Semalam di messenger saya, ramai ibu bapa angkat yang meminta saya berkongsi berkenaan dengan prosedur pengangkatan.
Masing-masing terkesan dan risau sekiranya anak yang mereka pelihara ini bakal dituntut semula oleh keluarga kandung. Mereka jadi kian risau dengan kes yang menimpa adik Amir, tiada siapa sangka.
Kalau tidak kita yang melahirkan tetapi anak itu telah kita pelihara sebagai seorang ibu dan ayah lazimnya. Ralatnya jika anak ini dituntut dan tidak dikasihi dan dijaga seperti mana yang kita jaga.
Waktu dalam jagaan kita, tidak sedikit pun kurang dan tidak langsung dibandingkan dengan anak-anak kandung yang lain.
Persoalannya bolehkah ibu bapa angkat yang mengikut prosedur pengangkatan seperti garispanduan oleh Jabatan Pendaftaran Negara dan telah diberikan kebenaran dicabar oleh keluarga kandung, hanya semata-mata mereka itu darah daging?
Bagi penjelasan ini saya akan rujuk kepada satu kes undang-undang dimana ibu bapa kandung yang berebut hak penjagaannya dengan ibu bapa angkat di mahkamah. Sebelum itu saya jelaskan dahulu tentang kedudukan undang-undang.
Proses pengangkatan ini ada dua, satu melalui perintah mahkamah selaras dengan Akta Pengangkatan Anak, 1952 (Akta 257) dan satu lagi melalui Pendaftar Anak Angkat di JPN selaras dengan Akta Pendaftaran Pengangkatan, 1952 (Akta 253)
Akta 257 ini tidak terpakai kepada orang Islam seperti yang diperuntukkan dalam Seksyen 31, Akta ini. Jadi semua orang Islam akan lalui proses seperti dalam Akta 253.
Dalam Akta 253 ini mensyaratkan agar anak angkat ini dijaga dalam tempoh tidak kurang 2 tahun iaitu dikira dari tarikh surat akuan sumpah kebenaran oleh ibu/bapa.
Terdapat satu akuan berkanun (akuan sumpah) kebenaran dari ibu/bapa kandung untuk memberikan hak jagaan kepada ibu bapa angkat secara rela hati dan tidak akan menuntut semula anak ini.
Dalam tempoh ini, ibu bapa angkat juga perlu mendaftarkan anak kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Sementara menanti proses 2 tahun, JKM akan memberikan borang jagaan sementara kepada ibu bapa angkat.
Cukup 2 tahun, ibu bapa angkat perlu menghadiri temuduga di JPN dan ada lawatan dari JKM untuk memastikan keadaan anak selamat.
Sekiranya semuanya teratur dan mengikut prosedur, pengangkatan ini akan didaftarkan dan menjadi sempurna.nSegala hak jagaan dan kawalan ke atas kanak-kanak ini telah diserah kepada keluarga.
Sekiranya ibu/bapa kandung ingin menuntut semula hak jagaan, proses ini perlu melalui proses mahkamah. Bukan mudah. Bermakna bukan suami isteri bercerai sahaja menuntut hak jagaan anak, dalam kes begini pun boleh.
Misalnya dalam kes Kamarul Zaman Zolkefeli & Satu Lagi lwn. Kamaliah Md Ali & Yang Lain[2013] 1 LNS 784.
Dalam kes ini, Puan Kamaliah (ibu angkat) dan suami telah melalui segala proses pengangkatan bagi kanak-kanak bernama Faizal. Pendaftar Anak Angkat di JPN telah meluluskan proses pengangkatan pada 19.12.2011.
Kemudian, sewaktu anak ini berada di rumah ibu bapa kandung iaitu Kamarul dan isteri, Puan Kamaliah datang mengambil 15.11.2012. (Barangkali ini ada persetujuan oleh kedua-dua pihak untuk melawat)
Menurut dakwaan bapa kandung, anaknya dibawa pergi dan kemudian telah mencari anaknya pada 19.11.2012 tetapi anak ini telah disembunyikan oleh ibu bapa angkatnya.
Oleh itu ibu bapa kandung menuntut semula hak ke atasnya dan memohon agar hak penjagaan diberikan kepada mereka dan memohon pendaftaran pengangkatan dibatalkan.
Mahkamah memutuskan bahawa Puan Kamaliah telah menjadi ibu bapa angkat yang sah dan telah didaftarkan pada 19.12.2011. Oleh itu, hak jagaan dan kawalan ke atas kanak-kanak ini telah diserahkan menerusi proses undang-undang.
Soal keluarga angkat mengambil anak dari jagaan ibu kandung secara tidak sah pada 15.11.2012, langsung tidak timbul. Pada ketika itu ibu bapa kandung bukan penjaga sah kepada kanak-kanak.
Ibu bapa kandung juga mengisukan kononnya keluarga angkat tidak menjaga anak ini selama tidak kurang 2 tahun tetapi sebenarnya ibu bapa kandung yang menjaga dalam tempoh ini.
Mahkamah tidak menerima hujahan ini kerana Pendaftar membenarkan permohonan pengangkatan melalui dokumen dan juga temuduga, serta mematuhi prosedur undang-undang yang diperuntukkan.
Termasuklah ibu bapa angkat telah membuktikan anak ini telah dijaga oleh mereka selama 2 tahun. Oleh itu kesahihan pengangkatan yang telah didaftarkan oleh Pendaftar tidak boleh dipertikaikan.
Turut juga dipertikaikan tentang kebajikan anak ini dengan melampirkan gambar kecederaan anak ini sewaktu dalam jagaan keluarga angkat.
Mahkamah memutuskan, kejadian kanak-kanak ini terjatuh masa bermain-main dan mendapat sedikit luka di muka dan mulut. Ibu bapa kandung gagal menunjukkan luka ini adalah sesuatu luarbiasa dan serius sehingga memerlukan rawatan di hospital yang dikatakan gagal diuruskan oleh Ibu bapa angkat. Kejadian ini nampaknya diperbesarkan tanpa asas keterangan yang kukuh dengan laporan polis dibuat oleh ibu kandung.
Akhirnya mahkamah memutuskan permohonan bagi membatalkan pendaftaran pengangkatan anak ini serta mendapatkan hak jagaan anak ini ditolak. Oleh itu anak ini kekal dengan keluarga angkatnya.
Jadi kepada ibu bapa dan keluarga angkat diluar sana atau bakal merancang memelihara anak angkat. Ini adalah prosedurnya dan menjadikan anak yang kita pelihara ini sah disisi undang-undang.
Bagi yang sedang memelihara tetapi belum memulakan segala proses ini, usahakan. Semoga anak itu tetap dibawah jagaan kita dan kita tidak bimbang dituntut semula satu hari nanti.
Saya harap kalian dapat kongsikan, manalah tahu ada ibu bapa angkat yang buntu dan tidak tahu cara. Ada yang jadi paranoid sentiasa bimbang nasib anak yang dipelihara, jatuh ke tangan pihak lain. Sekurang-kurangnya ada jalan dan cara.
Kredit : Nor Zabetha