KEDATANGAN Portugis ke Nusantara bukanlah secara kebetulan atau atas faktor perdagangan rempah semata-mata. Ia mempunyai kaitan dengan dendam Gereja Katholik di Vatican terhadap kejatuhan Constantinople di tangan Daulah Othmaniyah pada 1453M. Gereja telah mencantumkan kerajaan Castilian dan Aragon bagi membolehkan mereka menghancurkan Granada pada 1492M. Pada 7 Jun 1494M, Paus Alexander VI telah mengadakan Perjanjian Tordesilas yang memberi hak kepada Portugis untuk mejelajah kawasan timur dalam menjayakan agenda 3G (gospel, glory and gold), atau dalam kata lain untuk menghancurkan daulah Islam, khususnya Daulah Othmaniyah. Pada 1488M, Bartholomew Diaz telah tiba di Tanjung Harapan, sebelum Vasco Da Gama sampai di Kalikat, India pada 1498. Mereka kemudiannya menduduki Hormuz, Aden dan pantai Hijaz, dengan bantuan kerajaan Syiah Shafawi. Dengan kedudukan mereka di Aden, Hormuz, Hijaz dan Kalikat, Portugis mula mengatur gerakan untuk melemahkan Islam setelah keadaan Khalifah Abbasiyah-Mamalik tidak lagi dapat mempertahankan Islam.
Bagi tujuan inilah, pada 11 September 1509, Vasco Da Gama telah mengirimkan seorang paderi, Diego Lopez De Squera ke Melaka. Setelah mereka mengadap Sultan Mahmud Shah dan mendapat layanan baik, pedagang Muslim dari Arab dan India telah mendesak Sultan Melaka untuk tidak mempercayai orang Portugis berdasarkan pendudukan mereka di Hormuz, Aden dan Kalikat. Kerajaan Melaka kemudiannya mengatur tangkapan ke atas orang Portugis setelah maklumat tentang kehadiran mereka adalah untuk melakukan risikan diketahui oleh istana, dan akhirnya 20 orang Portugis, termasuk perisiknya, Rui Aroujo telah ditangkap. Penangkapan ini telah dijadikan alasan untuk Portugis bertindak ke atas Melaka kemudiannya. Bagi membolehkan mereka menguasai Melaka, Alfonso de Albuquerque telah cuba menguasai Kalikat pada 1509M tetapi gagal, lalu menawan pula pelabuhan Goa pada 10 Disember 1510M. Setelah itu, gerakan ketenteraan disusun untuk menyerang Melaka dari Goa, India.
MELAKA: BANGSA PERTAMA DIJAJAHI
Sasaran awal Gereja Kristian adalah untuk meruntuhkan Daulah Othmaniyah yang sedang bangkit menggantikan Daulah Abbasiyah-Mamalik di Kaherah. Daulah Othamaniyah telah berjaya menguasai Eropah Timur, Balkan hingga ke Vienna, dan membuka Constantinople, sekali gus menghancurkan pengaruh Kristian Orthodoks. Gereja Vatican menyangka kekuatan ekonomi Daulah Othmaniyah adalah dari India berdasarkan penguasaan pedagang India di kawasan Arab. Tetapi selepas mereka menduduki Goa, didapati bahawa India bukan sumber sebenar kekuatan ekonomi Daulah Othmaniyah. Sebaliknya, Portugis telah menyedari bahawa punca sebenar kekuatan ini ialah Melaka, lalu mereka menghantar Lopez De Squera dan Roi Aroujo untuk menyelidik dan mengkaji Melaka. Di sinilah mereka mengenali pemimpin-pemimpin Melaka yang boleh disogok, mengkaji keseluruhan sejarah kesultanan Melaka, mengetahui konflik istana selepas fitnah terhadap Bendahara Tun Mutahir dan pembunuhannya, serta kekuatan armada laut Melaka yang dipimpin oleh Laksamana Khoja Hassan yang berada perairan Lingga.
Sebenarnya, penaklukan Kristian Barat bermula dengan kejatuhan Melaka. Ketibaan Christopher Columbus di Caribbean pada 12 Oktober 1492 bukanlah dengan tujuan mencari benua baru, tetapi untuk mencari India, bagi menghapuskan Daulah Othmaniyah. Kerana itu Caribbean dinamakan “West Indies” dan orang-orang peribumi benua Latin berbangsa Maya, Aztec dan Inca dipanggil “Red Indian,” kerana pada awalnya orang Sepanyol menyangka telah menemui India, sebelum Portugis tiba di Kalikat pada 1497M. Setelah Portugis menduduki Cueta pada 1415M, dan menjelajahi pantai Afrika mulai 1419M, akhirnya Bartholomew Diaz menemui Tanjung Harapan pada 1487M, baharulah mereka mengetahui India yang sebenar. Setelah itu, Vasco Da Gama pula tiba di Tanjung Harapan pada 1497, terus ke Malindi pada 1497M juga sebelum tiba di Kalikat pada 1498M. Mereka telah menduduki Aden, Hormuz dan Hijaz, sebelum dapat menguasai Goa pada 1510M. Namun begitu, gerakan penjajahan sebenar hanya berlaku pada 1511M, setelah mereka menyerang dan meruntuhkan empayar Melaka. Selepas runtuhnya Melaka, barulah bermula proses penjajahan Barat ke atas dunia Islam.
SERANGAN PORTUGIS DAN KERUNTUHAN MELAKA
Seorang pengkaji, Rene Abrecht-Carrie mengatakan, sebenarnya sehingga abad ke-16M, orang Eropah masih primitif dan kelam kabut tentang geografi dan pelayaran. Tetapi kerana rancangan untuk menghancurkan kuasa politik Islam mereka belayar ke timur dan menjajah Melaka. Serangan ke atas Melaka ini adalah atas alasan menuntut pembebasan perisik mereka, Riu Aroujo bersama 20 anak kapal yang lain. Pada 28 Jun 1511M, Alfonso De Albuquerque telah tiba di Melaka dan cuba mengadakan rundingan sehingga akhirnya orang-orang Portugis dibebaskan. Tidak berpuas hati kerana tidak dapat menguasai Melaka, Portugis mula merancang untuk menguasai Jambatan Melaka dan akhirnya tercetus perang yang pertama pada 25 Julai 1511M. Pada awalnya Portugis dapat menguasai jambatan itu dengan kerjasama askar Jawa, Cina dan India yang belot, tetapi dirampas semula oleh Melaka dengan 70 orang Portugis dapat dibunuh. Kejayaan Melaka mengalahkan Portugis dalam serangan yang pertama ini menyebabkan mereka mengatur serangan kedua dengan lebih besar lagi, di mana 25 buah kapal dan 1,500 tentera digunakan untuk menyerang Melaka.
Serangan kedua berlaku dalam keadaan Melaka berjaga-jaga di mana para ulamak telah mengumpulkan tentera Melaka dan membacakan kepada mereka Hikayat Mohamad [Ali] Hanafiah dan Hikayat Amir Hamzah bagi menaikkan semangat perjuangan mereka untuk melawan Benggali Putih itu. Perang ini tercetus pada 10 Ogos 1511M, di mana pasukan Melaka dipimpin oleh Sultan Ahmad Shah bersama Maulana Sadar Jahan, sedangkan Portugis dipimpin oleh Alfonso De Albuquerque. Perang yang kedua ini telah dimenangi oleh Melaka pada awal, tetapi disebabkan oleh tekanan yang berterusan dari Portugis, Sultan Mahmud Shah dan kerabat baginda berundur ke Hulu Bertam, Pahang bersama pembesar utama. Portugis mengambil kesempatan menguasai kota Melaka dan membunuh sesiapa sahaja yang melawan, tetapi membenarkan orang Pegu, Burma dan Hindu meninggalkan Melaka tanpa membawa harta. Pada 24 Ogos 1511M, Alfonso De Albuquerque telah mengarahkan tenteranya membuat serangan dan merampas semua harta Sultan Melaka, termasuk menguasai Istana Melaka, sekali gus menjadi detik runtuhnya kerajaan Melaka.
PENGUNDURAN DAN USAHA PEMBEBASAN MELAKA
Selepas kejatuhan Melaka, Sultan Mahmud Shah bersama keluarga dan pembesar, termasuk Sultan Ahmad Shah (Sultan Melaka terakhir), Raja Ali (Sultan Aliuddin Riayat Shah II Johor Riau) dan Raja Muzaffar (Sultan Muzaffar Shah Perak) telah berundur ke Bintan, Johor dari Pahang. Dari sini baginda mengumpulkan kekuatan rakyat untuk membebaskan Melaka. Akhirnya Bintan diserang oleh Portugis pada 1526M. Akibat serangan ini, Sultan Mahmud Shah telah berundur ke Kampar, Sumatera dan mangkat di sana pada 1528M. Sultan Aliuddin Riayat Shah, putera baginda dengan Tun Fatimah kemudiannya mengasaskan Kerajaan Johor-Riau berpusat di Johor Lama, manakala Sultan Muzaffar Shah, putera baginda dengan Puteri Onang Kening (puteri Sultan Mansor Kelantan) dirajakan sebagai Sultan Perak yang pertama. Sebelum kemangkatan Sultan Mahmud Shah, pengunduran baginda ke Pahang adalah bukan kerana mengaku kalah, tetapi sebagai strategi untuk menyerang balas ke atas Portugis. Ketika itu, armada terbesar Melaka diketuai oleh Laksamana Khoja Hassan tidak berada di Melaka, tetapi di perairan Lingga.
Selepas kepulangan armada laut dari Lingga, beberapa siri serangan ke atas Melaka telah dilakukan diketuai oleh Sultan Mahmud Shah dan Laksamana Hang Nadim. Empat serangan dilancarkan oleh Sultan Mahmud Shah ke atas Melaka antara 1512M hingga 1523M, sedangkan Hang Nadim sendiri menyerangnya pada 1516M dan 1524M, yang menyebabkan Bintan diserang oleh Portugis pada 1526M. Pada 1521M, Pangeran Adipati Yunus (Pati Unus) dari Kerajaan Demak telah menyerang Portugis di Melaka kali kedua dengan bantuan kerajaan Banten, Ceribon dan Japara, sedang serangan jihad pertama Demak dibuat pada 1513M. Dua tokoh penting yang terlibat dalam serangan ini ialah Sunan Gunung Jati dan Sunan Fatahillah. Menyusul selepas kegagalan Demak ialah Aceh. Sultan Aliuddin Riayat Shah al-Qahhar Aceh telah menyerang Portugis pada 1537M dan 1547M dengan dukungan Daulah Othmaniyah. Pada 1551M, Johor-Riau dengan bantuan Perak dan Jepara telah berjaya menawan kota Melaka selama tiga bulan, sebelum Portugis menguasai semula kota itu. Dengan bantuan Daulah Othmaniyah pula, Aceh menyerang lagi pads 1568M dan 1570M tetapi gagal membebaskan Melaka. Portugis hanya dapat ditewaskan dalam serangan Belanda pada 1641M.
kredit : group sejarah nusantara