[Ringkasan Pengajian Kitab al-Nubdzah al-Sughro ( Qawaid Ilmu Fiqh Tahawwulat ) Karangan al-Habib Abu Bakar al-Adni bin Ali al-Mashur – Pelajaran Yang Keempat ( Tsawabit & Mutaghoyyirat ) – Ittihad Annur Malaysia]

  1. Diketahui daripada hadith Jibril bahawasanya rukun keempat ugama daripada rukun-rukun ugama ialah ilmu tentang petanda hari Kiamat sebagaimana telah datang perkara yang berikut dalam pemahaman wihdah al-maudhu’iyyah ( kesatuan pada tajuk ) pada siyaq hadith.
  2. Al-Tsawabit ialah perkara yang berhubungan dengan pengetahuan tentang Syariah ( Islam ), aqidah ( Iman ) dan maratib al-suluk ( Ihsan ).
  3. Al-Mutaghoyyirat ialah perkara yang berhubungan dengan pengetahuan tentang petanda hari kiamat & pembahagiannya yang pelbagai ( Fiqh al-Tahawwulat ) atau ( Fiqh al-Mutaghoyyirat ).
  4. Al-Tsawabit ini ialah perkara yang tidak berubah pada shurahnya walaupun berubahnya zaman. Contohnya : Solat Subuh zaman Nabi 2 rakaat, zaman kita pun tetap 2 rakaat ( Islam ). Sifat sabar zaman Nabi adalah bahagian daripada sifat mahmudah, zaman kita pun ianya tetap bahagian sifat mahmudah tidak berubah kepada kategori sifat mahmudah ( Ihsan ).
  5. Al-Mutaghoyyirat ialah perkara yang berubah dengan berubahnya zaman. Bentuk peristiwa atau kejadian atau fitnah akan berubah bila beralih kepada zaman seterusnya.
  6. Kalau faham 3 noktah ini, kita akan memahami hakikat pelajaran dalam bab ini. Pastikan dirasah kitab al-Nubdzah difahami setiap bab dengan bentuk pembelajaran yang sahih supaya apabila berpindah kepada kitab yang seterusnya lebih mudah untuk diteroka dan difahami. Sekiranya berlaku kholal dalam dirasah kitab yang asas, kitab-kitab yang seterusnya akan timbul banyak masalah dalam kefahaman. Sama seperti pembelajaran Feqah, kalau kitab asas seperti risalah al-Jamiah atau safinah al-Naja tidak dikuasai dengan baik, berpindah kepada kitab-kitab muthowwalat akan mengalami kesukaran pada pemahaman & timbul banyak kecelaruan.
  7. Noktah yang pertama (1) yang perlu difahami bahawasanya keempat rukun ini ( Iman, Islam, Ihsan, Petanda Hari Kiamat ) terbahagi kepada dua iaitu al-Tsawabit dan al-Mutaghoyyirat. Noktah yang kedua (2) asal pembahagian yang dua ini diambil daripada pemerhatian yang mendalam pada siyaq hadith Jibril. Noktah yang ketiga (3) faedah pembahagian yang dua ini untuk mengembalikan kemuliaan ilmu kehidupan kepada induknya yang asal & melihat ugama dalam pandangan dan wacana yang lebih besar.
  8. Kalimah ilmu ugama difahami dalam kerangka yang sempit dan terhad kepada ilmu Iman, Islam dan Ihsan. Setiap perkara yang muncul di dunia ini baik ilmu itu berbentuk nazhariyyat atau tatbiqot atau ilmu akademik atau ilmu-ilmu moden ianya juzuk daripada ugama. Juzuk daripada ugama bukan pada medan al-Tsawabit tetapi pada medan al-Mutaghoyyirat. Ada hadith yang mengisyaratkan tentang kemunculan telefon, telegram, radio, kamera, petrol dll di akhir zaman yang bersangkut paut dengan ilmu kehidupan.
  9. Ugama ini adalah suatu kerangka yang besar meliputi perkara-perkara al-Tsawabit dan al-Mutaghoyyirat.
  10. Sebahagian manusia bila kita berbicara tentang petanda hari kiamat terus menyangka ini mesti perihal kemunculan al-Dajjal, Imam Mahdi, turunnya Nabi Isa dll…. Sebenarnya ini adalah pembahagian daripada petanda hari kiamat belum lagi masuk kepada perbahasan ilmu petanda hari kiamat ( ‘ulum al-khamsah ).
  11. Daripada kewajipan kifayah kepada kaum Muslimin ialah mesti ada dalam kalangan orang-orang Islam yang takhassus dalam setiap bidang ilmu. Wajib dalam kalangan kita ada doktor muslim, ahli geologi muslim, jurutera muslim, peladang muslim, penternak muslim…. Setiap yang diperlukan oleh orang-orang Islam mesti ada daripada kaum Muslimin berkecimpung dalam bidang tersebut. Bukanlah tuntutan kepada kaum Muslimin hanya beriman kepada Allah, Nabi, solat, puasa dll apabila sakit pergi kepada orang kafir, apabila membeli pergi kepada kedai orang kafir. Ini realiti yang berlaku apabila kita memisahkan antara ilmu kehidupan daripada ilmu ugama. Sebahagian daripada kita menyangka ilmu kehidupan tiada kaitan dengan ilmu ugama maka ditarik kemuliaan ilmu kehidupan daripada kaum Muslimin.
  12. Dengan taqsim ini, kita akan mengembalikan ilmu kehidupan kepada induknya.
  13. Barat apabila mereka ingin bebas dan berjaya dalam kehidupan, mereka memisahkan ugama daripada kehidupan dan membina kehidupan mereka atas asas sekular.
  14. Kita tak memerlukan pemisahan ilmu kehidupan daripada ugama kerana ugama datang untuk mengislahkan kehidupan dan bukan menjauhkan kehidupan daripada ugama.

Kredit : Muhammad Saeed