ADA TEROWONG DI BUKIT MELAKA?
Sejak tahun 60-an lagi telah terdapat “cakap-cakap” dari kalangan masyarakat setempat mengenai kewujudan terowong lama atau laluan bawah tanah di sekitar Bukit Melaka (Bukit St. Paul). Antara yang sering didengari ialah terdapat terowong dari Bukit Melaka ke Bukit Senjuang malah ada juga mendakwa terdapat laluan dari Bukit Melaka hingga ke Pulau Besar.
Cerita-cerita sebegini masih tiada bukti fizikal yang boleh dijadikan sandaran. Cuma di dalam catatan-catatan lama seperti Hikayat Munsyi Abdullah, catatan Portugis dan lain-lainnya ada menyebut terowong, laluan, ruang bawah tanah yang terdapat sekitar Bukit Melaka. Namun sayangnya, sehingga kini masih belum dapat dibuktikan kesahihannya.
Justeru, Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) telah bekerjasama dengan Kementerian Sains dan Teknologi (MOSTI) di bawah Inisiatif Teknologi Tinggi Sentuhan Rendah sedang menjalankan kajian untuk menjejaki terowong dengan menggunakan segala teknologi terkini yang boleh diguna-pakai.
Kerjasama ini melibatkan agensi-agensi di bawah MOSTI seperti Agensi Nuklear Malaysia dan Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) serta turut melibatkan penyelidik dari universiti tempatan seperti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM).
Pada peringkat awal ini, satu penyelidikan dijalankan oleh pihak MYSA dengan kaedah resistiviti bagi mengesan sebarang unsur-unsur di bawah tanah. Sebanyak 8 lokasi di sekitar kawasan bukit ini telah diuji dengan kaedah resistiviti. Projek penyelidikan oleh MYSA telah dijalankan pada 15 – 19 November 2021 dan masih dalam pemprosesan data.
Semoga suatu hari nanti, melalui kajian dan penyelidikan menggunakan teknologi tinggi ini dapat merumuskan sama ada terdapat terowong atau laluan bawah tanah di sekitar Bukit Melaka atau sebaliknya.
kredit : Muzium & Galeri Melaka