PERBEZAAN DI ANTARA ISTILAH ( لا أصل له ) DAN MAUDHU’

Syaikhuna al-Allamah al-Muhaddis Prof Dr Ahmad Ma’bad hafizahullah , Ahli Majlis Anggota Ulama Besar al-Azhar As-Syariff telah menerangkan di dalam satu majlis beliau di Masjid al-Azhar As-Syariff tentang perbezaan dua istilah tersebut.

Saya simpulkan perbahasannya seperti berikut:

  1. Terdapat perbezaan ketara di antara dua istilah tersebut .
  2. Kelompok yang menyamakan di antara istilah لا أصل له dan الموضوع seperti al-Imam As-Syaukani (1250 Hijriyyah ) dan al-Imam Mulla Ali Qari ( wafat 1014 Hijriyyah )rahimahumallah di dalam kitabnya al-Asrar al-Marfu’ah Fi Ahadith al-Maudhu’ah telah melakukan kesilapan ketika menyamakan di antara kedua-dua istilah tersebut.
  3. Syaikhuna Ahmad Ma’bad hafizahullah menjelaskan bahawa berlaku salah faham terhadap istilah tersebut kepada semisal kedua-dua Imam yang telah kita sebutkan adalah kerana tersalah faham dengan apa yang telah diletakkan oleh al-Imam al-Iraqi rahimahullah (806 Hijriyyah ) .
  4. Al-Imam Zainuddin al-Iraqi rahimahullah telah menyebut di dalam Takhrij beliau bagi Kitab Ihya Ulumuddin sebanyak lebih daripada 1000 kali istilah لا أصل له dengan pelbagai sighah . Sedangkan pada hadis yang dinilai Maudhu’ oleh beliau maka beliau akan sebutkan bahawa ianya Maudhu’. Maka ini jelas menunjukkan perbezaan istilah dan maksud bagi kedua-dua istilah tersebut.
  5. Hadis Maudhu’ seperti yang telah diletakkan takrifnya oleh para ulama Muhaddisin semisal al-Imam As-Suyuti rahimahullah ialah : (( Hadis yang pada sanadnya terdapat Perawi yang banyak mencipta hadis atau disifatkan perawi tersebut dengan al-Kazzab serta dia bersendirian di dalam periwayatan tersebut ))
  6. Manakala ( لا أصل له ) pula bermaksud : Hadis yang tidak ditemui sanadnya.
  7. Maka jelas perbezaan besar di antara dua istilah itu. Tidak ditemui sanad bukan bermaksud tiada sanadnya. Malah lebih buruk kalau dihukumkan Maudhu’ ( Palsu) sedang maksud keduanya jelas berbeza.
  8. Disebabkan itulah al-Imam Murtadha Az-Zabidi rahimahullah ( wafat 1205 Hijriyyah) pernah menyebut pada sebahagian Hadis yang dinilai oleh al-Imam al-Iraqi sebagai لا أصل له : (( Perkataan al-Iraqi pada sebahagian hadis dengan ‘Tiada Asal Baginya’ hakikatnya perkataannyalah yang tiada asal baginya kerana aku temui asal bagi hadis tersebut)).
  9. Syaikhuna Ahmad Ma’bad hafizahullah menyebutkan bahawa ada seorang ulama besar al-Azhar As-Syariff iaitu Al-Allamah Al-Muhaddis Abul Mahasin Muhammad bin Khalil al-Qawughji rahimahullah ( wafat 1305 Hijriyyah) telah mengarang kitab yang sangat bermanfaat dan telah menjelaskan perbezaan tersebut pada tajuk kitabnya iaitu : اللؤلؤ المرصوع فيما لا أصل له أو بأصله موضوع . Maka dinasihatkan kepada para penuntut ilmu hadis khususnya menelaah kitab yang berharga ini.

Semoga perbahasan ini memberi manfaat kepada semua. Maka saya ringkaskan jawapannya di dalam bentuk Urjuzah bagi menjawab soalan daripada seorang penuntut ilmu yang sangat mengambil berat tentang perkara ini.

Semoga Allah taala memberikan kepada kita kefahaman yang jelas serta menjauhkan kita daripada cepat menghukum sesuatu yang kita tidak ketahui.

بارك الله فيكم

Kredit : Ustaz Nazrul Nasir