Pengukuhan Tafsiran Agama Islam Enakmen Pentadbiran Agama Islam


Ahli Sunnah wal Jamaah sebagai mana yang dinyatakan oleh al-Hafiz Murtada al-Zabidi dalam kitab Ithaf al-Sadat al-Muttaqin: “Jika dikatakan Ahli Sunnah wal Jamaah, maka yang dimaksudkan ialah al-Ashairah dan al-Maturidiyyah.”

Dalam Mesyuarat Panel Pakar Akidah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bertarikh 28 Disember 2010 di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Bangi, diputuskan perincian definisi Ahli Sunnah wal Jamaah ialah:

(a) Mereka adalah golongan yang memahami dan berpegang kepada al-Quran dan Sunnah Nabi SAW mengikut manhaj dan kaedah salaf dan khalaf (Asya’irah dan Maturidiyyah), (b) Mereka adalah golongan berfahaman sederhana (wasatiyyah), tidak melampau dan tidak terlalu longgar, ini mengeluarkan Khawarij, Syi’ah Rafidhah, Qadariyyah, Jabariyyah, Mu’tazilah, Anti-hadis, Islam liberal, pluralisme agama dan seumpamanya, (c) Mereka ialah golongan yang mengutamakan perpaduan dan persaudaraan Islam bukan permusuhan, perdamaian bukan peperang

Walaupun Perlembagaan Persekutuan tidak memberikan tafsiran Islam pada perkara 3 (1), namun ianya boleh ditafsirkan dengan memandang kepada Enakmen Syariah di negeri-negeri.

Namun, bukan semua negeri memberikan tafsiran dan definisi secara jelas terhadap Agama Islam walaupun fatwa dan pengamalan mereka masih terikat dengan mazhab Ahli Sunnah Wal Jama’ah.

A . Negeri yang hanya menamakan ” AGAMA ISLAM ” sahaja tanpa Ahli Sunnah Wal Jama’ah :

  1. Melaka
  2. Negeri Sembilan
  3. Pahang
  4. Selangor
  5. Terengganu

B. Negeri yang menyatakan mazhab Ahli Sunnah Wal Jama’ah :

  1. Perlis
  2. Kedah

C. Negeri yang menyatakan mazhab Syafie :

  1. Perak

D. Negeri yang secara jelas menyatakan Ahli Sunnah Wal Jama’ah Asy’airah Maturidiyyah :

  1. Kelantan
  2. Johor
  3. Sabah

Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Melaka) antara negeri yang masih belum membuat penambahbaikan terhadap tafsiran Agama Islam sebagai ahli Sunnah Wal Jama’ah , bahkan jauh sekali bagi penambahan huraian kepada Asy’airah Maturidiyyah.

Berbeza pula Johor dan Sabah telah pun melakukan penambahbaikkan ini kepada Asy’airah Maturidiyyah secara jelas. Kelantan mendahului terhadap tafsiran tersebut walaupun Johor agak terkehadapan dalam pelaksanaan bahagian akidah yang merujuk kepada Asya’irah Maturidiyyah.

Syeikh Abdullah Fahim yang merupakan ilmuan yang mencadangkan tarikh kemerdekaan negara Malaysia , beliau berkata dalam amanatnya :

” Tuan-tuan sedia maklum beratus-ratus tahun bahawa orang bangsa Melayu se-Malaya ini dari peringkat ke bawah hingga ke peringkat ke atas, awam-awam, kadi-kadi, ulama-ulama, menteri-menteri hingga raja-raja sekalian mereka itu bermazhab dengan mazhab al-Imām al-Shāfiʻī ijmāʻan (secara ijmak); tiada seorang pun yang bermazhab lain daripada mazhab Syafii. Ambil mereka itu hukum-hukum fikah Syafii daripada kitab Tuḥfah dan kitab Nihāyah hingga kitab al-Umm dan mukhtaṣarātnya dan terjemahnya kepada Bahasa Melayu seperti Sabīl al-Muhtadīn, Bughyah al-Ṭullāb dan Maṭlaʻ al-Badrayn dan lainnya. Usul al-Din atas perjalanan Abī al-Ḥasan al-Ashʻarī diambilkan daripada shurūḥ dan Ḥawāshī Umm al-Barāhīn dan Jawharah dan sebagainya daripada kitab-kitab Melayu. Ilmu tasawuf atas perjalanan al-Imām al-Ghazālī diambilkan daripada Minhāj al-ʻĀbidīn, Iḥyāʼ ʻUlūm al-Dīn dan terjemahnya kepada Melayu seperti Siyar al-Sālikīn. Maka ini kitab-kitab dan seumpamanya segala hukum dalamnya kesemua mustanbaṭ (yang diambil/dikeluarkan hukum) daripada Quran dan hadis yang dihalusi dan ditapis oleh ʻUlamāʼ Ajillāʼ (ulama yang terkemuka), diamal dengan dia sudah lebih daripada 1000 tahun dan diterjemah kepada bahasa Melayu beratus-ratus tahun. “

Berdasarkan kenyataan syeihk Abdullah Fahim di atas , dapat difahami bahawa terdapat tiga asas utama yang membentuk identiti Ahli Sunnah . Tiga asas ini adalah asas yang diakui berdasarkan hadis Jibril; asas akidah yang difahami melalui soalan iman, asas fikah atau syariat yang difahami melalui soalan Islam, dan asas tasawuf atau tarekat yang difahami melalui soalan ihsan. Kemudian, setiap satu dari ketiga-tiga asas ini mempunyai tokoh-tokoh yang merupakan tonggak dalam bidang tersebut. Tonggak Ahli Sunnah dalam bidang akidah adalah Imam Abū al-Ḥasan al-Ashʻarī dan Imam Abū al-Manṣūr al-Māturīdī, tonggak dalam bidang fikah adalah Abū Ḥanīfah, Imam Mālik, Imam Shāfiʻī dan Imam Ahmad. Manakala dalam bidang tasawuf pula Imam al-Junayd merupakan tonggak utama. Imam al-Ghazālī tidak lain tidak bukan adalah penerus mazhab Imam al-Junayd.

Antara bukti negeri Melaka sebagai masyarakat yang berpegang teguh dengan Akidah Ahli Sunnah Wal Asya’ira dan Maturidiyyah adalah berpaksikan kepada ulama yang menjadi rujukan masyarakat negeri tersebut.

Antara ilmuan Melaka yang menyatakan secara jelas maksud ahli sunnah Waljamaah kepada ” Asy’airah dan Maturidiyyah iaitu al marhum tuan guru Syeikh Abdul Lathif Thambi. Beliau merupakan antara ilmuan yang telah berbakti terhadap masyarakat Melaka pada zamannya. Dalam memberikan definisi apa itu ahli sunnah beliau secara jelas meletakkan maksud tersebut kepada aliran Asyairah dan Maturidiyyah.

Berkata Syeik Abdul Latif Tambi dalam karya beliau Hidayatur Rahman :

” I’tikad Ahli Sunnah Wal Jamaah inilah i’tikad yang betul lagi sempurna daripada i’tikad yang lain, dan i’tikad inilah wahai tholib ( penuntut ) yang diperpengagi oleh ulama yang besar-besar “

Kemudia beliau menghuraikan maksud Ahli Sunnah Wal Jamaah dengan katanya :

” Iaitu i’tikad Abi Hasan Al Asyari dan Abi Mansur Al Maturidi “

Kenyataan Syeikh Abdul Latif mengenai penafsiran Ahli Sunnah bukan sekadar dari beliau sahaja , bahkan ianya juga telah didahului oleh ilmuan sebelumnya semenjak keislaman tanah melaka. Bahkan pulau besar melaka pernah menjadi pusat atau madrasah bagi perkembangan Ahli Sunnah Asyairah.

Pulau besar pernah disemarakkan oleh Syeikh Ismail yang digelar sebagai Sultan al-‘Arifin sebagai pusat perkembagan ajaran islam, dan dengan pusat ini menjadikan Tasauf dan akidah Asyairah diterapkan kepada para pelajar yang mendalami ilmu di disini.

Antara ilmuan yang pernah menimba ilmu di madrasah pulau besar ini antaranya sunan bonan ( Raden Maulana Makhdum Ibrahim ) dan sunan giri ( Raden Paku ) selama tiga tahun. Sunan Bonan telah menulis sebuah kitab yang bernama Primbon Bonang menggunakan bahasa pengantar bahasa Kawi ( Jawa Kuno ) dan kitab ini berlandaskan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah Asyairah . Dari sini kita dapat ketahui aliran akidah yang di penuhi di madrasah Pulau Besar adalah apa yang dipegang dalam pegangan Asyairah.

Asas aliran Ahli Sunnah Asyairah disebarkan kefahamanya kepada masyarat bahkan kepada para pemerintah serta menjadi pegangan mereka sejak berzaman di negeri melaka, kesannya juga kita dapati pada pemikiran masyarakat kita dari nenek moyang kita apabila mereka membicarakan mengenai ketuhanan, walaunpun mereka tidak menyebut ” Asyairah ” , namun kandungan yang mereka sampaikan adalah sama dengan apa yang terdapat didalam karya ilmu akidah yang dibincangkan oleh ilmuan Asyairah seperti Tuhan tidak bertempat, tidak sama dengan makhluk , dua puluh sifat Tuhan dan sebagainya.

Asas pendidikan Ahli Sunnah Wal Jamaah juga sebenarnya telah didominasi terlebih dahulu oleh ilmuan di zaman pemerntahan kesultanan Melaka, bahkan mereka juga sebagai pasak pemikiran dizaman tersebut , antara mereka seperti berikut :

Sayyid Abdul Aziz
Maulana Jalaluddin
Sayyidi Arab
Syehk Datuk Kahfi
Syekh Ahmad Majnun
Maulana Abu Bakar
Khodi Maulana Yusuf
Khadi Munawwar
Sultan Ala’uddin Riayat Syah
Maulana Sadar Jahan
Syeikh Jailani Mendik Masab

Pada zaman Sultan Mansur Syah kedatangan Maulana Abu Bakar dengan kitab Durr al-Manzum, sebuah kitab tauhid dan tasawuf karangan Abu Ishaq al-Shirazi telah menerima sambutan yang baik daripada pihak sultan sehinggakan baginda telah mengarahkan agar kitab tersebut diarak dari kapal sehingga ke balai rong istana. Ini sebagaimana yang dinyatakan dalam penulisan berikut:

” Setelah sudah, Maulana Abu Bakar pun turunlah ke bawah angin membawa kitab itu, menumpang kapal dari Jeddah ke Melaka. Setelah beberapa lamanya di laut, sampailah ke Melaka. Maka sangat dipermulia oleh Sultan Mansur Syah akan Maulana Abu Bakar. Kitab Duri’l-manzum itu disuruh baginda arak lalu ke balairung. Maka Sultan Mansur Syah pun bergurulah dengan pada Maulana Abu Bakar; maka sangatlah dipuji oleh Maulana Abu Bakar akan Sultan Mansur Syah, terlalu amat terang hati. Banyaklah ilmu diperolehi baginda. Maka oleh Sultan Mansur Syah Duri’l-manzum itu disuruh ertikan ke Pasai kepada Makhdum Patakan. Maka Duri’l-manzum itu pun diertikan, setelah sudah, dihantarkan ke Melaka, maka terlalu sukacita Sultan Mansur Syah melihat Duri’l manzum sudah bermakna. Maka Duri’l-manzum itu ditunjukkan baginda pada Maulana Abu Bakar, maka berkenanlah Maulana Abu Bakar akan makna Duri’l manzum itu, beberapa pujian akan Tuan Patakan. “

Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah Asyairah terus berkembang sehingga kini sama ada secara pendidikan tidak formal seperti di masjid-masjid dan surau sekitar negeri Melaka , di rumah para ustaz. Begitu juga menjadi kurikulum di peringkat sekolah agama kerajaan negeri. Bahkan seorang pemohon tauliah agama juga akan diajukan kefahaman beliau dalam bicara akidah beredar pengajian sifat dua puluh iaitu penerapan kefahaman Asyairah.

Tidak dapat dinafikan pengamalan pendidikan akidah di negeri Melaka memang sejak dahulu lagi berteraskan akidah Asyairah , namun dari segi pewartaan dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Melaka) masih kabur, hanya disebut Agama Islam sahaja tanpa penafsiran yang lebih jelas lagi. Tanpa penafsiran yang jelas ini boleh berlaku kekeliruan tafsiran yang perbagai tanpa ada pemwartaan yang jelas, dan akan mengakibatkan kelonggaran dalam memahami maksud ” Agama Islam ” pada Enakmen Pentadbiran Agama Islam negeri Melaka. Dengan ketidak jelasan ini maka agak sukar untuk para penjawat Jabatan Agama Islam negeri meletakkan sesuatu kes ajaran yang menyimpang dari Agama Islam kerana setiap orang islam dalam semua aliran akan mendakwa mereka beragama islam.

Wallahualam

Kredit : Abdul Rashid Bin Muhamat Akip