Burung dari kayangan
CENDERAWASIH didakwa sebagai makhluk ‘syurga’ dan sering berdamping dengan wali.
PENDUDUK Tanah Melayu pada zaman dahulu dihebohkan dengan kewujudan seekor burung yang kononnya berasal dari kayangan tetapi turun ke alam bumi untuk mati.
Burung berkenaan dikenali sebagai ‘Cenderawasih’ dan bangkai haiwan itu dicanangkan memberi pelbagai kesaktian kepada sesiapa yang memilikinya.
Ada banyak kisah pelik dan mistik mengenai Cenderawasih, antaranya burung berkenaan pada asalnya didakwa sebagai makhluk ‘syurga’ dan sering berdamping dengan wali. Disebabkan burung itu bukan berasal dari alam manusia, maka Cenderawasih akan mati apabila turun dan menjejakkan kaki ke bumi.
Mengikut cerita lagi, sebaik tiba di alam bumi, Cenderawasih mati dalam pelbagai keadaan, antaranya ketika sedang terbang, beristirehat dan dalam keadaan tidur.
Bagaimanapun, bangkai Cenderawasih tidak reput seperti haiwan lain kerana ia didakwa hanya makan embun syurga. Lebih pelik, bangkai burung itu juga kononnya tidak busuk, sebaliknya berbau wangi.
Cenderawasih kononnya turun dari kayangan ke alam manusia di wilayah Irian Jaya, Indonesia dan burung sakti itu hanya turun seekor dalam tempoh tujuh tahun.
Walaupun sudah mati, bangkai Cenderawasih diceritakan memiliki pelbagai kelebihan, termasuk isi perut dan bulunya yang memiliki khasiat misteri dan digunakan dalam perubatan. Namun, ramai pihak memburu bangkai burung itu kerana `tuah’ dan dijadikan pelaris.
Selain dalam alam Melayu, Cenderawasih juga dikatakan wujud dalam legenda masyarakat China dengan gelaran ‘Phoenix’ manakala penduduk Barat mengenalinya sebagai ‘Bird of Paradise’ (burung syurga).
Cerita mengenai Cenderawasih ternyata amat pelik dan mencabar logik akal. Sejak zaman silam sehingga ke masa sekarang, cerita itu masih disebarkan menerusi risalah, buku, majalah, internet dan lisan individu yang kononnya mahir dalam ilmu mistik.
Selain cerita, bangkai sebenar Cenderawasih yang masih dalam keadaan elok walaupun sudah lama mati, turut dipamerkan menerusi siri pameran yang diadakan di merata tempat.
Lalu kepercayaan mengenai kesaktian Cenderawasih menjadi perhatian segelintir pihak yang taksub dengan kuasa mistik, malah ada individu sanggup menghabiskan ribuan ringgit untuk mencari dan membeli bangkai burung itu.
Bagaimanapun, apabila zaman berubah memasuki era kemodenan tanpa sempadan, hakikat sebenar mengenai pelbagai cerita pelik dan mistik Cenderawasih akhirnya terbongkar.
Antaranya, dakwaan burung itu berasal dari kayangan didapati tidak berasas kerana Cenderawasih sememangnya wujud sebagai spesies burung biasa di bumi.
Kajian mendapati ada 43 spesies Cenderawasih yang dibezakan mengikut ciri tertentu seperti warna bulu dan saiz. Kebanyakan burung itu berhabitat di hutan tropika dan banyak ditemui di Australia Timur, Irian Jaya, Papua New Guinea serta Kepulauan Maluku.
Spesies terkecil Cenderawasih sepanjang kira-kira 16 sentimeter (sm) dan spesies terbesar sepanjang kira-kira 44 sm.
Cenderawasih jantan dikatakan lebih cantik daripada betina kerana memiliki warna menarik serta bulu kembang dan akan melakukan `tarian’ bagi memikat burung betina ketika musim mengawan.
Burung itu bertelur antara satu hingga tiga biji dan telur dieram antara 14 hingga 16 hari di sarangnya yang dibina di pertengahan pohon beringin.
Dakwaan kononnya Cenderawasih memakan embun syurga juga tidak benar sebaliknya burung itu memakan buah, cengkerik, telur semut dan labah-labah.
Cenderawasih mengeluarkan bunyi nyaring, iaitu `kuang, kuang’ dan burung itu hidup dan mati seperti burung biasa.
Apabila mati, burung itu turut berbau busuk serta mereput dan kemungkinan Cenderawasih yang dipamer kononnya sebagai hidupan misteri yang tidak reput selepas mati sebenarnya sudah diawetkan.
Tidak dapat dipastikan daripada mana masyarakat dulu memperoleh pelbagai cerita pelik dan karut mengenai Cenderawasih tetapi teori permulaan kisah itu mungkin bermula sekitar zaman penjajahan kuasa Barat di Nusantara pada abad ke-18 dan 19.
Masyarakat pribumi terdahulu suka memburu Cenderawasih jantan kerana cantik dan mengambil bulunya untuk dijadikan hiasan kepala. Apabila penjajah datang ke tempat mereka, masyarakat pribumi itu menghadiahkan Cenderawasih yang disalai untuk proses awetan serta memotong kaki burung itu kepada warga asing terbabit.
Mungkin apabila penjajah melihat burung itu tidak mereput kerana sudah diawet secara salai dan tidak memiliki kaki, mereka menganggap burung itu unik dan berasal dari syurga.
Seterusnya mungkin daripada fahaman penjajah itulah kisah pelik Cenderawasih kemudian merebak ke negara dan masyarakat kita.
Mengenai dakwaan kononnya Cenderawasih mampu menjadi pelaris, perkara berkenaan sememangnya tidak mustahil jika bangkai burung itu dipuja dan dijadikan bahan dalam amalan ilmu hitam.
Walaupun bangkai burung itu dijadikan alat pelaris, hakikat sebenar ialah bantuan jin digunakan untuk melariskan jualan atau memberikan apa-apa bantuan, yang mana perbuatan itu bertentangan dengan syariat Islam.
Justeru, mempercayai Cenderawasih sebagai haiwan syurga dari kayangan dan mampu melariskan perniagaan adalah perbuatan khurafat dan bertentangan dengan Islam.
Mempercayai pelaris juga boleh menyebabkan seseorang itu terdedah kepada syirik kerana mereka mempercayai ada kuasa lain daripada Allah SWT untuk memberi rezeki.
Kredit : Nasron Sira Rahim