11 Tips Membaca Kitab Arab Dengan Baris Betul

Bagi pelajar/pengajar bidang pengajian Islam / Arab, pembacaan teks² Arab dengan baris betul merupakan perkara amat asas. Jika baris tidak jelas, maka kefahaman terhadap teks akan menjadi tidak jelas juga.

Berikut merupakan antara tips yang mungkin boleh diamalkan untuk membaca dengan baris yang betul:

1 – Mempelajari dan memahami asas ilmu nahu dan saraf. Saya sebut asas, tetapi sebaik-baiknya kita sentiasa tambah ilmu mengenai tatabahasa Arab. Semakin ditambah, semakin berkualiti. Namun, setidak-tidaknya, asas yang terdapat dalam buku Ajurumiyyah perlu difahami dan dihadam sehingga boleh menjadi bekalan baik sebelum membaca.

2 – Konsisten dan banyak membaca karangan bahasa Arab sama ada silam mahupun semasa. Mengetahui nahu dan saraf sahaja tidak cukup jika tidak membaca. Membaca ialah praktik bagi ilmu tatabahasa Arab yang kita pelajari. Tanpa praktik yang berterusan dan kerap, maka tidak pelik jika seseorang yang telah hadiri banyak kelas berkaitan nahu/saraf/balaghah pun tetap lemah dalam pembacaan.

3- Mindset untuk membaca dengan baris betul. Ini salah satu perkara yang amat penting. Sebaik-baiknya, selalu set dalam fikiran bahawa suatu yg amat memalukan (‘aib kabir) jika membaca kitab tanpa baris yang betul. Jangan berasa selesa dan tertipu dengan pandangan orang luar konon yang belajar di Tanah Arab atau belajar pengajian Islam pandai bahasa Arab kerana terbukti cukup ramai yg hadapi masalah bahasa. Hidup dengan kenyataan dan sentiasa merenung kelemahan diri.

4- Letak target untuk membaca dengan baris betul. Contohnya, tahun pertama pengajian BA untuk selesaikan masalah ini. Dengan demikian, tahun kedua dan seterusnya sentiasa tambah baik.

5- Sentiasa bertanya kepada guru dan rakan yang dipercayai mahir bahasa Arab. Pastikan kita sentiasa bertanya kepada mereka. Tanya juga kenapa baris itu ‘atas, bawah atau depan’ supaya kita tahu alasan lalu lama kelamaan boleh tahu sendiri apabila temui perkataan dalam bentuk/kedudukan sama.

6- Jangan biasakan berteka-teki. Salah satu punca baris tunggang langgang adalah kerana terlalu gemar meneka sahaja baris. Jika meneka baris, bererti makna ayat dalam kitab juga kita meneka. Sebahagian orang berterusan dalam keadaan ini walaupun sudah ada gelar-gelar akademik di depan nama. Selesaikan dengan bertanya, bukan berterusan meneka.

7- Sentiasa buka kamus. Ini perkara penting yang tidak dapat dielakkan. Semakin banyak kosa kata kita ada, semakin yakin kita dalam proses membaca kerana dalam sesetengah keadaan kita perlu tahu makna sebelum menentukan baris perkataan itu (sebab boleh jadi itu fa’il ataupun maf’ul dsb). Sekarang lagi mudah kerana cukup banyak kamus online yang bagus dan membantu.

8- Tawarkan diri membaca kitab di hadapan guru dan muzakarah sesama kawan. Bagi saya, ini tips yang cukup penting; menghimpunkan antara melatih kemahiran membaca dan membina keyakinan diri. Jika salah, maka guru atau rakan yang lebih berilmu akan betulkan.

9- Buat muzakarah baca kitab silam/semasa. Selain membaca sendiri, luangkan juga waktu untuk membaca secara kolektif bersama guru dan rakan terdekat. Tips ini ada kaitan dengan tips nombor 8.

10- Ketahui istilah khas sesuatu bidang yang dibaca. Suatu yang diketahui umum bahawa setiap bidang mempunyai istilah tersendiri yang kekadang ada dalam bidang lain tetapi dengan makna lain ataupun kekadang tiada dalam bidang lain. Dengan tahu latar belakang istilah khas sesuatu bidang, pembacaan kita akan lebih lancar inshaAllah.

11- Boleh membezakan antara kesalahan besar atau kecil. Dengan kemampuan pembezaan ini, anda akan boleh mengetahui bahawa sesetengah kesalahan masih boleh dimaafkan dan dibaiki dengan mudah. Contohnya kesalahan sebutan istilah yang sangat jarang ditemui. Maka, pintunya ialah merujuk kpd kamus. Adapun kesalahan asas tatabahasa terutama baris akhir sesuatu perkataan, atau asas saraf sehingga kita tahu sebutan betul bagi sesuatu perkataan (cthnya thulathi/ruba’i mujarrad serta thulathi/ruba’i mazid), maka kita perlu serius untuk membaikinya.

Wallahua’lam. Sekadar ini sahaja perkongsian ringkas daripada penuntut ilmu yang masih belajar. Tips-tips ini selalunya dikongsikan kepada sebahagian teman yang bersangka baik dengan saya lalu bertanya serta memohon saranan untuk menambah kualiti bacaan. Kalau sahabat ada cadangan lain, boleh dikongsikan di sini.

https://t.me/MarwanBukhari

kredit : Marwan Bukhari