Apa berlaku kepada umat Islam di Syria sekarang?
Beberapa tahun lalu, ketika saya sedang menyelesaikan penulisan tesis MA berkaitan pemikiran akidah al-Shahid al-‘Allamah Prof Dr Muhammad Sa’id Ramadan al-Buti, ketika itu Syria baru mula bergolak. Pergolakan itu dikatakan berpunca dari tempias semangat revolusi Arab spring yang berlaku di beberapa negara Arab.
Kebanyakkan umat Islam di Malaysia (bahkan dunia Islam) kelihatan menyokong kebangkitan rakyat Syria untuk melawan pemerintahan zalim yang berfahaman Syiah (Presiden Bashar al-Asad).
Al-‘Allamah al-Buti dikatakan antara ulama besar ASWJ yang tidak menyokong pemberontakan atau kezaliman itu, sama ada ianya dilakukan oleh pemerintah ataupun rakyat. Keamanan perlu diutamakan.
Natijahnya, beliau dituduh sebagai penyokong kerajaan zalim kerana tidak memberikan fatwa wajib melawan pemerintah Syria. Di sisi yang lain, beliau dituduh mendiamkan diri kerana tidak mengeluarkan fatwa harus melawan rakyat yang memberontak.
Lebih membingungkan, ada yang menuduh al-‘Allamah al-Buti sebagai Syiah? (Tuduhan paling tidak berasas dan bodoh).
Saya tersepit menghadapi keadaan ini apabila rata-rata umat Islam menuduh al-‘Allamah al-Buti sebagai ulama kerajaan, malah lebih teruk lagi sehingga ada yang sanggup menfitnah dan mencaci-maki beliau.
Hakikatnya, jauh di sudut hati saya, saya menghormati pendirian al-‘Allamah al-Buti itu selaku ulama yang lebih memahami maslahah dan realiti, cumanya saya mendiamkan diri sahaja. Saya cuba meletakkan diri saya di tempat beliau, sehingga saya merasakan pendirian beliau adalah benar.
Ini kerana, dalam keadaan al-‘Allamah al-Buti tidak mengeluarkan sebarang fatwa pun berapa ramai umat Islam telah mati?, inikan pula jika beliau mengeluarkan fatwa, sudah tentu makin ramai yang akan mati.
Hal ini boleh mengakibatkan keadaan umat Islam akan menjadi kucar-kacir dan musuh-musuh Islam mudah untuk merosakkan Islam dan negara Syria. Ini sebahagian persoalan dan pendapat yang bermain-main di fikiran saya ketika itu.
Setelah beberapa tahun al-‘Allamah al-Buti wafat, kini telah mula kedengaran suara-suara tentang kebenaran firasat dan pendirian beliau itu. Namun, apa yang telah berlaku kepada umat Islam di Syria sekarang?!
Mana suara-suara yang dahulunya lantang menfitnah dan mencari-maki beliau? Mana mereka yang dahulunya menyeru kepada peperangan? Siapa harus bertanggungjawab terhadap kematian umat Islam di Syria, dan kemasukan musuh-musuh Islam dalam negara-negara umat Islam? Dalam keadaan negara-negara Islam lain tidak membantu dan bercelaru? Dan pelbagai persoalan lagi…
Semua ini hanya tinggal persoalan sahaja. Sekarang semuanya telah hancur lebur akibat kerakusan dan ‘kegilaan’ manusia itu sendiri. Pada masa yang sama menentang wali-Nya (al-‘Allamah al-Buti). Umat Islam mesti insaf dan bertaubat!
Benarlah kata-kata Imam Hassan al-Basri: Fitnah itu apabila ia datang, sudah diketahui oleh setiap orang alim. Tetapi apabila ia telah pergi, barulah diketahui oleh setaip orang jahil.
Malangnya, mereka yang memusuhi al-‘Allamah al-Buti telah dihijab daripada melihat hakikat ini. Beliau terus difitnah sehingga hari ini.
Mungkinkah krisis sebegini akan terus mengheret umat Islam dan seluruh dunia ke ambang peperangan lebih besar agenda Yahudi? Ditambah dengan permainan dan percaturan geopolitik Barat? Wallahualam.
Apa-apa pun, umat Islam di Malaysia wajib mengambil pengajaran daripada peristiwa ini. Agar tidak terpengaruh dengan unsur-unsur yang boleh merosakan keamanan dan kedaulatan negara kita.
Kredit : Muhammad Rashidi