Google terjemahan al-Quran dan Hadis. Tafsir terjemahan itu mengikut kefahaman sendiri. Campur aduk pandangan mazhab lalu pilih pandangan yang termudah pada nafsu. Islam itu memang sebuah agama yang mudah, tetapi adakah boleh bermudah-mudah tanpa disiplin dalam mengamalkan agama?
Mempelajari ilmu agama ini ada disiplinnya. Bahkan ulama menggariskan 5 Rukun Ilmu iaitu Guru Mursyid yang bersanad, Kitab yang muktabar, Murid yang beradab, Manhaj yang sahih serta Suasana pembelajaran yang bersesuaian. Jika tiada Rukun Ilmu, apa yang kita dapat hanyalah sekadar maklimat sahaja yang tidak dapat dipertanggungjawabkan kebenarannya.
Rasulullah meninggalkan dua perkara yang jika kita berpegang dengannya, kita tidak akan sesat iaitu al-Quran dan Hadis. Namun, al-Quran dan Hadis ini perlulah difahami mengikut tafsiran para ulama. Ini kerana ulama itu pewaris para nabi.
Rasulullah bersabda :
إِنَّ الْعُلَمَاءَ هُمْ وَرَثَةُ الْأَنْبِيَاءِ إِنَّ الْأَنْبِيَاءَ لَمْ يُوَرِّثُوا دِينَارًا وَلَا دِرْهَمًا إِنَّمَا وَرَّثُوا الْعِلْمَ فَمَنْ أَخَذَهُ أَخَذَ بِحَظٍّ وَافِرٍ
Sesungguhnya para ulama adalah pewaris para Nabi, dan para Nabi tidak mewariskan dinar mahupun dirham, akan tetapi mereka mewariskan ilmu. Barangsiapa mengambilnya, maka ia telah mengambil bahagian yang sangat banyak.” (HR Ibnu Majah)
Berkata al-Hafiz Abu Bakr al-Khatib al-Baghdadi, “Tidak diambil sesuatu ilmu agama melainkan daripada mulut-mulut para ulama”.
Ilmu agama ini diwarisi dari Rasulullah kepada para ulama dari mulut ke mulut iaitu secara rantaian bersanad. Inilah yang dikatakan disiplin Turath (warisan). Sanad keilmuan ini adalah secara Riwayah (penyampaian), Dirayah (pemahaman) dan Tazkiyah (penyucian).
Berkata Imam Ibn Sirin, “Sesungguhnya ilmu itu adalah agamamu, maka telitilah dari siapa kamu mengambil agamamu (sanad).”
Berkata Imam Ibn Mubarak, “Sanad itu adalah sebahagian daripada agama. Sekiranya tiada sanad, nescaya sesiapa sahaja akan berkata apa yang dia suka.”
TURATH adalah tradisi pengajian ilmu Islami secara talaqqi bersanad. Ianya adalah pengajian kitab-kitab karya para ulama muktabar yang diajarkan oleh seorang guru pembimbing. Disiplin pengajian begini adalah penting bagi memastikan para penuntut ilmu dapat mewarisi kefahaman ilmu agama secara sahih dari rantaian para guru yang sampai sehingga kepada Rasulullah.
Oleh itu, pada jam 9 malam ini, 31 Januari 2021, pihak NurflixTV akan menganjurkan sebuah forum bertajuk “Berkitab Tanpa Guru, Berilmu Tanpa Adab” di page rasmi Facebook NurflixTV. Forum ini menampilkan Habib Ali Zaenal Abidin al-Hamid, Ustaz Syed Abdul Kadir Aljoofre dan PU Rahmat Ihsan bagi mengupas tajuk tersebut.