SEMPENA HAUL SIDI ABDULLAH : ULASAN TASAUF AHLI HADIS (1)

  • Kupasan berkala ini saya persembahkan sempena mengingati kehidupan dan sumbangan tokoh agung yang pernah dimiliki ummat Islam. Karangan beliau serta soal jawab bersama anak muridnya dijadikan sebagai paksi utama semasa ulasan ini disediakan. Kitab pertama ialah : حسن التلطف

‐ Sayugianya kitab ini dibaca sebelum menyelam ke perbahasan yang lebih mendalam melalui kitabnya الاعلام بان التصوف من شريعة الاسلام

  • Husn at Talattuf, ringkasnya menjelaskan prinsip asa ilmu Tasauf serta perkaitannya dengan Tarikat. Saat menjejakan kaki ke arena ini maka wajib mengambil Tarikat bagi menyampaikan diri kepada Allah.
  • Pertamanya Sidi Abdullah memuji serta mengiktiraf akan kelebihan yang dikurniakan kepadanya. Berkata beliau,

“Sesungguhnya Tasauf besar kedudukannya, agung isi kandungannya, faedahnya besar, cahayanya memancar, buahnya ranum, lembahnya subur, insan yang menyeru ke Tasauf diberikan ganjaran walau dari arah manapun seruannya, menyucikan jiwa daripada kekotoran, membersihkan nafsu daripada sisa kotoran, meninggikan darjat roh menaiki tangga kejayaan, menyampaikan seseorang kepada keredhoan ar Rahman”.

  • Takrif Tasauf mencecah 1000 pengertian mengikut ahwal ulama dan zauq si salik. Memang bercanggah dengan kaedah pentakrifan yang diaturkan ulama’ mantiq tetapi khilaf lafzi sesama mereka juga tidak memutuskan pentakrifan sebenar akan ilmu ini. Khilaf ini tidak merendahkan pula kedudukan Tasauf hanyasanya ia bersifat zauqi. Kata kunci yang disepakati pada pengakrifan mereka ialah Tasauf berdasarkan kalam Imam Junaid al Baghdadi, “Pembersihan hati supaya bertepatan dengan kehendak Rabbani, pemisahan dari akhlak-akhlak kebiasaan, membumikan sifat kemanusian, menjauhi dakwaan keakuan diri, ruangan mengisi ruhani, mengikat diri dengan ilmu hakikat, menasihati ummah, mencontohi Saidina Rasulullah صلى الله عليه واله وسلم di dalam pensyariatan”. Inilah yang dipilih penulis mengambil pengertian ini memandangkan ia membuka hakikat Tasauf dari sudut pentakrifan.
  • Prinsip Tasauf adalah didirikan melalui al Quran al Karem dan as Sunnah an Nabawiah. Berkata al Junaid, “ilmu kami ini terikat kuat dengan al Quran dan as Sunnah”. Tajuddin as Subki dalam Jam’ul Jawami’ menyokongnya.
  • Salah seorang tokoh Tasauf berkata,
    “Tidak menjadi seseorang itu qutub atau autad atau wali melainkan dengan sebab mengagungkan Saidina Rasulullah صلى الله عليه واله وسلم . Tokoh tersebut ialah Abul Abbas Ahmad al Mulsam.
  • Arifbillah Abul Hasan Syazuli al Ghumari berpesan, “Barangsiapa mengajak kepada Allah bukan dengan apa yang diajarkan Saidina Rasulullah maka dia pendusta”
  • Beliau berkata lagi, ” Tiada karamah yang lebih agung dari karamah keimanan dan mengikuti Sunnah an Nabawiah barang siapa.yang dikurniakan keduanya tetapi mencari yang lain maka dia hamba derhaka dan pembohong.
  • Itu prinsip yang pertama disebutkan oleh penulis yakni : keimanan kepada Allah serta mengagungkan Saidina Rasulullah dengan sebetulnya. Kemudian beliau mendatangkan kalam-kalam yang menunjukan prinsip seterusnya :
  • as Sya’rani menghikayatkan dalam pendahuluan Tabaqatnya, “Telah sepakat ahli Tasauf bahawasanya dilarang memimpin Tarikat melainkan orang yang menguasai sebenarnya dalam ilmu syariat, khusus dan ammnya arahan, nasikh mansukh dan menguasai ilmu Bahasa Arab boleh membezakan istia’rah dan majaz dan selainnya”
  • Prinsip ketiga ini meliputi maslahat umum kerana apabila seseorang tuan guru menjadi tempat rujukan maka pelbagai soalan yang kebanyakkannya berkisar tentang fikh dan tauhid akan diajukan.
  • Punca banyak khurafat mengotori Tarikat adalah berpunca daripada guru-guru yang jahil juhala. Mengakui pula mampu membimbing dan memberi petunjuk walhal kalam mereka ibarat buah yang busuk. Jikalau tiada mereka-mereka ini nescaya jalan ini akan sejahtera seperti keadaannya suatu tika dahulu.
  • Ilmu Tasauf dibina didasari tiang keilmuaan. Oleh kerana itu ramai dikalangan ulama kibar mengambil manfaat daripada ilmu ini seperti halnya al Hafiz Abu Nuaim, Imam Izzuddin Abd Salam, al Hafiz Ibn Solah, Imam Nawawi, Taqiuddin as Subki, anaknya Tajuddin as Subki, al Hafiz as Suyuti dan Imam Syafie serta Imam Abu Hanifah.
  • WAJIB DAN DALIL BERTASAUF. Ini point yang dengannya Sidi Abdullah mengkhatamkan tulisannya. Lapan isi penting yang disampaikan penulis disertakan dalil yang menyokongnya. Dan yang pertama ialah Tasauf merupakan ajaran serta teras agama. Kesempurnaan tidak mampu dicapai jika mengabaikannya. Ini jelas disebutkan oleh Saidina Rasulullah, “Ini Jibril telah datang dan mengajarkan kamu agama kamu…”. Iman, Islam dan Ihsan.

credit : Ibn Ishaq
28 Sya’ban 1442