B I L A A N A K T A N Y A
Apabila anak kita bertanya, “Mengapa kita memberikan perhatian kepada Palestin dan selalu mengikuti isu semasa di Baitulmaqdis?”
Apa jawapan kita?
Ceritakan kepada anak kita;
“Wahai anakku, sesungguhnya Palestin adalah tempat tinggal para Nabi”
“Nabi kita Ibrahim عليه السلام hijrah ke Palestin”
“Nabi Lut عليه السلام diselamatkan oleh Allah dari azab yang turun pada kaumnya menuju bumi yang diberkati, iaitu bumi Palestin”
“Nabi Daud عليه السلام tinggal di Palestin dan membangun mihrabnya”
“Dan Nabi Sulaiman عليه السلام memerintah seluruh dunia dari Palestin, kisahnya yang popular berkaitan semut yang berkata, ‘Hai semut, masuklah ke tempat tinggal kalian.’ Tempat yang disebut dengan Wadi an-Naml (Lembah Semut) itu terletak di Palestin dekat Asqalan”
“Di Palestin juga, terdapat mihrab Zakaria عليه السلام, sebagaimana Musa عليه السلام meminta kaumnya memasuki Bumi Muqaddasah, beliau menamakan dengan Al-Muqaddasah, iaitu (suci) dari syirik, dan dijadikan tempat tinggal para Nabi”
“Banyak mukjizat yang terjadi di dalamnya, di antaranya kelahiran Nabi Isa عليه السلام dari ibunya Maryam, seorang gadis tanpa suami, dan Allah mengangkatnya ketika Bani Israil sepakat untuk membunuhnya”
Di Palestin, Maryam menggoyang batang pohon kurma setelah kelahirannya dalam keadaan paling lemahnya wanita”
“Termasuk tanda-tanda akhir zaman di Palestin, Nabi Isa عليه السلام akan turun di menara putih, dan akan membunuh Dajjal di gerbang Lod Palestin, serta banyak cerita lain yang pernah terjadi di Palestin, di antaranya kisah Talut dan Jalut”
Anak kita bertanya, “Bagaimana dengan Nabi ﷺ dan hubungannya dengan Palestin?”
Jawab, “Dulu kiblat pada awal diperintahkannya solat adalah menghadap ke Palestin, dan ketika Nabi ﷺ hijrah ke Madinah, Malaikat Jibril turun dan beliau sedang solat, Jibril memerintahkan untuk mengubah kiblat dari Baitulmaqdis ke Mekah Al-Mukarramah lalu masjid tempat Baginda ﷺ solat dinamakan Masjid Dzulqiblatain (dua kiblat)”
“Demikian juga ketika Rasulullah ﷺ melakukan Israk, beliau pergi ke Baitulmaqdis sebelum Mikraj ke langit. Inilah terminal pertama Baginda ﷺ berhenti setelah berangkat dari Mekah sebelum menuju ke langit, dan Baginda ﷺ menjadi imam solat para Nabi”
Abu Dzar رضي الله عنه bertanya kepada Rasulullah ﷺ, “Masjid mana yang pertama kali diletakkan oleh Allah di muka bumi?” Nabi ﷺ menjawab, “Masjidil Haram.” Aku bertanya lagi, “Kemudian masjid mana?” Nabi ﷺ menjawab, “Masjidil Aqsa.” Aku bertanya lagi, “Berapa jarak antara keduanya?” Nabi ﷺ menjawab, “40 tahun.” Kemudian Baginda ﷺ bersabda, “Di manapun solat menjumpaimu, maka solatlah dan bumi bagi kalian adalah masjid.”
“Wahai anakku, apakah kamu tahu bahawa Abu Bakar As-Siddiq رضي الله عنه meskipun sibuk dengan masalah kemurtadan orang-orang Arab di Jazirah Arab dengan menyediakan pasukan untuk memerangi mereka agar kembali kepada Islam yang benar, beliau tidak membatalkan pasukan yang diperintahkan Nabi untuk pergi ke Syam, meskipun memerlukan kekuatan untuk mengembalikan kestabilan Jazirah”
“Apakah kamu tahu masa keemasan penaklukan Islam di masa Umar Al-Faruq رضي الله عنه, beliau tidak pernah keluar dari Madinah untuk merayakan penaklukan (pembukaan) negeri kecuali Palestin, beliau pergi ke sana sendiri dan membukanya dengan damai, solat di dalamnya dan menerima kunci untuk menyelamatkan orang-orang Nasrani dari penindasan orang-orang Rom saat itu
Kemudian dibuka lagi oleh Salahuddin Al-Ayyubi di hari bersejarah tahun 583H hari Jumaat bertepatan dengan tanggal 27 Rejab, tanggal yang sama dengan malam Mikrajnya Nabi ﷺ ke langit melalui Baitulmaqdis. Ini merupakan fakta yang ajaib yang mana Allah memudahkan pengembalian Al-Quds kepada pemiliknya sama seperti waktu Israk dan Mikraj”
Anak kita bertanya lagi, “Kenapa dinamakan dengan Baitulmaqdis?”
Jawab, “Nama ini telah ada sebelum turunnya Al-Quran, ketika Al-Quran diturunkan, ia disebut Masjid Al-Aqsa, dan dinamakan Baitulmaqdis kerana kesuciannya yang istimewa. Oleh kerana itu, tanah Palestin dan Syam adalah tanah Ribat, telah syahid di dalamnya 5,000 dari kalangan para sahabat رضي الله عنهم yang mulia, mereka bersemangat untuk membuka Baitulmaqdis dan membebaskannya daripada penindasan Rom. Para syuhada masih berguguran sampai hari ini, inilah tanah para syuhada dan tanah ribat”
Anak kita berkata, “Jadi, pentingnya Masjid Al-Aqsa dan bumi Syam seperti pentingnya Haramain, Mekah dan Madinah?”
Jawab, “Ya, anakku. Allah mengumpulkan keduanya dalam firmanNya, ‘Demi buah Tiin dan buah Zaitun. Dan Gunung Tursina. Serta demi negeri (Mekah) yang aman ini’.” (At-Tiin 95:1-3)
Ibnu Abbas رضي الله عنه berkata, “At-Tiin adalah negeri Syam, Az-Zaitun negeri Palestin, Gunung Tursina adalah gunung di mana Allah berbicara kepada Musa عليه السلام di Mesir, dan Al-Balad Al-Amin adalah Mekah Al-Mukarramah”
Allah berfirman, “Dan demi sesungguhnya, Kami telah tulis di dalam Kitab-kitab yang Kami turunkan sesudah ada tulisannya pada Lauh Mahfuz: Bahawasanya bumi itu akan diwarisi oleh hamba-hambaKu yang soleh” (Al-Anbiyaa’ 21:105)
Anak kita berkata, “Sekarang saya faham pentingnya Palestin dan Masjid Al-Aqsa, sebagaimana saya faham bahawa solat di dalamnya dilipatgandakan menjadi 500 kali ganda, apakah ini benar?”
Jawab, “Ya nak, itu benar, dan jangan kamu lupakan anak-anak Palestin dan penduduknya dari doamu. Semoga Allah memberkatimu”
Semoga Allah sentiasa memberkati, merahmati dan melindungi saudara-saudara kita di Palestin
Kredit : Group Ustaz Ebit Lew