[Mengapakah Jenazah Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم Disolatkan Secara Bersendirian?]

Pernah sekali selepas hamba mengajar di sebuah surau, ada seorang bekas pensyarah Fakulti Pengajian Islam UKM mengatakan bahawa beliau pernah terbaca dalam Sirah Ibn Hisyam bahawa para sahabat melakukan solat jenazah ke atas jenazah Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم dalam keadaan semuanya solat bersendirian. Maka beliau ingin tahu apakah sebabnya?

Jawapan: Pertama sekali, para ulama berbeza pendapat: adakah jenazah Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم memang disolatkan atau tidak? Sebahagian ulama mengatakan ya dan sebahagian lagi mengatakan tidak, hanyasanya para sahabat masuk dan berdoa sahaja tanpa solat.

Tetapi pendapat yang mengatakan tidak ini adalah pendapat yang lemah menurut Ibn al-‘Arabi al-Maliki dan al-Qurtubi [Lihat Tafsir al-Qurtubi, 3/345, Muassasah al-Risalah]. Pendapat yang mengatakan ya adalah lebih kuat. Bahkan ada ulama yang mengatakan telah berlaku ijma’ bahawa jenazah Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم disolatkan sebelum dikebumikan. Antara yang mengatakan telah berlaku ijma’ dalam masalah ini ialah Ibn ‘Abd al-Barr dalam kitabnya al-Tamhid 10/575, Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah] dan Ibn Kathir dalam al-Bidayah wa al-Nihayah [5/283, Dar al-Taqwa]. Namun ada juga sebahagian ulama seperti Ibn Dihyah yang menyanggah dakwaan ijma’ ini kerana Ibn al-Qassar telah menghikayatkan adanya khilaf dalam masalah ini [Lihat Awjaz al-Masalik, 4/510, Dar al-Qalam]. Jika tidak berlaku ijma’ sekalipun, tidaklah dapat dinafikan bahawa peristiwa solat jenazah itu sememangnya thabit berdasarkan pelbagai riwayat hadis dan sirah.

Kemudian, di kalangan para ulama yang mengatakan bahawa jenazah Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم disolatkan pula berlaku khilaf: adakah disolatkan secara berjemaah atau disolatkan secara bersendirian? Maulana Zakariya menukilkan dalam Awjaz al-Masalik bahawa ada pandangan yang mengatakan Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم disolatkan secara berjemaah dengan diimami oleh Sayyiduna Abu Bakar r.a. Namun menurut al-Hafiz Ibn Hajar, riwayatnya tidak sahih. Menurut Ibn Dihyah, riwayatnya batil kerana perawinya daif dan sanadnya terputus. Maka pendapat yang kuat ialah pendapat yang mengatakan bahawa jenazah Rasulullah s.a.w. disolatkan secara bersendirian. Terdapat banyak riwayat yang membuktikannya.

Para ulama mengemukakan pelbagai sebab mengapa para sahabat masing-masing melakukan solat ke atas jenazah Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم secara bersendirian? Maka di sini hamba himpunkan seberapa banyak sebab yang dinyatakan oleh para ulama sekadar kemampuan hamba:

  1. Kerana keagungan diri Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم dan para sahabat saling berlumba untuk tidak membiarkan seorang pun menjadi imam ke atas mereka [Disebutkan oleh al-Syafi’i dalam al-Umm, 2/625, Dar al-Wafa’].
  2. Kerana menghormati dan mengagungkan diri Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم [Disebutkan oleh Ibn al-Najjar al-Futuhi dalam Ma’unah Uli al-Nuha, 3/52, Maktabah al-Asadi].
  3. Kerana ia merupakan khususiyyat Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم dan Baginda sendiri telah mewasiatkan begitu sebelum wafatnya. Ini merupakan pendapat al-Suhaili dalam syarahnya ke atas Sirah Ibn Hisyam [al-Rawd al-Unuf, 4/452, Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah]. Namun riwayat berkenaan wasiat tersebut dipertikaikan oleh Ibn Kathir dalam al-Bidayah wa al-Nihayah [5/282, Dar al-Taqwa].
  4. Kerana ketika itu belum ada khalifah. Ini disebutkan oleh al-Baijuri dalam hasyiah-nya ke atas Fath al-Qarib [1/476, Dar al-Kutub al-Islamiyyah]. Al-Syarbini menukilkan daripada sebahagian ulama bahawa jika ada seorang sahabat yang menjadi imam, maka pastilah dia akan dikedepankan dalam semua perkara dan dia akan dilantik menjadi khalifah (sedangkan sahabat takut untuk menjadi khalifah).
  5. Kerana para sahabat masing-masing ingin mengambil berkat Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم secara langsung tanpa perantaraan seorang imam di hadapan mereka buat kali terakhir sebelum jasad Baginda صلى الله عليه وآله وسلم disemadikan [Dinukilkan oleh al-Qurtubi dalam tafsirnya, 5/345, Muassasah al-Risalah].

Walau apa jua sebabnya, pastinya para sahabat begitu sedih dan pilu pada ketika itu. Ketika hamba mengimami solat jenazah ayahanda hamba (rahimahullah) pun, air mata berjujuran, lidah menjadi kelu dan suara menjadi tersekat-sekat, maka bayangkanlah bagaimana pula keadaan para sahabat ketika itu?

kredit :

[Abdul Rahman Bin Harman Shah Raniri]