مسند الشافعي
HADITH MUSNAD IMAM SYAFIE

Ringkasan Dan Terjemahan Serta Sedikit Keterangan

Bab Solat Yang Harus Pada Waktu Yang Dilarang

Telah diriwayatkan daripada Ummu Salamah r.a. beliau berkata :

دَخَلَ عَلَيَّ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ذَاتَ يَوْمٍ بَعْدَ الْعَصْرِ فَصَلَّى عِنْدِي رَكْعَتَيْنِ لَمْ أَكُنْ أَرَاهُ يُصَلِّيهِمَا. قَالَتْ أُمُّ سَلَمَةَ: فَقُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، لَقَدْ صَلَّيْتَ صَلَاةً لَمْ أَكُنْ أَرَاكَ تُصَلِّيهَا، قَالَ: إِنِّي كُنْتُ أُصَلِّي رَكْعَتَيْنِ بَعْدَ الظُّهْرِ، وَإِنَّهُ قَدِمَ عَلَيَّ وَفْدُ بَنِي تَمِيمٍ، أَوْ صَدَقَةٌ فَشَغَلُونِي عَنْهُمَا، فَهُمَا هَاتَانِ الرَّكْعَتَانِ

Artinya : “Rasulullah sollallahu alaihi wasallam telah datang kepadaku pada satu hari selepas asar lalu baginda telah solat di sisiku akan dua rakaat yang aku belum pernah melihatnya kerjakan dua rakaat tersebut. Berkata Umma Salamah r.a. : Wahai Rasulullah! Sungguhnya engkau telah kerjakan dua rakaat solat yang belum pernah aku melihat engkau lakukannya. Jawab baginda : Sungguhnya yang biasa aku lakukan ialah solat dua rakaat selepas zuhur dan bahawasanya telah tiba rombongan Bani Tamim atau harta zakat maka menyebabkan aku tidak sempat dari menunaikan kedua rakaat tersebut maka kedua rakaat inilah dua rakaat tersebut.”

Hadith ini ada dikeluarkan juga oleh Bukhari dan Muslim dan Abu Daud dan An-Nasaie.

Diriwayatkan daripada Muhammad bin Ibrahim At-Taimi daripada datuknya Qais berkata :

رَآنِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَنَا أُصَلِّي رَكْعَتَيْنِ بَعْدَ الصُّبْحِ، فَقَالَ: مَا هَاتَانِ الرَّكْعَتَانِ يَا قَيْسُ؟ فَقُلْتُ: إِنِّي لَمْ أَكُنْ صَلَّيْتُ رَكْعَتَيِ الْفَجْرِ، فَسَكَتَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

Rasulullah sollallahu alaihi wasallam telah nampak aku mengerjakan solat dua rakaat selepas subuh lalu bersabda : Apakah dua rakaat ini wahai Qais? Aku berkata : Sungguhnya aku belum menunaikan dua rakaat sunat subuh. Maka diam Rasulullah sollallahu alaihi wasallam.”

Hadith ini dikeluarkan juga oleh Abu Daud dan Tirmizi.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. :

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَهَى عَنِ الصَّلَاةِ نِصْفَ النَّهَارِ، حَتَّى تَزُولَ الشَّمْسُ، إِلَّا يَوْمَ الْجُمُعَةِ
Artinya : “ Sungguhnya Rasulullah sollallahu alaihi wasalllam melarang dari solat di waktu tengahari sehingga matahari telah condong kecuali pada hari jumaat.”

Hadith ini dikeluarkan juga oleh Abu Daud dan Tirmizi dan Al-Baihaqi.

Diriwayatkan daripada Jubair bin Muth’im r.a. sungguhnya Rasulullah sollallahu alaihi wasallam bersabda :

يَا بَنِي عَبْدِ مَنَافٍ، مَنْ وَلِيَ مِنْكُمْ مِنْ أَمْرِ النَّاسِ شَيْئًا، فَلا يَمْنَعَنَّ أَحَدًا طَافَ بِهَذَا الْبَيْتِ وَصَلَّى أَيَّ سَاعَةٍ شَاءَ مِنْ لَيْلٍ أَوْ نَهَارٍ

Artinya : “Wahai kaum Abdi Manaf. Siapa yang dilantik menjadi penguasa di antara kamu ke atas manusia (kaum muslimin) maka janganlah dia melarang seorang pun melakukan tawaf pada Ka’bah dan mengerjakan solat pada mana waktu sekalipun yang dia mahu pada malam dan siang.”

Hadith ini dikeluarkan juga oleh Abu Daud dan Tirmizi dan An-Nasaie.

KETERANGAN

Hadith-hadith ini datang pada menerangkan solat yang harus dikerjakan pada waktu yang dilarang padanya bersolat.

Telah lalu sebutnya adalah antara waktu-waktu yang dilarang solat padanya itu ialah selepas solat asar dan selepas solat subuh dan ketika matahari tegak di atas kepala.

Dalam hadith-hadith di atas dinyatakan pula pengecualian dari larangan tersebut yaitu harus mengerjakan solat selepas solat asar dan selepas solat subuh dan ketika matahari tegak di atas kepala.

HARUS SOLAT SELEPAS SOLAT ASAR & SUBUH

Hadith Ummu Salamah r.a. ini menjadi dalil bahawa siapa yang tertinggal solat yang sunat maka harus dia lakukannya selepas menunaikan solat fardu asar seperti mana Nabi sollallahu alaihi wasallam yang tertinggal solat sunat selepas zuhur baginda telah lakukannya selepas solat asar.

Berkata Imam Ibnu Al-Atsir :

وفي هذا الحديث من الفقه جواز الصلاة بعد العصر إذا كانت صلاة ذات سبب، لأن أم سلمة لما رأت النبي – صلى الله عليه وسلم – يصلي بعد العصر وقد سمعت منه النهي عنها، سألته فقال في جوابه ما قال فأضافها إلى سببها، وهذا نص ظاهر في جواز الصلاة السببيَّة في الوقت المنهي عنه، فهو أيضًا صريح في أن صلاة هاتين الركعتين بعد العصر كان بعد النهي عن الصلاة بعد العصر، فلا يمكن ادعاء النسخ فيه

Artinya : “Dan fiqah yang diambil pada hadith ini ialah harusnya solat selepas asar apabila adalah solat tersebut solat yang mempunyai sebab kerana sungguhnya Ummu Salamah r.a. ketika melihat akan Nabi sollallahu alaihi wasallam mengerjakan solat selepas asar dan beliau telah mendengar sebelum itu akan larangan solat pada ketika itu lalu beliau bertanya akan Nabi sollallahu alaihi wasallam maka baginda telah menyebut pada jawabnya dengan menyandarkan kepada sebabnya yaitu sebab pun Nabi sollallahu alaihi wasalam lakukan solat selepas asar ialah kerana solat itu tidak sempat dilakukan olihnya kerana kesibukkan menerima kedatangan rombongan Bani Tamim dan pengagihan harta zakat. Inilah nas yang terang pada membolehkan solat yang mempunyai sebab pada waktu yang dilarang padanya solat. Dan ia juga jelas pada bahawa kejadian dua rakaat solat yang dikerjakan itu ialah selepas dilarang akan solat selepas asar. Dan tidaklah mungkin dikatakan bahawa solat selepas asar itu telah dinasakhkan yakni dibatalkan keharusannya.” (Kitab As-Syafi Syarah Musnad As-Syafie)

Dan diambil dari hadith ini satu hukum yaitu solat sunat itu boleh diqadha dan ialah salah satu pendapat Imam Syafie dan pendapat yang paling sahih di sisi Imam Ahmad.

Dan apabila harus qadha solat sunat pada waktu yang dilarang itu maka qadha solat yang wajib lebih lagi diharuskannya.

Dan pada hadith Qais r.a. pula menjadi dalil atas harus menunaikan solat yang mempunyai sebab selepas dari solat fardu subuh.

Dalam hadith ini menceritakan Qais telah menunaikan dua rakaat selepas solat fardu subuh dan apabila ditanya oleh Nabi sollallahu alaihi wasallam kenapa beliau kerjakan solat pada waktu yang dilarang lalu jawab Qais ialah kerana dia belum menunaikan dua rakaat solat sunat fajar maka diam Nabi sollallahu alaihi wasallam apabila mendengar jawapan dari Qais dan sebab diam baginda itu ialah menunjukkan harus menunaikan solat sunat yang tidak sempat ditunaikan sebelum itu.

Dan pada riwayat Abu Daud adalah Qais r.a. berkata :

أَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَجُلًا يُصَلِّي بَعْدَ رَكْعَتَيْنِ، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: صَلَاةُ الصُّبْحِ رَكْعَتَانِ، فَقَالَ الرَّجُلُ: إِنِّي لَمْ أَكُنْ صَلَّيْتُ الرَّكْعَتَيْنِ اللَّتَيْنِ قَبْلَهُمَا، فَصَلَّيْتُهُمَا الْآنَ، فَسَكَتَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

Artinya : “Nabi sollallahu alaihi wasallam telah nampak seorang lelaki menunaikan solat dua rakaat selepas subuh kemudian baginda memberitahunya bermula solat subuh itu dua rakaat sahaja. Maka lelaki itu berkata sungguhnya aku belum menunaikan dua rakaat sebelum subuh maka inilah yang aku baru kerjakan keduanya sekarang. Maka Rasulullah sollallahu alaihi wasallam pun diam.”

Berkata Imam Ibnu Al-Atsir :

والذي ذهب إليه الشافعي رضي الله عنه أن من فاته ركعتي الفجر يصليهما بعد الفريضة. ثم وقتها عنده فيه قولان : أحدهما : وهو ظاهر كلام الشافعي: أن وقتهما يمتد إلى زوال الشمس

Artinya : “Dan yang telah berjalan kepadanya oleh Imam Syafie ialah barangsiapa yang terepas dua rakaat fajar maka dia boleh tunaikan selepas solat fardu subuh kemudian berkekalan waktunya sampai waktu zuhur menurut yang zahir dari perkataan Imam Syafie dari dua pendapat beliau.” (Kitab As-Syafi Syarah Musnad As-Syafie)

HARUS SOLAT KETIKA ISTIWA’ PADA HARI JUMAAT

Pada bab yang lepas telah didatangkan hadith melarang solat pada waktu istiwa’ yaitu ketika matahari berada di atas kepala dan diterangkan hukum solat pada waktu tersebut maka hadith Abu Hurairah r.a. menerangkan pengecualiannya yaitu tidak dilarang solat waktu istiwa’ pada hari jumaat.

Maka kekal larangan solat pada waktu istiwa’ itu pada sekelian hari yang lain selain hari jumaat.

Berkata Imam Baghawi :

وَقَدِ اخْتَلَفَ أَهْلُ الْعِلْمِ فِي هَذِهِ الرُّخْصَةِ، مِنْهُمْ مَنْ قَالَ : هِيَ مَخْصُوصَةٌ بِمَنْ حَضَرَ الْمَسْجِدَ لِصَلاةِ الْجُمُعَةِ مُبْتَكِرًا، فَلَهُ أَنْ يَتَطَوَّعَ وَقْتَ الزَّوَالِ، لأَنَّهُ قَدْ يَغْلِبُهُ النَّوْمُ، فَيَحْتَاجُ إِلَى دَفْعِهِ عَنْ نَفْسِهِ بِالصَّلاةِ، وَمِنْهُمْ مَنْ ذَهَبَ إِلَى أَنَّهَا عَامَّةٌ فِي حَقِّ كَافَّةِ النَّاسِ لِفَضِيلَةِ الْوَقْتِ

Artinya : “Dan sungguhnya telah berlaku khilaf oleh ulamak pada keringanan ini yaitu solat ketika waktu istiwa’. Setengah dari mereka itu berkata keharusan ini hanya bagi mereka yang hadir awal sahaja ke masjid bagi solat jumaat maka harus baginya kerjakan solat sunat ketika waktu tersebut supaya menolak rasa mengantuk yang dirasainya pada waktu tersebut. Dan setengah ulamak pula berpendapat keharusan solat ketika waktu istiwa pada hari jumaat ini umum pada hak sekelian orang kerana fadhilat waktu tersebut.” (Kitab Syarah As-Sunnah)

Dan pendapat Imam Syafie ialah mengharuskan solat sunat ketika waktu istiwa’ ini.

Berkata Syeikh Abdurrahman Al-Mubarakfuri :

إِلَّا يَوْمَ الْجُمُعَةِ : مُسْتَثْنًى مِنَ الْكَرَاهَةِ، يَدُلُّ عَلَى أَنَّ صَلَاةَ النَّفْلِ نِصْفَ النَّهَارِ يَوْمَ الْجُمُعَةِ غَيْرُ مَكْرُوهَةٍ، وَبِهِ قَالَ الشَّافِعِيُّ

Artinya : “Sabdanya ‘kecuali pada hari jumaat’ itu ialah mengecualikan dari larangan yang menunjukkan atas bahawa solat sunat pada waktu tengahari pada hari jumaat tidak dimakruhkan. Dan dengannyalah telah berkata oleh Imam Syafie.” (Kitab Mirqatul Mafatih)

Berkata Imam Al-Munawi :

واستثنى الشافعي يوم الجمعة ويدل له قوله (إلا يوم الجمعة) فإنها لا تكره فيه عند الاستواء

Artinya : “Dan telah mengecualikan oleh Imam Syafie akan hari jumaat dan berdalil dengan sabdanya ‘melainkan pada hari jumaat’ maka sungguhnya solat sunat itu tidak dimakruhkan pada waktu istiwa’ pada hari jumaat.” (Kitab Faidhul Qadir)

TIADA WAKTU DILARANG SOLAT DI MEKAH

Dalam hadith Jubair bin Muth’im r.a. di atas Rasulullah sollallahu alaihi wasallam telah mengecualikan larangan solat pada sebarang waktu apabila seorang itu berada di negeri Mekah dan yang dimaksudkan dengan Mekah di sini ialah seluruh tanah haram menurut pendapat yang sahih.

Berkata Imam Taqiyuddin Ad-Dimasyqi :

وَالْمرَاد بِمَكَّة جَمِيع الْحرم على الصَّحِيح

Artinya : “Dan yang dikehendaki dengan Mekah itu seluruh tanah haram atas pendapat yang sahih.” (Kitab Kifayatul Akhyar)

Berkata Imam Ibnu Al-Atsir :

وهذا الحديث يدل على ما ذهب إليه الشافعي، من كراهة الأوقات المنهي عنها إلا في مكة، وقد سبق القول في ذلك.
والصلاة في الأوقات المكروهة قد فعلها ابن عباس، وابن عمرو، وابن الزبير، والحسن والحسين بن علي بن أبي طالب، وعطاء، وطاوس، والقاسم بن محمد، ومجاهد، والشعبي، وأحمد، وإسحاق، وأبو ثور

Artinya : “Dan hadith ini menunjukkan atas pendapat Imam Syafie yaitu dimakruhkan solat pada sekelian waktu yang dilarang dari padanya itu melainkan di negeri Mekah dan telah lalu sebutnya solat pada segala waktu yang dimakruhkan itu dan sungguh telah mengerjakannya oleh Ibnu Abbas r.a. dan Ibnu Umar r.a. dan Ibnu Az-Zubair r.a. dan Al-Hasan dan Al-Husain bin Abi Talib r.a. dan Atha’ dan Thawus dan Al-Qasim bin Muhammad dan Mujahid dan As-Sya’bi dan Ahmad dan Ishaq dan Abu Tsur.” (Kitab As-Syafi Syarah Musnad As-Syafie)

Pada riwayat Ad-Daruqutni dan Al-Baihaqi :

لَا يُصَلِّيَنَّ أَحَدٌ بَعْدَ الصُّبْحِ إِلَى طُلُوعِ الشَّمْسِ , وَلَا بَعْدَ الْعَصْرِ حَتَّى تَغْرُبَ الشَّمْسُ إِلَّا بِمَكَّةَ

Artinya : “Jangan solat orang seorang pun selepas subuh sehinggalah keluar matahari dan tidak juga selepas asar sehingga tenggelam matahari kecuali di Mekah.”

Maka difahami bahawa hadith-hadith yang datang pada menerangkan tentang dibolehkan solat pada sekelian waktu yang dilarang itu mentakhsiskan hadith-hadith larangan yang bersifat umum.

Berkata Syeikh Sa’id Al-Hadhrami :

وهذا صريح في تخصيص عموم النهي عن الصلاة في تلك الأوقات

Artinya : “Dan hadith ini jelas pada mentakhsiskan larangan yang umum dari mengerjakan solat pada sekelian waktu tersebut.” (Kitab Busyral Karim)

Berkata Dr Mustafa Al-Bugha :

ويستثنى من هذا النهي مطلقاً حرم مكة

Artinya : “Dan dikecualikan dari larangan solat ini secara mutlak di tanah haram Mekah.” (Kitab Al-Fiqh Al-Manhaji)

SOLAT YANG DILARANG DAN YANG DIHARUSKAN

Kesimpulannya ada lima waktu tidak dilakukan solat padanya melainkan solat yang ada sebab baginya yaitu selepas solat subuh hingga terbit matahari dan ketika matahari sedang terbit sehingga sempurna tinggi kadar segalah dan ketika istiwa’ hingga gelincir matahari dan selepas solat asar hingga tenggelam matahari dan ketika sedang tenggelam matahari.

Dan kecualikan dari larangan ini ialah sekelian solat yang mempunyai sebab yang terdahulu.

Maksud sebab terdahulu itu ialah solat itu dikerjakan kerana suatau sebab dan adalah sebabnya itu berlaku dahulu sebelum dari solat contohnya solat sunat wuduk maka sebab yang menjadikan solat ini sunat dikerjakan ialah kerana mengambil wuduk maka mengambil wuduk yang menjadi sebab disunatkan solat itu berlaku dahulu daripada solat yaitu berlaku wuduk dahulu kemudian berlakunya solat.

Dan misalnya lagi solat sunat tahyat masjid maka sebab disunatkan solat tersebut ialah kerana masuk seorang itu ke dalam masjid maka apabila dia telah masuk ke dalam masjid maka datanglah perintah sunat menunaikan solat sunat wuduk maka berlaku sebab lebih dahulu yaitu masuk ke dalam masjid dan solat terkemudian dari sebabnya.

Berkata Imam Taqiyuddin Ad-Dimasyqi :

وَهَذَا كُله فِي صَلَاة لَا سَبَب لَهَا وَأما مَا لَهَا سَبَب فَلَا تكره وَالْمرَاد بِالسَّبَبِ السَّبَب الْمُتَقَدّم أَو الْمُقَارن فَمن ذَوَات الْأَسْبَاب قَضَاء الْفَوَائِت كالفرائض وَالسّنَن والنوافل الَّتِي اتخذها الانسان وردا وَتجوز صَلَاة الْجِنَازَة وَسُجُود التِّلَاوَة وَالشُّكْر وَصَلَاة الْكُسُوف وَلَا تكره صَلَاة الاسْتِسْقَاء فِي هَذِه الْأَوْقَات على الْأَصَح

Artinya : “Dan sekelian larangan ini ialah pada solat yang tiada sebab baginya. Dan adapun solat yang ada baginya sebab maka tidak dimakruhkan. Dan yang dikehendaki dengan arti sebab itu yaitu sebab yang terdahulu atau sebab yang menyertai. Maka setengah daripada solat-solat yang mempunyai sebab itu ialah qadha sekelian solat yang tertinggal yang fardu dan yang sunat dan sekelian solat sunat yang dijadikan wirid oleh seseorang. Dan harus solat jenazah dan sujud tilawah dan sujud syukur dan solat gerhana. Dan tiada makruh solat minta hujan pada sekelian waktu ini atas pendapat yang lebih sahih.” (Kitab Kifayatul Akhyar)

Berkata Syeikh Arsyad Al-Banjari :

“Adapun segala solat yang diharamkan solat di dalam segala waktu yang lima itu yaitu solat yang tiada baginya sebab yaitu solat sunat mutlak dan solat tasbih atau ada bagi solat itu sebab yang terkemudian daripada solat seperti solat sunat ihram dan solat istikharah yang dilakukan pada tempat yang lain daripada tanah haram Mekah.
Maka adapun solat yang ada baginya sebab yang terdahulu daripadanya atau yang menyertai sebab itu dengan solat seperti solat qadha fardu atau qadha yang sunat dan solat jenazah dan solat kerana minta hujan dan solat gerhana dan solat nazar dan solat hari raya dan solat dhuha dan solat sunat tawaf dan sunat wuduk dan solat tahyat masjid dan sujud syukur dan sujud tilawah maka tiada diharamkan sekelian yang tersebut itu di dalam segala waktu yang lima itu kerana tersebut dalam hadith Bukhari dan Muslim bahawasanya Nabi sollallahu alaihi wasallam luput akan dia solat sunat zuhur yang kemudian (yakni solat ba’diah) maka diqadhanya akan dia kemudian daripada solat asar. Dan ijmak sekelian ulamak atas harus solat jenazah kemudian daripada solat subuh dan asar maka diqiaskan dengan dia solat yang lain daripadanya dan ditanggungkan tegah pada barang yang disebutkan itu atas solat yang tiada baginya sebab atau ada baginya sebab yang terkemudian daripada solat tetapi jika disengajanya mentakhirkan solat qadha kepada segala waktu itu supaya diqadhanya akan dia di dalam waktu itu atau masuk ia ke dalam masjid di dalam waktu itu dengan qasad tahyat masjid jua maka hanyalah (yakni bukan sebab yang lain) maka yaitu haram lagi tiada sah solatnya.
Adapun tanah haram Mekah samada Masjidil Haram atau yang lainnya maka tiada haram di dalamnya memperbuat sekelian yang tersebut itu di dalam segala waktu itu kerana sabda Nabi sollallahu alaihi wasallam : Wahai sekelian keturunan Abdi Manaf jangan kamu sekelian menegah seorang juapun yang tawaf ia akan Baitullah ini dan yang solat ia pada mana-mana saat yang dikehendakinya daripada malam atau siang. Telah meriwayatkan akan dia oleh Tirmizi dan lainnya.” (Kitab Sabilal Al-Muhtadin)

Maka difahami disini bahawa jika sengaja memilih untuk mengerjakan solat di dalam waktu yang dilarang itu maka hukumnya adalah tidak diharuskan.

Berkata Syeikh Khatib As-Syarbini :

وَمحل مَا ذكر إِذا لم يتحر بِهِ وَقت الْكَرَاهَة ليوقعها فِيهِ وَإِلَّا بِأَن قصد تَأْخِير الْفَائِتَة أَو الْجِنَازَة ليوقعها فِيهِ أَو دخل الْمَسْجِد وَقت الْكَرَاهَة بنية التَّحِيَّة فَقَط أَو قَرَأَ آيَة سَجْدَة ليسجد لَهَا فِيهِ وَلَو قَرَأَهَا قبل الْوَقْت لم تصح للْأَخْبَار الصَّحِيحَة كَخَبَر لَا تحروا بصلاتكم طُلُوع الشَّمْس وَلَا غُرُوبهَا

Artinya : “Dan tempat yang telah disebut itu (yakni harus menunaikan solat yang ada baginya sebab) adalah apabila seorang itu bukan sengaja memilih dengannya akan waktu yang dilarang supaya menunaikannya di dalam waktu tersebut. Dan jika tidak seperti dia niat melambatkan solat qadha atau solat jenazah supaya dilakukan di dalam waktu yang dilarang atau dia masuk ke dalam masjid pada waktu yang dilarang dengan niat untuk solat tahyat masjid atau dia membaca ayat sajadah supaya dia sujud bagi ayat tersebut dalam waktu yang dilarang sekalipun dia mula membacanya sebelum waktu nescaya tidak sah kerana hadith-hadith yang sahih seperti hadith jangan kamu sengaja memilih akan berbuat solat kamu ketika matahari sedang terbit dan ketika sedang tenggelamnya.” (Kitab Al-Iqna’)

Dan harus solat nazar di dalam waktu yang dilarang ini yang bukan dinazarkan untuk solat didalam waktu yang dilarang. Contohnya seorang itu bernazar jika dia dapat keluar dari hospital dia bernazar hendak solat dua rakaat lalu keluar dia selepas solat asar maka harus dia solat dua rakaat yang dinazarkannya pada waktu tersebut.

Adapun jika seorang itu bernazar hendak solat dalam waktu yang dilarang itu maka hukumnya tidak harus dan tidak sah.

Dan begitu juga harus qadha solat fardu bagi orang yang teringat atau terjaga pada ketika matahari sedang terbit bagi solat subuh dan ketika matahari sedang terbenam bagi solat asar yakni jika seorang itu terjaga dari tidurnya atau teringat dari lupanya ketika matahari sedang terbit maka harus dia kerjakan solat subuh ketika itu dan seorang yang terjaga dari tidur atau teringat dari lupanya ketika matahari sedang tenggelam maka harus dia kerjakan solat asar pada ketika itu.

wallahua’lam

https://www.facebook.com/100001480210614/posts/4334847759907855/?d=n

Kredit : ustaz azhar idrus