Mengenali istilah Melayu dari pandangan Filipina, Indonesia, Malaysia, Singapura, Thailand, Brunei dan negara-negara serantau.

1.Filipina

Melayu (the Malay Race) merupakan satu bangsa, terbentang dari Madagascar sehinggalah ke pesisir Kepulauan Pasifik.

Serumpun dengan majoriti pribumi Malaysia, Indonesia, Brunei, Singapura dan sebahagian negara-negara serantau.

Konsep ini mirip dengan Austronesia.

Contoh:

Seseorang boleh dianggap “Malay” walaupun berketurunan Suku Igorot, beragama Katolik: tanpa beradat Melayu dan langsung tidak memahami Bahasa Melayu.

  1. Indonesia

Melayu (Suku Melayu) merupakan satu etnik yang tertumpu di sebahagian Sumatera dan Kalimantan.

Etnik yang berpegang kepada Falsafah Adat Melayu (Adat bersendi syarak, syarak bersendiri kitabullah) dan berbahasa Melayu.

Warisan masyarakat ini termasuklah dari seni persembahan Joget, Zapin, Inang, Ghazal dan Mak Yong; Sastera seperti Hikayat, Gurindam dan Syair; Pakaian – Baju Melayu Teluk Belanga, Songket, Baju Kurung dan Tengkolok; dan tidak lupa juga makanan antaranya Tempoyak, Asam Pedas, Nasi Minyak dan Nasi Lemak.

Antara sub-suku Melayu di Indonesia termasuklah: Melayu Deli, Melayu Langkat, Melayu Riau, Melayu Siak, Melayu Jambi, Melayu Bengkulu, Melayu Palembang, Melayu Sambas, Melayu Pontianak, Melayu Sanggau dan puluhan lagi puak-puak Melayu di Sumatera dan Kalimantan.

Puak-puak ini juga diketuai oleh Lembaga Adat Melayu serta institusi beraja Melayu (warisan beraja Melayu di Indonesia masih wujud, namun institusinya lebih kepada simbol penaung adat setempat [tanpa pengaruh politik berbanding Malaysia dan Brunei]).

Dari segi sejarah, kerajaan-kerajaan Melayu yang kini berada di Indonesia seperti Srivijaya, Jambi, Siak, Pelalawan, Indragiri, Langkat, Deli, Riau-Lingga mempunyai pertalian erat dengan Melaka, Johor, Kedah, Perak dan Selangor; manakala Kesultanan Sambas, Pontianak, Matam yang mempunyai hubungan dengan Brunei; tidak lupa juga puluhan kerajaan dan kesultanan Melayu yang lain di Pulau Kalimantan/Borneo dan Sumatera.

Daerah adat serumpun Melayu di Indonesia ditandakan dengan warna hijau dalam peta di bawah; kawasan-kawasan ini mempunyai persamaan adat & sejarah dengan Semenanjung Malaysia/sebahagian selatan Thailand, serta pesisir Malaysia Timur & Brunei Darussalam.

Etnik-etnik seperti Batak, Jawa, Sunda, Bali, Dayak, Minahassa dan ratusan suku lain tidak dianggap sebagai Melayu kerana bahasa ibunda mereka bukan bahasa Melayu disamping adat yang jauh berbeza.

Contoh:

i) Seseorang beretnik Jawa dengan bahasa ibundanya Bahasa Jawa, beragama Katolik dari Kota Solo, Provinsi Jawa Tengah, tidak dianggap sebagai Melayu.

ii) Seseorang yang beretnik Melayu Riau dengan Bahasa ibundanya bahasa Melayu Riau dari Pulau Penyengat, Provinsi Kep. Riau, dianggap sebagai Melayu.

  1. Malaysia

Melayu (sebagai Kaum dan/atau etnik).

Kedua konsep ini kadang kala membawa pertindihan.

a) Di satu sisi, menurut Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan: Melayu ditafsirkan sebagai seseorang yang beradat Melayu, berbahasa Melayu dan beragama Islam.

(Melalui pandangan ini, Perkara 160 boleh dikatakan sealiran dengan falsafah “Adat bersendi syarak, syarak bersendi kitabullah” yang turut dipegang oleh suku Melayu di Sumatera dan Kalimantan).

b) Di sisi lain, konsep Ras Melayu juga disebut bagi meraikan hubungan persaudaraan serantau.

Kedua konsep ini lebih mudah diterima di Semenanjung Malaysia kerana sebahagian besarnya merupakan etnik Melayu (disamping keturunan Melayu Dagang: Jawa, Bugis, Mendailing, dll. yang sudah lama berbaur & bersatu dengan budaya dan Bahasa Melayu Jati Semenanjung).

Namun, agak rumit bagi Malaysia Timur, terutamanya dikalangan sebahagian masyarakat pribumi Borneo (antaranya Iban, Kadazandusun, Orang Ulu, Murut dan puluhan etnik lain) yang mempunyai adat, bahasa dan akidah yang berbeza dengan takrifan Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

  1. Singapura

Melayu (sebagai Kaum dan/atau etnik).

Menurut Perkara 4 (6)(b) Perlembagaan Singapura, Melayu ditafsirkan sebagai seseorang yang menganggap diri mereka Melayu & diterima oleh masyarakat tersebut.

Di Singapura, ramai keturunan Dagang (terutamanya Jawa, Bawean dan Bugis) yang diasimilasikan dengan identiti Melayu mirip di Semenanjung Malaysia; pada masa yang sama, keturunan Jawa dan Bawean Singapura juga mempunyai pilihan untuk didaftarkan berdasarkan suku-suku leluhur mereka dalam Kad Pengenalan/NRIC Singapura.

Pertindihan konsep ini pernah menjadi isu hangat dikalangan warga asing Filipina yang menetap di Singapura apabila mereka tidak mendapat status yang sama seperti penduduk Melayu tempatan di negara tersebut (kerana di negara asal mereka [Filipina], mereka dididik dengan konsep “Malay Race”).

Namun, saya lihat di group ini ramai juga (bukan semua) warga Singapura yang turut bersama melihat konsep Melayu sebagai etnik dan ras, mirip penerimaan ramai penduduk Semenanjung Malaysia.

  1. Thailand

Melayu (sebagai kaum dan/atau etnik)

Saya pernah terbaca pengalaman dari seorang budayawan Melayu Thailand: Di Patani, jika seseorang Siam-Buddha itu memeluk agama Islam, mengikuti adat dan bahasa Melayu, beliau akan dianggap sebagai Melayu.

Melalui situasi ini, saya lihat proses asimilasi “masuk Melayu” yang mirip di sebahagian Sumatera, Semenanjung dan Kalimantan/Borneo.

Namun pada masa yang sama, saya juga ada mengikuti dua pandangan berbeza beberapa tokoh-tokoh Melayu yang dihormati di Negara Gajah Putih.

a) “Melayu sebagai rumpun yang turut bersama meliputi etnik Melayu, Jawa, Bugis dan lain-lain.” – Nik Rakib, ahlli akademik dari Nusantara Studies Center.

b) “Melayu adalah sebagai bahasa, budaya dan politik, bukan bangsa atau race.” – Astora Jebat, wartawan dan penulis.

Selain dari Patani, keturunan Melayu di Thailand juga dapat ditemui Satul (Satun), Trang, Phuket dan Ranong; selain daripada Kota Bangkok dan wilayah-wilayah lain.

  1. Brunei:

Melayu (sebagai kaum dan/atau etnik)

Sebuah negara yang mengangkat falsafah kebangsaan “Melayu, Islam, Beraja” disamping pengiktirafan 7 Puak Jati.

Brunei semenangnya turut mempunyai pegangan Melayunya tersendiri:

Menurut Perlembagaan Negeri Brunei 1959, istilah Melayu (di Brunei) merujuk kepada Puak Belait, Bisaya, Brunei, Dusun, Kedayaan, Murut dan Tutong.

Daripada 7 puak ini, hanya Puak Brunei, Tutung, Belait dan Kedayan memegang kepada agama Islam. Manakala keturunan Bisaya, Dusun dan Murut juga mempunyai ramai penganut agama Kristian dan anisme.

Hal ini juga dapat dilihat dari aspek bahasa, Puak Brunei dan Kedayan mempunyai 80% persamaan; namun persamaan Bahasa Melayu Brunei dengan Tutong, Belait, Kedayan, Bisaya, Dusun dan Murut agak berbeza.

Namun, seperti wilayah-wilayah lain yang dibincangkan, terdapat juga pemahaman berbeza & subjektif tentang istilah Melayu berdasarkan individu (samada sebagai rumpun, bangsa atau etnik).

Tambahan:

  1. Selain itu, tidak lupa juga masyarakat serumpun Champa, Melayu Sri Lanka, Melayu Tanjung (Cape Malays), Melayu-Myanmar (beradat Kedah), Melayu Mekah, Melayu Cocos dan Melayu Pulau Krismas dengan sejarah mereka. Mungkin sahabat-sahabat dari wilayah-wilayah ini dapat memberikan penerangan mereka.
  2. Group ini group serantau, anggotanya terdiri dari pelbagai negara. Daripada berdebat dan cuba memaksakan tentang definisi Melayu keatas sahabat-sahabat dari negara lain, mungkin kita dapat mengenali pemahaman mereka terlebih dahulu.
  3. Di luar kumpulan Facebook ini, saya rasa sebuah kawasan di mana berlakunya pertembungan antara definisi-definisi ini ialah di Australia. Selain mempunyai keturunan Melayu yang sudah bertapak lebih 100 tahun di Pulau Cocos (leluhurnya dibawa dari Hindia Timur Belanda/Indonesia) dan Pulau Krismas (leluhurnya dibawa dari Negeri-Negeri Selat [Pulau Pinang, Melaka dan Singapura]), terdapat juga diaspora pribumi Malaysia, Singapura, Indonesia dan Filipina yang besar di negara tersebut.

Kredit : Fazlan Abdul Kadir