TUDM mengesan 16 buah pesawat Tentera Udara China (PLAAF) yang melakukan penerbangan mencurigakan dengan memasuki ruang Zon Maritim Malaysia (ZMM), Kota Kinabalu FIR serta menghampiri ruang udara nasional.
Penerbangan pesawat PLAAF itu dikesan oleh Radar Pertahanan Udara TUDM dari Pusat Pertahanan Udara CRC 2 di Sarawak menurut Jeneral Tan Sei Ackbal Abdul Samad, Panglima Tentera Udara (PTU).
Pesawat bekenaan dikesan terbang secara formasi taktikal in-trail pada jarak 60 batu nautika antara satu sama lain. Formasi panjang itu juga terbang dengan paten dan haluan yang sama menggunakan satu titik laluan masuk dan keluar. Pesawat itu kemudiannya mengubah hala penerbangan ke Beting Patinggi Ali yang berkepentingan kepada negara.
Pesawat itu dikesan terbang pada ketinggian antara 23,000 kaki hingga 27,000 kaki dengan kelajuan 290 knots melalui Singapore FIR sebelum memasuki ruang udara ZMM, Kota Kinabalu FIR dan seterusnya terbang menghala menghampiri 60 batu nautika daripada pesisir pantai Wilayah Sarawak yang dikhuatiri akan mengancam kedaulatan negara.
Pesawat Hawk 208 daripada No. 6 Skuadron, Pangkalan Udara Labuan di letakan oleh pihak TUDM dalam keadaan siap sedia melalui Operasi Curiga TUDM. Pemantauan menerusi radar diteruskan disamping cuba mengatahkan mereka hubungi kawalan trafik udara KK FIR.
TUDM melancarkan pesawat pemintas untuk melakukan identifikasi visual apabila arahan tidak dipatuhi serta didapati melangkaui persempadanan Kota Kinabalu FIR menghala ke ruang udara nasional. TUDM mengenal pasti pesawat itu adalah daripada jenis Ilyushin Il-76 dan pesawat Xian Y-20 iaitu pesawat pengangkut strategik dan berupaya melaksanakan pelbagai misi.
Kejadian ini adalah perkara yang serius terhadap ancaman kedaulatan negara dan keselamatan penerbangan berdasarkan kepadatan trafik udara di dalam laluan penerbangan di dalam KK FIR. Pihak TUDM dan ATM mengendalikan isu ini berlandaskan undang-undang dan peraturan penerbangan antarabangsa International Civil Aviation Organization (ICAO) serta Strategi Pertahanan Udara Nasional (SPUN).
Kementerian Luar Negeri juga telah mengambil maklum tentang perkara ini melalui Kementerian Pertahanan. Oleh itu, Wisma Putra akan mengemukakan nota bantahan diplomatik kepada China berhubung. Ia disifatkan sebagai ‘pencerobohan ruang udara dan kedaulatan Malaysia’ oleh Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Kementerian Luar akan memanggil Duta Besar China ke Malaysia untuk mendapatkan penjelasan berhubung pencerobohan itu. Menteri Luar juga akan membangkitkan kebimbangan serius kepada rakan sejawatnya di China berhubung perkara ini. Malaysia tidak akan sesekali berkompromi dalam aspek keselamatan negara meskipun memiliki hubungan diplomatik dengan mana-mana negara. Malaysia tetap teguh dalam mempertahankan maruah dan kedaulatan negara.