Pada suatu hari, Imam Syafie menziarahi Imam Ahmad bin Hanbal di rumahnya. Imam Ahmad memiliki seorang anak perempuan yang solehah. Puteri kecil yang solehah ini berasa amat teruja apabila mengetahui bahawa seorang ulama besar dan terkenal akan bermalam di rumah mereka. Beliau sering mendengar ayahnya, Imam Ahmad memuji-muji kehebatan Imam Syafie.
Setibanya Imam Syafie di rumah Imam Ahmad, beliau telah dijamu dengan hidangan makan malam. Imam Syafie makan dengan begitu banyak! Apabila tiba waktu tidur, Imam Syafie terus baring dan tidak bergerak. Puteri kecil yang solehah ini memerhatikan gerak-geri beliau. Anak solehah ini melihat ayahnya, Imam Ahmad bangun pada waktu malam untuk solat tahajjud, membaca zikir dan sebagainya. Namun beliau melihat Imam Syafie hanya baring di pembaringannya dan langsung tidak bangun untuk qiamullail !! Puteri solehah ini bertambah hairan apabila melihat Imam Syafie bangun dan terus solat Subuh bersama mereka tanpa mengambil wuduk !!
Usai solat, si anak bertemu dengan ayahnya dan meluahkan kehairanannya terhadap perbuatan Imam Syafie yang sering dipuji oleh ayahnya itu…
Untuk mendapatkan penjelasan, Imam Ahmad bertemu Imam Syafie dan menyampaikan segala pertanyaan puterinya itu. Lalu Imam Syafie menjelaskan,
“Berkenaan saya makan banyak ketika hidangan makan malam tadi, kerana saya tahu bahawa segala makanan yang terdapat di dalam rumah ini datang daripada hasil yang halal. Dan makanan orang yang pemurah akan menjadi syifa (penyembuh) manakala makanan orang yang bakhil akan membawa penyakit. Jadi saya makan makanan tuan dengan banyak dengan niat mendapatkan syifa…
Berkenaan saya tidak bangun qiamullail, kerana malam tadi, ketika saya merebahkan jasad saya di pembaringan, saya terfikir beberapa masalah dan hukum Fiqh. Saya seolah-olah melihat semua ayat-ayat al-Quran dan hadith-hadith terpapar di hadapan mata saya. Ketika itu Allah SWT membuka kefahaman kepada saya dan saya berjaya menyelesaikan 72 masalah Fiqh…
Berkenaan saya tidak mengambil wuduk ketika solat Subuh, kerana saya langsung tidak tidur pada malam tadi. Mulai saat saya merebahkan jasad saya di pembaringan, fikiran saya terus mula memikirkan permasalahan Fiqh tersebut sehingga azan Subuh. Oleh itu saya solat Subuh menggunakan wuduk solat Isyak semalam.”
Setelah Imam Syafie beredar, Imam Ahmad pun menjelaskan segala perkara tersebut kepada puterinya sambil berkata, “Amalan Imam Syafie pada malam tadi lebih baik daripada amalanmu dan ayahmu…”
- T A M A T –
Kredit : Ashraff Osman