- Bolehkah kita katakan bencana alam dan kerosakan yang berlaku ini adalah disebabkan dosa yang dilakukan manusia?
Boleh. Bahkan itulah yang diberitahu Allah ta’ala sendiri selaku pemilik sekelian alam. Dalam al-Quran, Allah memberitahu yang munculnya ‘al-fasad’ di darat dan di laut adalah hasil perbuatan tangan manusia :
((ظَهَرَ ٱلْفَسَادُ فِى ٱلْبَرِّ وَٱلْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِى ٱلنَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعْضَ ٱلَّذِى عَمِلُواْ لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ)
(Al-Rum, ayat 41)
Al-Fasad dalam ayat ini, menurut mufassirin semisal al-Baghawi, Ibn Kathir, al Sa’di dan lain-lain, merujuk kepada kemarau, waba dan segala macam bencana alam yang memusnahkan kehidupan manusia.
Allah juga memberitahu bahawa Dia menghantar angin yang kencang, ataupun pekikan yang mengerikan, ataupun mengizinkan bumi untuk menelan segala yang berada dipermukaannya adalah dengan sebab dosa manusia:
((فَكُلًّا أَخَذْنَا بِذَنۢبِهِۦ ۖ فَمِنْهُم مَّنْ أَرْسَلْنَا عَلَيْهِ حَاصِبًا وَمِنْهُم مَّنْ أَخَذَتْهُ ٱلصَّيْحَةُ وَمِنْهُم مَّنْ خَسَفْنَا بِهِ ٱلْأَرْضَ وَمِنْهُم مَّنْ أَغْرَقْنَا ۚ وَمَا كَانَ ٱللَّهُ لِيَظْلِمَهُمْ، وَلَٰكِن كَانُوٓاْ أَنفُسَهُمْ يَظْلِمُونَف
( Al-Ankabut, ayat 40)
Huruf ‘ba’ dalam frasa “فَكُلًّا أَخَذْنَا بِذَنۢبِهِۦ”, dari sudut Bahasa Arab, adalah ba al-sababiah iaitu ba yang datang untuk menunjukkan sebab kepada akibat yang berlaku.
- Bukankah ayat-ayat ini, khususnya ayat 40 daripada Surah al-Ankabut, merujuk kepada kaum-kaum terdahulu seperti kaum ‘Ad, kaum Thamud dan Qarun juga kaum Firaun?
Walaupun ayat-ayat ini turun dengan merujuk latar masa, latar tempat dan watak-watak tertentu secara spesifik, kaedah dan prinsip yang digagaskan melaluinya adalah bersifat universal dan terpakai untuk setiap waktu dan keadaan. Inilah yang disebut oleh kaedah yang masyhur dalam disiplin ilmu tafsir “العبرة بعموم اللفظ لا بخصوص السبب”
- Jika bencana alam itu datang kerana dosa manusia, adakah kita mahu katakan bahawa mereka yang tertimpa musibah bencana alam ini adalah manusia yang melakukan dosa maka oleh kerana itu mereka ditimpa bala?
Pertama sekali, tiada manusia yang tidak berbuat dosa seperti mana yang disebut dalam sebuah riwayat yang dilaporkan oleh al-Tirmizi “setiap anak Adam itu pendosa, dan sebaik baik pendosa itu adalah mereka yang bertaubat”.
Yang kedua, tabiat azab dan bencana tidak semestinya akan turun terkena hanya kepada mereka yang melakukan maksiat, bahkan azab dan bencana boleh terkena kepada semua orang. Inilah yang disebutkan oleh Allah dalam al-Quran:
وَٱتَّقُواْ فِتْنَةً لَّا تُصِيبَنَّ ٱلَّذِينَ ظَلَمُواْ مِنكُمْ خَآصَّةً ۖ وَٱعْلَمُوٓاْ أَنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلْعِقَابِ
(Al-Anfal, ayat 25)
Yang ketiga, seperti yang disebut dalam perkara no.1 di atas, bencana alam datang adalah dengan sebab maksiat dan dosa, oleh kerana itu huruf ba dalam frasa “فَكُلًّا أَخَذْنَا بِذَنۢبِهِۦ” adalah ba al-sababiah, bukannya ba al-‘iwadh (ba al-‘iwadh diguna untuk menunjukkan kadar tukaran/ counter value untuk sesuatu perkara seperti seseorang yang berkata “بعتك هذا الكتاب بعشر ريال”. Di sini, 10 riyal adalah sebagai balasan setara untuk buku tersebut).
Untuk menjelaskan lagi fungsi beza antara kedua-dua jenis huruf ba ini, boleh diperhatikan dalam ayat ke-32 daripada surah al-Nahl yang berbunyi “ادخلوا الجنة بما كنتم تعملون” (masuklah kamu ke dalam syurga dengan apa yang telah kamu kerjakan). Jika dikatakan huruf ba di sini sebagai ba ‘iwad’, ayat ini akan bertentangan dengan sebuah hadith sahih Riwayat Muslim daripada Baginda Nabi yang memberitahu manusia tidak akan memasuki syurga dengan amal ibadahnya:
((لن يدخل أحد منكم عمله الجنة قالوا: ولا أنت يا رسول الله؟ قال: ولا أنا إلا أن يتغمدني الله منه بفضل ورحمة))
Amal Ibadah manusia bukanlah kadar tukaran untuk syurga Allah. Sebaliknya, amal ibadah adalah sebab untuk adanya peluang memilik syurga Allah. Untuk benar-benar memilikinya, itu bergantung kepada perkenan dan izin Allah.
Maka dalam soal perkaitan dosa dan bencana, dosa adalah sebab terwujudnya bencana. Namun, bencana bukannya semestinya counter value untuk dosa yang dilakukan. Tidak juga boleh dikatakan bencana datang adalah sebagai hukuman kepada dosa yang tertentu ataupun sebagai hukuman kepada orang tertentu secara spesifik kerana ini akan menukar dosa tadi daripada ‘sebab’ kepada ‘iwad’. Tiada siapa pun yang memahami agama ini dengan benar akan berkata begini.
Juga, boleh jadi jika mahu diukur, bencana alam ini sendiri masih belum cukup untuk membalas dosa yang dilakukan oleh si fulan. Juga, boleh jadi si fulan terkena musibah dengan sebab dosa orang lain bukan kerana perlakuannya seperti yang disebut dalam ayat ke-25 Surah al-Anfal yang disebut tadi.
Justeru, apabila kita mengatakan bencana ini timbul hasil dosa manusia, kita merujuk kepada ‘sebab’ bukannya ‘iwad’
- Jika begitu, di mana adilnya Allah?
Allah Maha mengetahui, Maha adil dan Maha berkuasa. Dengan sifat keagungan dan kesempurnaan-Nya, Dia mentakdir hamba-hambanya menerima musibah yang sama namun dengan natijah yang berbeza-beza. Ada yang ditimpa bala lalu dia bersabar, maka musibah tadi menjadi sebab untuk dia mendapat ganjaran pahala tanpa hisab. Ada yang ditimpa bala lalu berhenti dari melakukan maksiat dan kembali pada Allah. Namun ada juga yang ditimpa musibah lalu dia berterusan mengingkari dan melanggar batasan- batasan yang ditetapkan Allah. Maka keadilan Allah adalah pada ‘free will’ yang diberikan pada mereka yang tertimpa musibah tadi, adakah mereka mahu jadikan musibah sebagai modal untuk meraih pahala dan darjat yang tinggi di sisi-Nya ataupun mereka mahu jadikan musibah tadi sebagai perkara yang makin menjauhkan mereka daripada rahmat dan kasih sayang Allah.
- Bencana adalah disebabkan dosa, maka adakah tiada keperluan bagi kita berusaha untuk mencegah bencana kerana, seperti mana dosa pasti ada, bencana juga pasti ada?
Seseorang yang mengatakan bahawa sebab berlakunya bencana alam adalah kerana dosa tidak langsung bermaksud dia mengatakan tidak perlu kepada usaha mencegah bencana. Hakikat ini juga tidak boleh dijadikan sebab untuk seseorang yang diberi amanah mentadbir hal ehwal manusia untuk bersikap lepas tangan apabila berlakunya bencana alam dengan alasan ‘ini semua kehendak Allah’. Isu ‘sebab’ dan ‘amal’ adalah dua perkara berbeza yang tidak boleh dicampur adukkan.
Dalam hal umur, umpamanya, Allah memberitahu bahawa bila tiba ajal seseorang yang ditetapkan, tidak akan terawal satu detik mahupun terlewat satu detik pun seperti dalam ayat 34 Surah al-A’raf ((وَلِكُلِّ أُمَّةٍ أَجَلٌ ۖ فَإِذَا جَآءَ أَجَلُهُمْ لَا يَسْتَأْخِرُونَ سَاعَةً ۖ وَلَا يَسْتَقْدِمُونَ)). Namun, Allah juga memerintahkan manusia untuk tidak mencampakkan diri dalam kebinasaan seperti dalam ayat ke-195 Surah al-Baqarah ((وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ)) Biarpun matinya telah ditetapkan tarikhnya, seorang manusia tetap dicela jika dia cuai dalam urusan menjaga nyawa. Biar apa pun nanti yang akan menjadi sebab kepada kematiannya, dia tetap dituntut untuk terus beramal dengan menjaga hidupnya dan akan dipersoalkan jika dia culas dan lalai.
6.Adakah sesuai untuk mengingatkan tentang dosa sekarang? Bukankah dalam keadaan susah seperti sekarang, kita perlu menggembirakan hati mereka yang sedang dilanda musibah?
Mengingatkan manusia tentang dosa dan menyeru mereka untuk kembali pada Allah apabila berlakunya sesebuah fenomena alam adalah perbuatan Baginda Nabi yang semestinya patut dicontohi oleh umatnya. Dalam hadith popular riwayat al-Bukhari berkenaan gerhana matahari, Nabi mengingatkan bahawa fenomena alam seperti itu adalah cara Allah memperlihatkan kekuasaan-Nya bagi menimbulkan rasa gerun dalam hati-hati para hamba-Nya.
((إن الشمس والقمر آيتان من آيات الله لا ينكسفان لموت أحد
ولا لحياته، ولكن الله تعالى يخوف بها عباده))
Mengaitkan bencana alam dengan soal dosa tidak sama sekali menambahkan duka dalam hati mereka yang terkena musibah jika kena caranya. Ingatan untuk segera kembali pada Allah, tidak menghakimi mana-mana pihak ataupun menuduh dengan tuduhan yang tidak berasas bahkan mengulang-ulang janji Allah kepada mereka yang bersabar dan redha dengan ketentuan-Nya sebaliknya merupakan ubat penenang yang paling mujarab yang sepatutnya ditawarkan kepada mereka selain daripada bantuan-bantuan lain yang bersifat material.
- Ada seruan daripada sebahagian asatizah untuk tidak mengaitkan bencana dengan dosa dengan alasan ‘jangan jadi jurucakap Tuhan’. Apakah nasihat kepada mereka?
Para asatizah hendaklah bertaqwa kepada Allah dan bersikap tenang dan jujur dalam menyampaikan risalah agama ini kepada manusia mengikut petunjuk al-Quran dan al-Sunnah, bukannya menurut arus populariti dan mahu dilihat sebagai ‘memahami masyarakat’. Mahu kelihatan ‘berfikir di luar kotak’ seringkali menjadikan para asatizah terlepas pandang perkara-perkara yang bersifat ‘badeehe’.
Menyampaikan apa yang disebut oleh Tuhan berasaskan sumber-sumber yang berautoriti adalah sememangnya tanggungjawab para asatizah. Dalam erti kata yang lain, memang menjadi kerja para asatizah untuk menjadi ‘jurucakap Tuhan’ mengikut skrip yang Tuhan sediakan. Ini jugalah yang dimaksudkan sebagai ‘khalifah Allah’ di muka bumi seperti yang disebut dalam surah al-Baqarah ayat ke- 30 ((وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيفَةً). Khalifah, secara literalnya, bermaksud pengganti.
Kita perlu ajar manusia untuk kaitkan segala benda dengan agama. Malang sekali bila kita yang diharapkan untuk membumikan agama, kita pula yang mengebumikan agama dengan kecenderungan ala- ala sekular dalam mempromosi agama, seolah-olah ada bahagian hidup dunia ini yang tidak wajar dikait dengan dosa pahala.
Kredit : Tuan Badrul Hisyam