MAULID RASUL
Beberapa Persoalan :
Soal :
Apakah benar mengadakan majlis Maulid Ar-Rasul itu bidaah?
Jawab :
Jika pengisian dalam acara yang dibuat itu ialah perkara yang disuruh syarak seperti membaca Quran dan berselawat dan berceramah dan berzikir dan yang seumpamanya maka ia bukan bidaah dan yang sekelian yang terlibat menjayakannya itu dapat pahala kerana apa yang diamalkan itu semuanya adalah termasuk ibadah.
Dan jika ada dalam acara yang diadakan itu perkara yang diharamkan syarak seperti minum arak atau bercampur lelaki dan perempuan yang bukan mahram atau yang seumpamanya maka ia adalah bidaah yang haram.
Berkata Dr Wahbah Az-Zuhaili :
إذا كان المولد النبوي مقتصرًا على قراءة القرآن الكريم، والتذكير بأخلاق النبي عليه الصلاة والسلام، وترغيب الناس في الالتزام بتعاليم الإسلام وحضّهم على الفرائض وعلى الآداب الشرعية، ولايكون فيها مبالغة في المديح ولا إطراءٌ كما قال النبي (لا تطروني كما أطرت النصارى عيسى بن مريم ولكن قولوا عبد الله ورسوله) وهذا إذا كان هذا الاتجاه في واقع الأمر لا يُعد من البدع
Artinya : “Apabila adalah acara kelahiran Nabi itu tersimpan atas membaca Al-Quran dan memberi tazkirah dengan akhlak Nabi sollallahu alaihi wasallam dan menggalakkan manusia pada melazimi menuntut ilmu-ilmu Islam dan menyungguhkan mereka menunaikan segala kewajipan dan atas adab-adab agama dan tidak ada pada acara tersebut perbuatan melampau-lampau pada pujian dan tidak berlebih-lebihan sampai kepada memuja sebagaimana sabda Nabi sollallahu alaihi wasallam : Jangan kamu sekelian berlebihan memuja aku sebagaimana kaum Nasara memuja akan Isa bin Maryam akan tetapi ucapkanlah hamba Allah dan Rasulullah. Dan ini apabila adalah cara seperti ini yang berlaku dalam acara sambutan nescaya tidak dikira sebagai bidaah.”
Soal :
Adakah mengadakan sambutan sempena kelahiran Nabi sollallahu alaihi wasallam itu berkait dengan iman?
Jawab :
Jika dilakukan sambutan sempena kelahiran Nabi sollallahu alaihi wasallam itu kerana kasihkan Nabi sollallahu alaihi wasallam dan bukan kerana ria’ dan menunjuk-nunjuk maka ia adalah setengah dari tanda kesempurnaan iman kerana hadith Anas bin Malik r.a. Rasulullah sollallahu alaihi wasallam telah bersabda :
لَا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى أَكُونَ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِنْ وَالِدِهِ وَوَلَدِهِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِينَ
Artinya : “Tidak beriman seorang kamu sehingga adalah diriku lebih dia kasih daripada bapanya dan anak-anaknya dan manusia sekeliannya.” (Hadith riwayat Bukhari)
Telah berkata Mufti Negeri Mesir Dr Ali Juma’ah:
الاحتفال بذكرى مولده من أفضل الأعمال وأعظم القربات؛ لأنه تعبير عن الفرح والحب له، ومحبة النبي أصل من أصول الإيمان
Artinya : “Acara sambutan dengan menyebut kelahiran Nabi sollallahu alaihi wasallam ialah setengah daripada seafdhal-afdhal amalan dan sebesar-besar pengorbanan kerana sungguhnya ia menterjemahkan akan kegembiraan dan kasih sayang bagi Nabi sollallahu alaihi wasallam dan cintakan Nabi sollallahu alaihi wasallam itu ialah setengah dari asal iman.”
Soal :
Sambutan maulid Rasul itu tidak dilakukan pada zaman awal Islam maka adakah tidak menjadi kesalahan kita lakukannya?
Jawab :
Perkara yang salah itu artinya perkara yang menyalahi dengan syariat atau menyalahi kebenaran atau membawa kemudaratan atau ada keburukan kepada pelakunya atau kepada masyarakat.
Maka jika majlis yang pengisisannya berupa selawat dan baca Quran dan zikir serta doa adalah jauh dari dikatakan sebagai salah.
Berkata bekas mufti negeri Mesir Syeikh Hasanain Muhammad Makhluf :
والإحياء بهذه الطريقة وإن لم يكن مأثورا في عهده صلى الله عليه وآله وسلم ولا في عهد السلف الصالح إلا أنه لا بأس به وسنة حسنة
Artinya : “Menghidupkan hari kelahiran Nabi sollallahua laihi wasallam dengan adab-adab syariat sekalipun tidak dilakukan pada zaman Nabi sollallahu alaihi wasallam dan tidak pada zaman salafussolih melainkan tiada salah dengannya dan ia adalah kebaikkan yang sangat elok.”
Soal :
Adakah benar kisah Abu Lahab diringankan azab sebab memerdekakan ibu susu Nabi sollallahu alaihi wasallam yang bernama Tsuwaibah?
Jawab :
Kisah Abu Lahab diringankan azab di dalam neraka itu adalah sahih dan sebabnya ialah Abu Lahab ketika hidup telah memerdekakan ibu susu Nabi sollallahu alaihi wasallam yang bernama Tsuwaibah dan keringanan yang dia dapat ialah diberi minum sedikit air di dalam neraka.
Telah diriwayatkan daripada ‘Urwah bin Az-Zubair r.a. beliau berkata :
وثُوَيْبَةُ مَوْلَاةٌ لِأَبِي لَهَبٍ كَانَ أَبُو لَهَبٍ أَعْتَقَهَا فَأَرْضَعَتْ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَلَمَّا مَاتَ أَبُو لَهَبٍ أُرِيَهُ بَعْضُ أَهْلِهِ بِشَرِّ حِيبَةٍ قَالَ لَهُ مَاذَا لَقِيتَ قَالَ أَبُو لَهَبٍ لَمْ أَلْقَ بَعْدَكُمْ غَيْرَ أَنِّي سُقِيتُ فِي هَذِهِ بِعَتَاقَتِي ثُوَيْبَةَ
Artinya : “Bermula Tsuwaibah itu ialah bekas hamba perempuan bagi Abu Lahab dan adalah Abu Lahab memerdekakannya kemudian Tsuwaibah ini menyusukan Nabi sollallahu alaihi wasallam. Maka selepas Abu Lahab mati telah ditunjukkan kepada sebahagian keluarganya dalam mimpi dengan suatu yang buruk. Berkata sebahagian keluarganya itu baginya : Apakah yang kamu telah dapat? Berkata Abu Lahab : Tiada aku dapat selepas kamu sekelian selain sungguhnya aku diberi minum lantaran aku merdekakan akan Tsuwaibah.” (Hadith riwayat Imam Bukhari dan Muslim dan Abu Daud dan Ibnu Majah dan An-Nasaie dan lainnya)
Soal :
Menyambut hari kelahiran Nabi itu dapat pahala atau dapat dosa?
Jawab :
Berkata Syeikh Abdullah bin Bayah :
فإذا فعله بهذه الشروط التي ذكرت؛ ولم يلبسه بشيء مناف للشرع، حباً للنبي ففعله لا بأس به إن شاء اللهُ وهو مأجور
Artinya : “Apabila dilakukan sambutan kelahirannya dengan segala syarat yang telah disebut dan tiada padanya suatu yang melawani syarak semata-mata kasih akan Nabi sollallahu alaihi wasallam adalah tidak mengapa insyaAllah dan ia akan diberi pahala.”
wallahua’lam
Kredit : ustaz azhar idrus