Apabila kita share doa, zikir atau selawat yang diberikan oleh para ulama, sebahagian orang bertanya,

“Doa ni ada dalam hadis ke?”,
“Nabi pernah baca ke?”,
“Ada dalil ke?” …

Jadi saya mengambil peluang untuk menjelaskan perkara ini, supaya tiada lagi kekeliruan timbul. semoga bermanfaat…

HUKUM MEMBACA ZIKIR, DOA ATAU SELAWAT YANG TIDAK TERMAKTUB DALAM HADIS

S: Ustaz, adakah kita hanya boleh membaca doa / zikir yang termaktub di dalam hadis sahaja?

J: Tidak. Kita tidak dilarang untuk membaca doa atau zikir yang tidak terdapat dalam hadis Nabi SAW. Selagi doa atau zikir tersebut tidak mengandungi sesuatu yang bercanggah dengan syarak, ia adalah baik dan boleh untuk diamalkan, tanpa kita meremehkan atau memandang rendah terhadap zikir dan doa yang diajarkan sendiri oleh junjungan kita Rasulullah SAW, penghulu kepada orang-orang yang berzikir.

Perkara ini dapat kita fahami daripada perbuatan mereka yang paling hampir dengan Rasulullah SAW, para sahabat Baginda SAW, mereka yang mendapat tarbiyah secara langsung daripada Baginda SAW. Berikut adalah sebahagian perbuatan mereka yang menerangkan maksud tersebut :

  1. Rifa’ah bin Rafi’ bercerita, “Suatu hari kami sedang solat (berjemaah) di belakang Nabi SAW. Ketika Baginda bangun daripada rukuk, Baginda berkata
    ‘سمع الله لمن حمده’.
    Ketika itu, kedengaran seorang makmum berkata,
    ‘ربنا لك الحمد حمدا كثيرا طيبا مباركا فيه’
    . Usai solat, Baginda bertanya, ‘Siapakah yang mengucapkan ucapan tadi?’ , lelaki itu pun menjawab, ‘Saya wahai Rasulullah’. Baginda seraya berkata, ‘Aku melihat sekitar 30 malaikat berlumba sesama mereka untuk mencatatnya’ .”

-Musnad Imam Ahmad (31/332/18996)

Keterangan :
Sekalipun lelaki tersebut membaca zikir yang tidak pernah diajarkan oleh Rasulullah SAW, namun Baginda tidak memarahinya. Sebaliknya Baginda memberi galakan kepadanya dengan menceritakan kisah malaikat tersebut.

  1. Saidina Ibnu Umar ra meriwayatkan bahawa, lafaz talbiah yang dibaca oleh Rasulullah SAW adalah seperti berikut
    لبيك اللهم لبيك، لبيك لا شريك لك لبيك، إن الحمد والنعمة لك والملك، لا شريك لك
    Namun Ibnu Umar sendiri telah membuat penambahan dalam bacaan talbiahnya seperti berikut,
    لبيك لبيك وسعديك والخير بيديك، لبيك والرغباء إليك والعمل
  • Diriwayatkan oleh al-Bukhari (2/170) , Muslim (1184), Abu Daud (1812), an-Nasai (5/160), Malik (Muwatto 219) dan Ahmad (2/34-4896).

KETERANGAN :
Saidina Abdullah bin Umar merupakan seorang yang sangat mengambil berat tentang sunnah-sunnah Rasulullah SAW. Sekiranya membaca doa yang tidak diajar oleh Nabi SAW adalah bidaah yang terlarang, nescaya beliau sekali-kali tidak akan melakukannya.

  1. Bukan sahaja Ibnu Umar, malah ayahnya sendiri, Umar bin al-Khattab juga membuat penambahan pada bacaan talbiahnya. Diriwayatkan bahawa beliau menambah lafaz berikut pada bacaan talbiahnya :
    لبيك مرغوب إليك ذا النعماء والفضل الحسن.

-Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Syaibah dengan sanad yang sahih (4/kitab 112/bab 115/no11)

  1. Saidina Anas bin Malik juga membuat penambahan dalam bacaan talbiah beliau seperti berikut,
    لبيك حقا تعبدا ورقا
    -Diriwayatkan oleh al-Hafiz Ibnu Hajar di dalam kitab al-Matalib al-‘Aliyyah Bi Zawaid al-Masanid al-Thamaniah.
  2. Abu Madinah al-Darimi menceritakan, terdapat dua orang sahabat Nabi SAW yang apabila mereka bertemu, mereka tidak akan berpisah melainkan mereka membaca surah al-‘Asr sehingga akhir surah.

-Diriwayatkan oleh al-Tabrani (al-Awsat/5120)

KETERANGAN :
Perkara tersebut tidak pernah diajarkan oleh Nabi SAW. Sekiranya membaca doa yang tidak diajar oleh Nabi SAW adalah bidaah yang terlarang, nescaya mereka sekali-kali tidak akan melakukannya.

  1. Pada suatu hari, Saidina Anas ra telah menghadiri solat jenazah seorang lelaki daripada kalangan Ansar. Setelah solat, para jemaah yang hadir beramai-ramai membaca istighfar secara kuat dan Anas ra tidak membantah perbuatan mereka. Semasa mereka menurunkan jenazah tersebut ke dalam liang kubur, mereka menurunkannya dari arah kaki kubur dan beliau juga tidak membantahnya.

-Diriwayatkan oleh Imam Ahmad (8/58-59)

  1. Ibnu Kathir meriwayatkan di dalam kitab tafsirnya, bahawa ‘Arak bin Malik kebiasaannya setelah selesai melaksanakan Solat Jumaat, beliau akan berdiri di pintu masjid seraya berdoa,
    “اللهم إني أجبت دعوتك، وصليت فريضتك، وانتشرت كما أمرتني، فارزقني من فضلك وأنت خير الرازقين’
    Doa tersebut juga diamalkan oleh Saidina Umar ra.
  2. Ibnu Kathir juga meriwayatkan di dalam kitab tafsir tersebut, bahawa sebahagian salafussoleh terdahulu akan mendoakan orang-orang yang berniaga setelah selesai Solat Jumaat dengan berkata kepadanya “بارك الله له” sebanyak 70 kali.
  3. Saidina Abdullah bin Umar ra akan mendoakan orang yang bersin dengan berkata,
    “يرحمنا الله وإياكم ويغفر الله لنا ولكم”
    Sedangkan yang diajar oleh Nabi SAW hanyalah ucapan “يرحمك الله”

-Diriwayatkan oleh Imam Malik (Muwatto 825/145).

  1. Saidina Anas bin Malik ra kebiasaannya akan mengumpulkan seluruh ahli keluarganya ketika khatam al-Quran dan akan membacakan doa khas untuk mereka. (Majlis khatam al-Quran)
    -Diriwayatkan oleh al-Tabrani.
  2. Saidina Ali ra telah mengamalkan sebuah selawat yang baru dan tidak pernah diajarkan oleh Rasulullah SAW. Beliau bukan sekadar mengamalkannya, malah mengajarnya kepada masyarakat. Selawat tersebut ialah,
    اللهم داحي المدحوات , وباري المسموكات , وجبار القلوب على فطرتها شقيها وسعيدها , اجعل شرائف صلواتك ونوامي بركاتك ورأفة تحننك على محمد عبدك ورسولك , الخاتم لما سبق , والفاتح لما أغلق , والمعلن الحق بالحق , والدامغ لجيشات الأباطيل , كما حمل , فاضطلع بأمرك بطاعتك مستوفزا في مرضاتك لغير نكل عن قدم , ولا وهن في عزم , واعيا لوحيك , حافظا لعهدك , ماضيا على نفاد أمرك حتَّى أورى قبسا لقابس آلاء الله تصل بأهله أسبابه , به هديت القلوب بعد خوضات الفتن والإثم , وأنهج موضحات الأعلام ومنيرات الإسلام , ودابرات الأحكام , فهو أمينك المأمون , وخزان علمك المخزون , وشهيدك يوم الدين , وبعيثك نعمة ورسولك بالحق رحمة . اللهم افسح له مفسحا في عدنك , واجزه مضاعفات الخير من فضلك , مهنئات له غير مكدرات من فوز ثوابك المضنون , وجزيل عطائك المعلول . اللهم اعل على بناء البانين بناءه , وأكرم مثواه لديك ونزله , وأتمم له نوره وأجزه من ابتعاثك له , مقبول الشهادة ومرضي المقالة , ذا منطق عدل , وخطة فصل , وحجة , وبرهان عظيم صلَّى اللهُ عليهِ وسلَّمَ

-Diriwayatkan oleh al-Tabrani (Mu’jam al-Awsat)

  1. Saidina Ibnu Mas’ud ra telah mengajar masyarakat membaca sebuah selawat yang tidak pernah diajarkan oleh Rasulullah SAW. Selawat tersebut ialah,
    اللَّهُمَّ اجْعَلْ صَلاَتَكَ وَرَحْمَتَكَ وَبَرَكَاتِكَ عَلَى سَيِّدِ الْمُرْسَلِينَ وَإِمَامِ الْمُتَّقِينَ وَخَاتَمِ النَّبِيِّينَ مُحَمَّدٍ عَبْدِكَ وَرَسُولِكَ إِمَامِ الْخَيْرِ وَقَائِدِ الْخَيْرِ وَرَسُولِ الرَّحْمَةِ اللَّهُمَّ ابْعَثْهُ مَقَامًا مَحْمُودًا يَغْبِطُهُ بِهِ الأَوَّلُونَ وَالآخِرُونَ اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ اللَّهُمَّ بَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ ‏

-Diriwayatkan oleh Ibnu Majah (2/171/906)

  1. Ibnu Hajar (al-Matalib al-‘Aliyyah) juga menyebutkan bahawa selawat tersebut telah diajarkan oleh Saidina Ibnu Umar ra.
  2. Saidina al-Tufail bin Abi Kaab menceritakan bahawa beliau sering menemani Saidina Abdullah bu Umar ke pasar. Di pasar, Abdullah bin Umar hanya berkeliling dan memberi salam kepada orang yang dia temui tanpa membeli sesuatu barang pun. Lalu al-Tufail bertanya hal perbuatannya itu lantas beliau menjawab, “Kita datang ke pasar ini hanya untuk mengucapkan salam sahaja.”

-Diriwayatkan oleh al-Bukhari (al-Adab al-Mufrad -1006)

Keterangan :
Amalan memberi salam adalah satu amalan yang diajarkan oleh Rasulullah SAW secara umum. Baginda tidak pernah mengajar agar zikir tersebut dibaca pada sesuatu tempat yang khusus, atau masa yang khusus. Baginda juga tidak pernah melakukan amalan yang dilakukan oleh Saidina Ibnu Umar ra tersebut. Namun para sahabat faham bahawa mengkhususkan sesuatu zikir yang umum bukanlah suatu perkara yang dilarang.

FATWA ULAMA KONTEMPORARI

Para ulama moden juga berpendapat bahawa membaca zikir / doa yang tidak terdapat dalam hadis adalah tidak dilarang, asalkan kandungan doa tersebut adalah baik dan tidak bercanggah dengan syarak.

PENUTUP

Berdasarkan penerangan di atas, dapatlah kita simpulkan bahawa :

i. Membaca zikir, doa atau selawat adalah perkara yang amat dituntut oleh syarak.

ii. Setiap zikir, doa atau selawat mempunyai fadhilat yang tersendiri.

iii. Zikir, doa dan selawat yang terbaik ialah yang mempunyai sandaran daripada al-Quran dan hadith.
iv. Namun tiada tegahan atau larangan untuk kita membaca zikir, doa atau selawat yang tidak termaktub di dalam al-Quran atau hadith, selagi isi kandungannya adalah baik dan tidak bercanggah dengan syarak.

Imam al-Bushiri berkata,

قد تنكرُ العينُ ضوء الشمسِ من رمدٍ # ويُنْكِرُ الفَمُّ طَعْمَ الماء منْ سَقَم

(Terjemahan adaptasi)

Andai kilauan mentari nyata,
Dilihat pudar, kelam dan sirna,
Bukan kerana suram cahaya,
Namun selaput menghalang di mata.

Andai lidah tiada rasa,
Air diteguk hambar menjelma,
Bukan kerana kurangnya gula,
Petanda lidah diserang bisa.

Kredit : Ashraff Osman