Kisah Amalan Syahadat Tokku

Selain mengamalkan zikir Tareqat Naqsyabandiah secara istiqamah, ulama tersohor Negeri Terengganu, juga seorang wali keramat iaitu Tukku Paloh juga mengamalkan dan mengembangkan amalan yang disusun oleh ayahnya Tukku Tuan Besar iaitu ‘Syahadat Tukku’.

Amalan Syahadat Tukku ini pernah menjadi kontroversi apabila salah seorang pembawa amalan ini dihadap ke mahkamah kerana dituduh sesat.

Peristiwa ini berlaku kepada Tuan Haji Hussein Haji Matyang mengembangkan amalan ini di Kampung Gong Ubi Keling, Besut di mana dalam masa yang singkat saja sudah meriah dengan ramai pengikut.

Tuan Haji Hussein tidak menolak kemungkinan tindakan yang dikenakan ke atas dirinya itu didorongoleh iri hati dan hasad dengki orang-orang tertentu kerana surau yang baru beliau bangunkan lebih meriah berbanding dengan surau-surau lain. Mereka mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan keatas beliau (Haji Hussein) atas alasan yang batil dan fitnah.

Mengenang peristiwa pahit yang berlaku pada sekitar tahun 1950 itu, Haji Hussein bercerita:

“Hampir seribu orang yang berada di Mahkamah Kadhi Besut untuk mendengar keputusan perbicaraan saya yang dituduh sesat kerana mengamalkan Syahadat Tukku ini.

Orang ramai nampak cemas kerana peristiwa ini besar dan kali pertama berlaku di Besut. Menurut Haji Hussein, sewaktu perbicaraan, beliau disuruh membaca segala amalan yang diamalkannya selama ini. “Saya pun membaca habis satu persatu bermula dengan ratib Al Hadad, Burdah dan akhirnya Syahadat Tukku. Selesai saya membaca semuanya, Hakim Cik Awing yang juga Kadhi Besut itu berkata:

“Apa yang Tuan Haji baca itu ada pada saya.”

Rupa-rupanya Tuan Hakim Cik Awing juga mengamalkan ratib Al Hadad dan Syahadat Tukku.

Kemudian saya dibebaskan tanpa sebarang tindakan yang dikenakan malah nampaknya tuan hakim itu pula yang seolah-olahnya menggalakkan amalan ini diteruskan. Mendengarkan keputusan yang benar itu maka orang ramai di luar mahkamah turut bersyukur dan ada yang menitiskan air mata gembira, cerita Haji Hussein”.

Syahadat Tukku yang disusun oleh wali ALLAH (Tokku Tuan Besar, ayah kepada Tokku Paloh) itu terus popular di kalangan orang yang arif di banyak tempat dalam negeri Terengganu.

Amalan yang menjelaskan unsur-unsur tauhid dan pembersihan hati yang amat diperlukan oleh seorang hamba terhadap Tuhannya, ALLAH SWT.

Ulama Regu Sultan Tokku Paloh
https://youtu.be/SYU7yYJxjd0

Kredit : Muhammad Mubarak, Ubadiah TV Channel, 7 Wali Melayu, Abd Ghani Said.