BANJIR, TAK PAYAH SOLAT?
Solat adalah suatu kewajipan yang tidak ada alasan untuk kita meninggalkannya. Walau dalam apa jua keadaan.
Tambahan lagi waktu sedang diuji dengan musibah, kita sepatutnya insaf dan meletakkan pengharapan kepada Allah untuk membantu kita memberi jalan keluar dan mempermudahkan urusan kita.
Namun kita lihat apa yang berlaku ramai yang bermudah-mudah meninggalkan solat dengan alasan banjir. Betulkah kalau banjir tak mengapa tidak solat?
Dengan keadaan banjir yang belum surut, hujan masih lagi turun, pakaian dan peralatan serba kurang, mesti agak tidak selesa untuk kita tunaikan solat macam biasa. Kadang-kadang, nak ambil wuduk pun susah sebab sumber air bersih terhad. Jadi, kalau dah air mineral dan air paip pun tiada, tak salah untuk berwuduk guna air banjir. Cumanya, perlu dielakkan setakat mampu. Sebab kita tak tahu keadaan air itu berbahaya atau tidak untuk kita.
Kalau kes kawasan rumah atau penempatan banjir teruk dinaiki air sampai tempat kering pun tak ada, maka diharuskan untuk solat atas kerusi. Takkan nak sujud sambil menyelam muka hirup air… blup blup blup.
Atau kalau rasa tak boleh juga, mungkin kerana terkejar-kejar dalam urusan pemindahan dan masa yang sangat suntuk, buatlah solat hormat waktu dalam keadaan apa pun yang kita berada itu, setakat mana termampu. Kalau tak dapat solat berdiri, duduk. Tak dapat duduk, baring, atau dengan isyarat kepala atau isyarat mata.
Kalau dah kawasan rumah selesa/ ada tempat yang sesuai untuk tunaikan solat, ataupun tempat penempatan sementara itu bukan dalam keadaan teruk, maka perlu untuk tunaikan solat fardu seperti biasa dan lagi bagus boleh hidupkan ia secara berjemaah. Banyakkan berdoa kepada Allah, minta dipermudahkan urusan sehingga keadaan pulih.
Biasanya kalau rumah 2 tingkat tenggelam separuh, masih ada tingkat atas yang kering. Kalau yang sudah dipindahkan ke pusat sementara, biasanya sudah duduk dalam dewan dan boleh sahaja solat macam biasa.
Malang seribu kali malang bila kita dengar ada yang dipindahkan menumpang di masjid dan surau, tetapi bila masuk waktu orang datang hendak solat, dia lari keluar pula. Lepak hisap rokok bawah pokok.
Begitulah kadang-kadang manusia ini. Ada yang lagi diberi ujian, lagi jauh daripada Tuhan. Wal iyazubillah.
Moga Allah s.w.t memberi ketabahan kepada mereka yang diuji. Dijadikan ruang pahala untuk kalian atas kesabaran, dan dipermudahkan urusan semuanya. Amin.
Catatan :
Ustaz Muhammad Fahmi Amin
Ilmuwan ISLAMI