AL MUHADDITH AL QODI AS SYEIKH YUSUF AN-NABHANI

Nama penuh beliau ialah Nasiruddin Yusuf bin Ismail bin Yusuf bin Muhammad An-Nabhani, beliau berketurunan Bani Nabhan iaitu salah satu suku Arab Badwi yang tinggal di Ijzim, sebuah kampung di bahagian utara Palestin, daerah Haifa yang termasuk dalam wilayah Akka, Beirut.

Beliau dilahirkan pada 1265 H / 1849 M dan dibesarkan di Ijzim. Dia menghafal Al-Quran dengan berguru kepada ayahnya sendiri iaitu Ismail bin Yusuf, seorang Syeikh yang berumur 80 tahun. Pada usia yang lanjut, beliau dikurniakan Allah kecerdasan, pancaindera, kekuatan dan hafalan yang sempurna. rajin beribadat dan bacaan Al-Quran yang bagus.

Setiap tiga hari sekali, ayahnya akan mengkhatamkan Al-Quran sehingga tiga kali seminggu. Keistimewaan dan kelebihan ini sangat mempengaruhi pembentukan dan pertumbuhan peribadi Yusuf An-Nabhani yang selalu dibekalkan dengan keberkatan dan ketakwaan ayahnya yang salih dan dari kalangan keluarga yang bersih dan suci.

PENDIDIKAN SYEIKH YUSUF AN-NABHANI
Selesai mengkhatamkan pengajian Al-Quran,terus melanjutkan pelajaran di Al-Azhar ketika berusia 17 tahun. Beliau tekun belajar dan menggali ilmu dengan baik daripada Imam-Imam besar dan para alim yang kritis serta pakar ilmu syariat dan bahasa serta empat Imam Mazhab. Beliau dapat bimbingan daripada orang-orang yang berilmu tinggi yang menguasai ilmu naqli dan aqli sehingga sebati dalam dirinya. Kemudian lulus daripada Al-Azhar pada umur 23 tahun.

Selepas itu, beliau kembali ke Ijzim dan Akka lalu memulakan kelas pengajian agama disana. Beliau kerap ke Beirut dan Damsyik untuk menemui ulama dan tokoh ilmuan seperti Ketua Qadi Damsyik, Syeikh Mahmud Effendi Hamza yang mengajarnya hadis Sahih Bukhari dan mendapat ijazah dalam bidang hadis.

KARYA-KARYA SYEIKH YUSUF AN-NABHANI
Karyanya begitu berkualiti tinggi dan banyak diterbitkan. Beliau juga membenarkan sesiapa sahaja menerbitkan semula karya-karyanya supaya dapat memberi manfaat kepada setiap Muslim dengan syarat ia dilakukan dengan teliti. Beliau dikatakan mendapat ilham daripada Allah dalam mengarang kitab-kitab itu antaranya hadis, sejarah Nabi, tafsir, pembelaan terhadap Islam, pujian kepada Allah SWT, kisah wali-wali Allah dan sebagainya. Berikut adalah antara senarai karya kitab beliau:

-Sa’adah Ad-Daarain
-Hadi Al-Murid
-Jami’ Karamah Al-Auliyak
-Khulasah Al-Kalam
-Sawahid Al-Haq
-Hujjat-Allahi ‘Ala Al-‘Alamin
-Jawahir Al-Bihar
-Wasail Wusul ila Syamail Ar-Rasul
-Riyadh AL-Jannah
-Anwar Al-Muhammadiyah
-Fadhail Al-Muhammadiyah

GURU-GURU / MASYAIKH
-Sheikh Yusuf Al-Barqawi
-Sheikh Abdul Qadir Ar-Rafi’i Al-Hanafi
-Al Alim Sheikh Abdurrahman As-Syarbini As-Syafi’i
-Sheikh Syamsuddin As-Syafi’i
-Sheikh Abdul Hadi Naja Al-Ibyari
-Sheikh Hassan Al-Adwi Al-Maliki

  • Sheikh Ahmad Al-Ajhuri As-Syafi’i
    -Sheikh Ibrahim Az-Zuru Al-Khalili As-Syafi’i
  • Al-Muammar Sayyid Muhammad Damanhuri
  • Sheikh Ibrahim Saqa

DETIK-DETIK KEWAFATANNYA
Di akhir hayat, beliau banyak menghabiskan masanya dengan melakukan ibadah dan mengarang kitab. Beliau wafat di Beirut, Lubnan pada awal Ramadhan 1350 H / 1932 M.

والله اعلم بالصواب