Sekiranya saya punya masa dan dana, saya akan memberikan khidmat terbaik kepada buku-buku Imam Abū Bakar al-Bayhaqi (m. 458 H).


Bagi saya, buku-buku beliau adalah kemuncak reformasi pemikiran dalam kalangan ahli hadith yang berusaha mengembalikan kesarjanaan ahli Hadith yang telah merudum sejak abad 3 H. Dalam buku-buku al-Bayhaqi, kita dapat melihat keaslian manhaj seorang muhadith dan ketelitian analisis seorang faqih.


Al-Bayhaqī adalah profesor hadith di sebuah madrasah di Nishapur yang dikenali sebagai madrasah Bayhaqiyyah. Selain ilmu hadith, madrasah ini turut mengajarkan pelbagai subjek yang lain seperti fiqh, usul dan ilmu kalam. Salah seorang alumni madrasah ini adalah Imām al-Haramayn al-Juwayni (m. 478 H).


Mengamati tajuk-tajuk buku karangan al-Bayhaqi, saya menjangka bahawa buku-buku tersebut ditulis untuk kegunaan para pelajar di madrasah beliau. Justeru, buku -buku tersebut mengandungi gagasan dan perbahasan yang matang dalam topik-topik yang berkaitan dengan hadith, fiqh, akidah, dan tasawuf.


Ini adalah salah satu alasan mengapa buku-buku al-Bayhaqi sangat diminati oleh para pengkaji hadith. Al-Ḥāfiẓ Ibn ‘Asākir (m. 571 H) dikatakan sengaja datang ke Nishapur untuk mendapatkan buku-buku al-Bayhaqi lalu membawanya pulang ke Syam. Apabila dilantik sebagai Syeikhul Hadith pertama di Darul Hadith al-Nuriyyah di Syam, beliau menjadikan buku-buku al-Bayhaqi sebahagian daripada bacaan wajib para pelajar.


Perkara yang sama dilakukan oleh al-Hafiz Ibn al-Salah (m. 643 H) semasa menjawat Syeikh al-Hadith pertama di Darul Hadith al-Ashrafiyyah. Beliau mendapatkan buku-buku al-Bayhaqi semasa menuntut ilmu di Nishapur. Beliau lalu membacakan kitab Sunan al-Bayhaqi (10 jilid) kepada pelajar Darul Hadith dalam 757 sesi lebih.

Samā‘āt (kehadiran pelajar) bagi sesi tersebut dianalisis oleh Syeikh ‘Abdul Fattah Abu Ghuddah dalam al-Isnād min al-dīn wa Ṣafḥah Mushriqah min Tārīkh Samā‘ al-Ḥadīth ‘Ind al-Muḥaddithīn.
Dalam kitab al-Muqaddimah, Ibn al-Ṣalāḥ turut berpesan kepada para pelajar hadith:
وَلَا يُخْدَعَنَّ عَنْ كِتَابِ السُّنَنِ الْكَبِيرِ لِلْبَيْهَقِيِّ فَإِنَّا لَا نَعْلَمُ مِثْلَهُ فِي بَابِهِ.
“Janganlah mengabaikan kitab Sunan Kabir al-Bayhaqi. Sesungguhnya kami tidak mengetahui kitab yang menyamainya dalam genre ini.”


Imam al-Dhahabī (m. 748 H) meriwayatkan dengan sanadnya hingga Muhammad bin ‘Abdul ‘Aziz al-Marwazī: “Dalam mimpi, aku melihat sebuah peti naik ke langit dengan dipenuhi cahaya. Aku berkata: Apakah ini? Dikatakan: Ini adalah buku-buku karangan al-Bayhaqi.”


Al-Dhahabi lalu mengulas:
قُلْتُ: هَذِهِ رُؤْيَا حق، فَتصَانِيفُ البَيْهَقِيّ عَظِيْمَةُ الْقدر، غزِيْرَةُ الفَوَائِد، قلَّ مَنْ جَوَّد تَوَالِيفَهُ مِثْل الإِمَام أَبِي بَكْرٍ، فَيَنْبَغِي لِلْعَالِمِ أَنْ يَعتَنِي بِهَؤُلاَءِ سِيمَا (سُننَه الكَبِيْر).
“Ini adalah mimpi yang benar. Buku-buku karangan al-Bayhaqi besar kadarnya dan kaya kandungannya. Jarang orang yang mampu menghasilkan karya tulis yang sangat baik seperti Imam Abū Bakar (al-Bayhaqi). Justeru, selayaknya orang alim memberi perhatian kepada buku-buku tersebut, terutamanya al-Sunan al-Kabir.”

Credit : Ustaz Umar Muhammad Noor