Tarikh 4 Oktober pada 439 tahun yang lalu, kalendar Gregorian diperkenalkan oleh Paus Gregory XIII.
Sejak dari awal ketamadunan manusia, sudah wujud sistem perkiraan waktu dengan cara bangsa masing-masing. Dunia Eropah mula menggunakan kalendar Julian pada tahun ke-46 Sebelum Masihi diperkenalkan oleh Julius Caesar.
Namun sistem Maharaja Rom itu didapati ada kesilapan perkiraan terhadap tempoh Bumi mengelilingi matahari sebanyak 11 minit, membuatkan kalendar itu semakin tidak segerak dengan musim. Ini dikesan oleh Paus Gregory XIII.
Beliau mendapati semakin tahun perayaan Easter, yang disambut pada 21 Mac, jatuh semakin jauh dari musim ekuinoks musim bunga. Pada masa sama, kalendar Julian juga wajib tahun lompat setiap 4 tahun, makin memanjangkan lagi perkiraan itu.
Maka usaha dijalankan bersama saintis Itali, Aloysus Lilius & saintis Jerman, Christopher Clavius menghasilkan sistem baharu yang diperbaiki mula diperkenal & digunapakai mulai 4 Oktober 1582 di Itali, Poland, Portugal & Sepanyol.
Antara perubahan perkiraannya adalah sekiranya tahun itu boleh dibahagi sama rata dengan 100, ia bukan tahun lompat kecuali jika ia juga boleh dibahagi sama rata dengan 400.
Walaupun sistem itu dapat menjajarkan semula perkiraan dengan musim Bumi, ia masih tertinggal 26 saat. Kesannya, terdapat perbezaan beberapa jam sehingga dijangkakan pada tahun 4909 nanti, kalendar Gregorian akan lebih awal sehari penuh.
Apabila ia diperkenalkan, puak Kristian Protestan menolaknya kerana melihatnya satu usaha Katolik menundukkan gerakan mereka. Namun akhirnya Protestan Jerman menerimanya pada 1700 & England pula pada 14 September 1752.
Sementara di negara-negara Kristian Orthodoks khususnya di Eropah Timur, kebanyakan terus berpegang kepada kalendar Julian malah sehingga ke hari ini & menerima kalendar Gregorian hanya untuk urusan pentadbiran.
Penggunaan kalendar Gregorian tersebar meluas ke seluruh dunia dibawa oleh peneroka Eropah ke tanah-tanah jajahan mereka & menjadi kalendar utama yang umum digunakan hari ini.
Sumber: History, Time and Date, Wikimedia Commons
Kredit : Astro Awani