[Ramalan Peristiwa Akhir Zaman & Apa Pendirian Kita]

Ada orang hubungi saya minta komen tentang isu covid tidak akan dilenyapkan kecuali setelah munculnya Imam Mahdi yang akan memeranginya, Israel akan hancur tahun 2027, perang akhir zaman berlaku di Laut Cina Selatan dan beberapa lagi isu tentang ramalan & firasat akhir zaman yang dikongsi di media sosial. Sebenarnya saya bukan orang yang ahli dalam bidang ini pun dan juga bukan kegemaran saya suka melaga-lagakan pendapat dengan mana-mana guru. Kegemaran saya ialah buka Facebook, baca status orang, yang kita suka kita like & love dan kongsi, ada mood kita tinggalkan komen kemudian tutup buat kerja belajar atau mengajar atau layan anak murid dan keluarga. Nak berbalas komen dalam Facebook tak sempat pun sebab banyak lagi kerja nak buat, kalau tak ralik la melekat di Facebook bekekoh mu aku. Cuma atas sebab mereka husnu dzon kepada diri saya yang bodoh ini dan tambahan pula waktu PKP ni ada sedikit masa terluang, saya cuba untuk memberi sedikit komentar dengan niat untuk menerang dengan kadar sedikit ilmu yang ada sepanjang pembelajaran & kajian saya tentang ilmu akhir zaman dengan guru-guru saya bukan nak cari gaduh dengan mana-mana pihak. Tulisan saya ini tidak ilmiah pun cuma boleh la nak baca secara santai-santai.

Berbicara ilmu akhir zaman ini tidaklah semudah kita baca dua tiga hadith tentang fitnah & petanda akhir zaman kemudian gaul macam nasi kerabu mengikut kefahaman kita lalu menentukan di tahun sekian akan berlaku peristiwa tersebut secara jazam. Peristiwa akhir zaman ini memang diterang dalam hadith tetapi berlakunya peristiwa tersebut bukan di tangan kita atau guru kita atau mana-mana wali. Peristiwa akhir zaman difahami bukan dengan jalan meneka atau tasawwur aqal tetapi ada syawahidnya.

Guru kami, al-Habib Abu Bakar al-Adni حفظه الله telah menyusun dan menghidupkan kembali ilmu akhir zaman iaitu Fiqh Tahawwulat setelah kajiannya hampir 30 tahun dengan cara lebih tersusun dengan meletakkan metodologi, asas-asas, kaedah-kaedah dan prinsip-prinsip yang pada asalnya hadith-hadith akhir zaman yang bertebaran di dalam kitab-kitab hadith lalu dikutip oleh al-Habib, diproses dan dijadikan sebagai suatu ilmu yang mustaqil. Kitab-kitab qawaid Fiqh Tahawwulat karangan al-Habib kalau untuk bacaan dan pembelajaran mengikut turutan mustawa ialah (( النبذة النبذة )) kemudian (( النبذة الصغرى )) kemudian (( دوائر الإعادة )) kemudian ((الإقليد)) kemudian (( التليد والطارف )) kemudian (( الأسس والمطلقات )). Untuk kitab tatbiqot Fiqh Tahawwulat karangan al-Habib banyak, antaranya ialah (( سلامة الدارين )) – ((النمط الأوسط )) – (( إحياء لغة الإسلام العالمية )) dan banyak lagi yang sahabat-sahabat boleh cari sendiri dalam Google tentang muallafat beliau.

Bukan sekadar karangan tentang ilmu Fiqh Tahawwulat, beliau juga banyak karangan dalam ilmu Tasawwuf dan Tarikh serta suka mengarang manzhumah. Jadi, untuk membina malakah yang sebenar dalam ilmu Fiqh al-Tahawwulat, perlu khatam semua kitab tersebut dan ada ikhtibar untuk menilai prestasi kefahaman anak-anak murid beliau dalam ilmu tersebut sebelum diizinkan mengajar.

Cuma apa yang saya nak sebut disini, berdasarkan kefahaman yang saya ambil dari beliau حفظه الله, kasyaf atau firasat atau mimpi tidak boleh dijadikan qawaid dalam ilmu Fiqh At Tahawwulat kerana qawaid dalam ilmu ini dibina diatas nusus. Kalau ada firasat atau kasyaf atau mimpi itu untuk diri orang soleh tersebut dan orang yang rapat dengannya sahaja sebagainya suatu bisyarah untuk menetap pendirian mereka ketika ditimpa ujian, bukan untuk orang lain. Kalau perkara ini dibuka untuk umum, akan jadi fitnah. Kata al-Habib, banyak dah perkara yang berkaitan dengan kasyaf, firasat dan mimpi berlaku kesalahan ketika diramal tentang peristiwa tersebut. Zaman perang Amerika-Iraq tahun 1993 dulu pun orang duk kata itu inilah zaman al-Sufyani walhal perkara tersebut tidak menepati ciri-ciri sebagaimana yang disebutkan dalam hadith. Saya pun besa dengar dengan telinga saya sendiri satu orang sheikh tariqat dari luar negara ketika beliau turun di Kuala Lumpur tahun 2013, beliau ada memberitahu nanti pada tahun 2017 aku akan memandikan jenazah Nabi Isa. Ini dah 2021 Nabi Isa belum lagi muncul, tapi sheikh tu dah meninggal. Semoga Allah mengampuni kesilapan saya dan beliau.

Saya bukan nak menafikan kasyaf, mimpi dan firasat, benda itu memang berlaku kepada orang soleh dan ada perbahasannya. Cuma benda ini seeloknya diletakkan dalam poket je, jangan keluarkan takut terjadi fitnah. Tambahan lagi mereka yang rakam kemudian sebar melalui video. Siap ada buat poster kata-kata lagi. Biarlah sesama ahli takpe kalau nak cerita.

Peristiwa akhir zaman yang disebutkan oleh hadith secara disiplinnya jangan kita ikatkan dengan individu, masa dan tempat kecuali perkara tersebut disebutkan secara sarih oleh Nabi dengan syawahidnya. Nak memberi peringatan tu bagus, tapi jangan secara jazam untuk bagi penentuan. Sebut secara umum. Kalau dengan ihtimal, takde masalah. Sama juga isu dengan konspirasi akhir zaman. Kalau dah menentukan secara pasti, ini bahagian daripada kegopohan dan tipudaya syaitan.

Petanda atau peristiwa akhir zaman ni bukan Covid-19 je, bahkan banyak lagi yang disebutkan oleh Nabi yang berlaku di sekeliling kita bahkan mungkin diri kita pun banyak terdapat petanda akhir zaman yang disebutkan oleh Nabi. Kederhakaan kepada ibubapa, kematian ulama’, kejahilan merebak, banyak penzinaan dan lain-lain. Itu semua petanda hari kiamat. Manusia hanya takut kepada petanda-petanda tertentu sahaja sedangkan petanda lain dah banyak berlaku tanpa disedari. Petanda hari kiamat ni samaada kita redha atau tidak, kita bercakap tentangnya atau tidak, pasti akan berlaku. Berlindung daripadanya wajib, tapi kena ada ilmu dan bimbingan. In sya Allah saya akan berkongsi tentang ilmu Fiqh At Tahawwulat dalam status-status saya akan datang pelan-pelan untuk sahabat-sahabat dapat tasawwur awal, untuk lebih tahqiq kena melalui dirasah khusus.

https://www.facebook.com/100000953605455/posts/5762168787158184/?d=n

Sumber : Muhammad Saeed