Zamzam atau nama pena-nya Abu ‘Ali al-Banjari an-Nadwi al-Maliki dilahirkan di Amuntai dari suku Banjar di Banjarmasin, Kalimantan Selatan (Borneo), Indonesia pada 9 Jun 1959M. Pada mulanya beliau menuntut ilmu di daerah Amuntai, kemudian melanjutkan pelajarannya ke Madrasah Darus-Salam Martapura sampai ke tingkatan ‘Aliyah (tertinggi).

Kemudian beliau melanjutkan pelajaran di Yayasan Pesantren Islam, Bangil, Jawa Timur sebelum berangkat ke Uttar Pradesh, India pada tahun 1980M dan berguru kepada Samahatus-Shaykh Abul Hasan Ali al-Hasani an-Nadwi rah. (wafat 1420H/1999M) sehingga awal tahun 1984M. Banyak ilmu yang didapatnya dari Sayyid Abul Hasan An-Nadwi dan para tokoh ulama lain di sana.

Pada tahun 1985 ia kembali ke India untuk menyelesaikan pelajarannya pada tingkat sarjana (MA) dalam bidang Dakwah dan Sastra Arab yang diselesaikannya tahun 1987.

Pada tahun 1408H/1988M, beliau sempat berguru dengan Shaykh Muhammad Yasin al-Fadani rah. (wafat 1410H/1990M) di Makkah al-Mukarramah dan mendapatkan “Ijazah Ammah”dalam ilmu hadits dari gurunya itu.

Beliau juga sempat berguru dengan Sayyid Muhammad bin Alwi Al-Maliki Al-Hasani, seorang ulama’ besar dari Makkah al-Mukarramah (wafat 1425 H/2004 M), hingga dianugerahi oleh guru yang sangat mencintai dan dicintainya ini gelar “Al-Maliki” pada tahun 2002 atas pemahamannya yang mendalam dalam persoalan-persoalan agama.

Pada pertengahan tahun 1984, beliau mula berkhidmat di Maahad Tarbiyah Islamiyah, Derang, Pokok Sena, Kedah Darul Aman.
Selama di Kedah, Syeikh Ahmad Fahmi Zamzam Al Banjari Al Maliki sering menyampaikan pengajaran di masjid-masjid, terutama di Kedah. Sebagai seorang guru yang tinggi ilmunya, pengajaran-pengajarannya mendapat sambutan hangat dari masyarakat.

Selain itu, ia juga diminta oleh Radio RTM Kedah untuk mengisi ruang Kemusykilan Agama (Masalah-masalah Agama), yang disiarkan secara langsung sejak tahun 1994 sehingga 2001. Melalui acara tersebut, ia membantu masyarakat dalam menyelesaikan masalah-masalah agama berkaitan dengan kehidupan keseharian.

Pada tahun 2001M, beliau telah mendirikan sebuah pondok pesantren di Muara Teweh, Kalimantan Tengah, Indonesia yang seterusnya diikuti dengan sebuah pondok pesantren di Banjarbaru, Kalimantan Selatan, Indonesia pada tahun 2003M. Beliau juga merupakan Mudir,

Dan yang ketiga, pada tahun 2009, ia membangun lagi pondok pesantren di Balikpapan,Kalimantan Timur. Oleh kerana itulah sejak tahun 2001, beliau sentiasa berulang alik antara Malaysia dan Indonesia.

Ia juga diberi amanah memimpin Majelis Ulama Indonesia Kabupaten Barito Utara, Kalimantan Tengah, periode 2004-2009

Beliau juga aktif mengajar secara bulanan di Lembah Kelang iaitu Kitab Hikam Ibn ‘Athoillah di Anjung Rahmat ABIM, kuliah Kitab Hidayatus Salikin di Masjid al-Falah USJ 9 dan kuliah Kitab Qul Hadzihi Sabili di Pusat Pengajian Ba’Alawi. Beliau juga mengadakan pengajian kilat untuk mengkhatamkan kitab-kitab seperti kitab Ayyuhal Walad, Bidayatul Hidayah, Bustanul ‘Ariffin dan-lain-lain.

Sehingga kini beliau telah menghasilkan lebih daripada 15 buah buku, baik karangan beliau sendiri, terjemahan, ataupun tahqiq kitab-kitab karangan ulama’ silam Nusantara seperti kitab karangan Shaykh Abdus Samad al-Falimbani (KItab Sairus Salikin – 4 Jilid) dan Hidayatus Salikin.

Manakala kitab-kitab yang telah beliau terjemahkan termasuklah kitab Bidayatul Hidayah dan Ayyuhal Walad karangan Hujjatul Islam Imam al-Ghazali rah., Bustanul Arifin karangan Imam an-Nawawi rah. dan Lamiyah Ibnu Wardi karangan Imam Zainuddin Ibnul Wardi al-Kindi rah. Di antara buku-buku karya beliau ialah:

  1. Empat Puluh Hadits Peristiwa Akhir Zaman;
  2. Empat Puluh Hadits Penawar Hati;
  3. Empat Puluh Hadits Kelebihan Ilmu dan Ulama;
  4. Empat Puluh Hadits Akhlak Mulia;
  5. Terjemahan Bidayatul Hidayah;
  6. Terjemahan Ayyuhal Walad (Al-Ghazali);
  7. Terjemahan Lamiyah Ibnu Wardi;
  8. Terjemahan Bustanul Arifin;
  9. Terjemahan Qasidah Burdah Imam al-Busiri;
  10. Kiamat Hampir Tiba;
  11. Riwayat Hidup Sayyid Abul Hasan Ali al-Hasani an-Nadwi;
  12. Riwayat Hidup Sayyid Muhammad bin ‘Alawi al-Maliki al-Hasani;
  13. Tahqiq Sairus Salikin;
  14. Tahqiq Hidayatus Salikin
  15. Bekal Akhirat, dan masih banyak lagi yang lainnya.

https://www.facebook.com/panoramaindahmesir/photos/a.111818830195734/653835985994013/?type=3

IBNU ALI EL AZHARI..
MUDARRIS SMKA MOHD ALI.