UMAT Islam terbahagi kepada 73 golongan adalah suatu perkara yang dimaklumi ramai. Hal ini berlandaskan daripada hadis Nabi: “Golongan Yahudi berpecah kepada 71 atau 72 golongan. Adapun golongan Nasrani pula berpecah kepada 71 atau 72 golongan juga dan umatku akan berpecah kepada 73 golongan.” (Hadis Riwayat Abu Daud, No. 4596)

Namun, dalam 73 golongan ini tidak semuanya betul atau bertepatan dengan akidah Nabi SAW. Oleh demikian dalam riwayat lain, Nabi menyatakan hanya satu golongan yang benar dan selamat daripada api neraka. Riwayat tersebut adalah daripada Muawiyyah bin Abi Sufyan: “Ketahuilah, sesungguhnya golongan ahli kitab sebelum daripada kamu berpecah kepada 72. Dan golongan ini (Islam) akan berpecah kepada 73 golongan. 72 golongan akan ke neraka dan satu golongan akan ke syurga iaitu al-Jamaah.” (Hadis Riwayat Abu Daud, No.4597)

Dalam riwayat ini juga menerangkan bahawa golongan yang selamat ialah golongan Al-Jamaah. Apakah ciri-ciri Al-Jamaah?

Kita perlu tahu, supaya kita dapat memastikan bahawa kita berada di pihak yang benar. Oleh itu, ada riwayat yang lain pula menerangkan siapakah golongan yang selamat itu, iaitu hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin ‘Amr: “Dan akan berpecah umatku kepada 73 golongan golongan. Semuanya akan dimasukkan ke dalam neraka melainkan satu kumpulan sahaja. Sahabat bertanya: Wahai Rasulullah, siapakah mereka? Nabi menjawab: Apa yang aku berada di atasnya dan juga sahabat-sahabatku.” (Hadis Riwayat At-Tirmidzi, No.2641)

Sabda Nabi ini jelas menunjukkan sesiapa yang berpegang dengan akidah dan sunah yang dibawa oleh Nabi SAW dan sahabat maka ia adalah golongan terselamat. Oleh itu, berdasarkan hadis di atas ulama menegaskan bahawa satu golongan yang selamat ialah golongan yang berpegang dengan sunah Nabi SAW dan ia kumpulan Al-Jamaah (majoriti umat Islam). Kemudian istilah yang baharu muncul yang merujuk kepada golongan ini iaitu Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Ahli Sunnah Wal Jamaah mestilah golongan yang disepakati dan dipersetujui oleh majoriti ulama Islam. Sekiranya ia hanya mendapat dokongan daripada segelintir umat Islam maka ia belum dapat dipastikan kebenarannya.

Hal ini kerana, jika sesuatu itu benar maka sudah tentu ia mendapat persetujuan daripada majoriti umat Islam. Namun, apabila ia mendapat penolakan oleh kebanyakan umat Islam maka itu menunjukkan ada sesuatu yang salah daripada pegangan atau kumpulan tersebut.

Sejarah membuktikan, ketika sebahagian Khalifah daripada Dinasti Abbasiyyah cuba memaksa seluruh umat dan ulama Islam untuk berpegang dengan akidah Muktazilah, maka ketika itu ia mendapat penolakan yang hebat walaupun diancam dengan penjara, seksaan dan hukuman mati.

Antara yang kuat menolak ialah Imam Syafie, Imam Ahmad bin Hanbal dan Imam Al-Buwaithi. Hal ini menunjukkan akidah Muktazilah ketika itu tidak menepati akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Allah SWT menjamin dan memberi keistimewaan kepada umat Nabi iaitu mereka tidak akan bersepakat di atas perkara yang sesat dan menyimpang. Hal ini dapat kita lihat daripada hadis Nabi SAW: “Sesungguhnya Allah tidak akan menghimpunkan umatku di atas kesesatan. Dan pemeliharaan Allah ke atas golongan Al-Jamaah. Dan sesiapa syaz (menyalahi Jamaah) bererti yang syaz itu ke dalam Neraka.” (Hadis Riwayat Tirmidzi, No 2167)

Ini jaminan Allah SWT ke atas umat Nabi Muhammad SAW yang sama sekali tidak akan bersepakat di atas kesesatan. Oleh itu, dapat kita fahami jika umat Nabi sepakat di atas suatu akidah maka itu menunjukkan ia adalah benar. Ini menjadi kayu ukur untuk mengetahui yang manakah akidah yang selamat dan benar. Bahkan dalam hadis di atas Nabi memberi ancaman bahawa sesiapa yang keluar (syaz) daripada majoriti (Al-Jamaah) maka ia akan mengakibatkan dirinya masuk ke dalam api neraka.

Umat Islam sekarang majoritinya berpegang dengan manhaj Al-Asyairah Wal Maturidiah yang juga Ahli Sunnah Wal Jamaah. Oleh itu amat jelaslah sesiapa yang berpegang selain daripadanya tidak menepati akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah, termasuk golongan Syiah, Muktazilah, Wahabi, Jabbariyyah, Qadariyyah dan lain-lain.

Terdapat ramai ulama yang mengkaji dan meneliti siapakah 72 golongan yang dimaksudkan oleh Nabi dalam sabda Baginda, antaranya Imam Abu Mansur Al-Baghdadi dalam kitabnya Al-Farq Bainal Firaq, Imam Asy-Syahrastani dalam kitabnya Al-Milal Wa An-Nihal dan Imam Al-Asfarayini dalam kitabnya At-Tabsirah Fi Ad-Din. Berdasarkan penelitian ulama, mereka mendapati 72 golongan itu mewakili Syiah yang terpecah kepada 22 kelompok, Khawarij terpecah kepada 20 kelompok, Muktazilah pula terpecah kepada 20 kelompok, Murjiah ada 5 kelompok, Najjariyyah ada 2 kelompok, Jabbariyyah, Qadariyyah dan Musyabbihah masing-masing satu kelompok. Daripada semua kelompok ini, akidah yang selamat dan benar hanyalah Ahli Sunnah Wal Jamaah yang diwakili Al-Asyairah Wal Maturidiah.

Berdasarkan fakta di atas, kita mestilah mengukuhkan akidah kita sebaik mungkin agar akidah kita termasuk dalam golongan yang selamat. Jika tersilap dalam memilih akidah maka ia akan merosakkan iman kita dan natijahnya adalah ke neraka.

Sebanyak 72 golongan di atas masih diakui sebagai umat Nabi kerana mereka masih lagi mengucap syahadah dan mengerjakan kefarduan ke atas diri mereka. Justeru, kita tidak boleh ‘pukul rata’ bahawa mereka kafir atau murtad. Golongan ini hanya menyimpang dalam sebahagian usul akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah yang menyebabkan akidah mereka tersesat saja.

Oleh yang demikian, ulama menyusun satu sukatan pengajian akidah untuk memastikan akidah kita sentiasa selamat di atas jalan yang benar. Sukatan tersebut dikenali sebagai pengajian sifat 20. Sesiapa yang tekun mempelajarinya dan menguasainya dengan baik, Insya-Allah akidahnya akan selamat sehingga akhir hayat.

Kredit : Setiausaha Muzakarah Hadis dan Syariat (Muhadis)