Perdana Menteri dan Kerajaan Interim Ada dalam Perlembagaan?

  1. Perkataan “interim” mengikut Kamus Dewan bermaksud “bersifat sementara (sehingga satu penyelesaian yang mantap dicapai)”. Sekiranya perkataan interim dikaitkan dengan kerajaan atau Perdana Menteri, ia merujuk kepada kerajaan sementara.
  2. Di sesetengah negara, ia dikenali sebagai interim government atau emergency government, atau provisional government, atau transitional government. Ia merujuk kepada kerajaan yang ditubuhkan ketika sesebuah negara baru sahaja ditubuhkan, atau apabila satu kerajaan atau pakatan/coalition gagal bertahan sebagai sebuah kerajaan terutamanya apabila berlakunya revolusi atau civil war. Sesetengah negara menggunakan istilah ini selepas berlakunya suasana keselamatan yang tidak tenteram. Kerajaan interim ini mungkin mempunyai tugas untuk mengembalikan keadaan kucar kacir dan tidak selamat kepada keadaan normal.
  3. Di negara kita Perlembagaan tidak secara langsung mengandaikan keadaan ini berlaku dan tiada istilah seumpama itu digunakan dalam Perlembagaan. Dengan kata lain istilah “interim” yang digunakan itu tiada dalam Perlembagaan Perlembagaan atau undang-undang kita. Mungkin, andai mahu digunakan istilah ini dalam dimensi perundangan negara, kerajaan seperti ini ditubuhkan semasa keadaan darurat yang pada ketika itu tiada kerajaan sah sedia ada.
  4. Dalam konteks ini kerajaan interim bukan sebuah kerajaan sementara dalam erti caretaker government yang ditubuhkan semasa Parlimen bubar dan mempunyai fungsi dan kuasa yang terhad.
  5. Apa yang ada dalam Perlembagaan ialah, sekiranya sesebuah kerajaan ditubuhkan oleh kerana gagal atau jatuhnya sebuah kerajaan, tetapi Parlimen tidak dibubarkan, maka ia adalah satu kerajaan seperti mana juga kerajaan ditubuhkan selepas pilihan raya.
  6. Syarat untuk menubuhkan kerajaan, dengan pelantikan Perdana Menteri serta Jemaah Menteri adalah sama, iaitu menurut Perkara 43(2)(a) dan (b). Lantikan Perdana Menteri dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong dengan syarat seseorang itu adalah ahli Dewan Rakyat, yang pada hemat baginda “mungkin” mempunyai kepercayaan majoriti. Manakala Jemaah Menteri pula dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri.
  7. Jemaah Menteri yang dilantik di bawah Perkara 43(2) kerana gagalnya pakatan atau coalition sebelumnya mempunyai kuasa dan kedudukan yang sama dengan kerajaan yang dilantik seusai pilihan raya. Kerajaan tersebut mempunyai fungsi dan kuasa yang sama. Ia berbeza dengan caretaker government yang mempunyai kuasa terhad dan tidak boleh membuat keputusan besar atau melibatkan perbelanjaan besar. Caretaker Government juga hanya boleh ditubuhkan sekiranya Parlimen bubar.
  8. Perlembagaan Persekutuan mempunyai peruntukan mengenai pelantikan Jemaah Menteri dalam keadaan Parlimen bubar dalam Perkara 43(2). Fasal ini menyatakan:
    “…..tetapi jika sesuatu pelantikan dibuat semasa Parlimen terbubar, seseorang yang menjadi ahli Dewan Rakyat yang lepas boleh dilantik, tetapi tidak boleh terus memegang jawatan selepas permulaan penggal Parlimen yang berikutnya melainkan, jika dia dilantik menjadi Perdana Menteri, dia ialah ahli Dewan Rakyat yang baru itu, dan dalam apa-apa hal lain, dia ialah ahli sama ada bagi Dewan Rakyat atau Dewan Negara”.
    Perlembagaan tidak menggunakan istilah caretaker atau apa-apa istilah lain.
  9. Secara umum, di negara kita, sekiranya kita mahu menggunakan istilah kerajaan atau Perdana Menteri interim, ia adalah merujuk kepada tempoh masa sementara. Ia bukan kerajaan yang terhad dari segi fungsi atau kuasanya. Ia tidak seperti caretaker government atau kerajaan sementara yang ditubuhkan semasa Parlimen bubar. Pada pandangan saya istilah interim tidak tepat untuk digunakan kerana (sekiranya) kerajaan baru ditubuhkan akibat Perdana Menteri meletak jawatan, ia bukan kerana berlakunya keadaan darurat atau wujudnya kekecohan atau gangguan kepada keselamatan sebagaimana kebiasaan di negara lain.
  10. Penggunaan istilah yang tepat amat penting agar ia tidak menimbulkan silap faham sekiranya kerajaan baru ditubuhkan kemudian nanti.

Kredit : Prof Shamrahayu Aziz