HUKUM ARAK DICAMPUR KE DALAM MASAKAN MENJADI HARUS ?
Ada video yang ditularkan berkenaan soalan yang diajukan kepada seorang pendakwah dalam satu rancangan agama di TV berbayar mengenai hukum arak yg dicampur dalam makanan.
Jawapan yang diberikan oleh pendakwah berkenaan mengelirukan apabila beliau menjawab harus kerana arak tersebut telah berubah dari aspek kimia dan menjadi bahan lain. Beliau menyamakannya dengan arak yg dicampur bahan lain untuk mempercepatkan proses menjadi cuka. Beliau mungkin merujuk kepada pandangan segelintir ulama yang menyebutkan perkara tersebut sebagai satu bentuk istihalah (perubahan total sesuatu bahan kepada bahan lain).
Namun pandangan ini tersasar kerana tidak berlaku istihalah dalam proses masakan, ia hanya sekadar proses percampuran yang tidak menghilangkan zat arak. Apa yang berlaku ialah mungkin sebahagian juzuk alkohol (etanol) dalam arak tersebut sahaja yang tersejat (evaporated), bergantung kpd jenis masakan. Jika semua juzuk etanol tersejat pun, ia tidak menghilangkan ‘ain arak berkenaan. Buktinya kesan arak tersebut masih berbaki dalam bentuk rasa/ flavour.
Antara tujuan dicampur arak (biasanya wine dan whiski) dalam masakan ialah untuk menambah perisa/ flavour dalam masakan ala barat/ oriental dan mengekalkan kelembapan/moist dalam produk spt kek dsb. Jika didakwa berlaku perubahan kimia hasil proses masakan, ia tidak relevan kerana ‘ain zat/ain arak masih kekal walaupun struktur kimianya mungkin berubah. Nama araknya pun masih kekal (cth red wine chocolate cake) dan sekaligus tidak berlaku istihalah yg sempurna.
Arak adalah najis, jadi hukum mencampur arak dalam makanan adalah haram dan menajiskan makanan. Justeru, hukum memakan makanan juga tersebut adalah haram.
Arak yg dicampur dalam masakan berbeza dengan proses pencukaan walaupun bahan asalnya melalui fasa arak. Cuka telah melalui proses istihalah yg sempurna dan mengubah sifat, struktur kimia dan namanya. Cuma jika dicampur dengan bahan lain utk mempercepatkan proses pencukaan, ada khilaf ulama, ada yg mengiktiraf berlaku istihalah (Hanafi dan Maliki) dan ada yang tidak mengiktiraf (Shafii dan Hanbali).
Arak sikit atau banyak adalah haram, walaupun tidak memabukkan. Jangan terkeliru dengan kefahaman salah yg mengatakan jika tak mabuk tak mengapa, kerana ia jelas bertentangan dengan nas hadis sahih:
ما اسكر كثيره فقليله حرام
“Apa yang dalam kuantiti banyak memabukkan, maka jika sedikit pun haram.”
Pandangan yg mengatakan berlaku istihalah arak bila dicampur dalam masakan adalah pandangan yang bahaya dan membuka jalan-jalan ke arah penggunaan arak yang berleluasa dalam masyarakat Islam terutama dalam kalangan mereka yang agak longgar kefahaman agama. Ia jelas bertentangan dengan maqasid pengharaman arak dan ketuntasan (qat’iyyah) pengharamannya dalam nas.
Sekarang ini juga banyak produk di pasaran yang dicampur dengan arak, terutama aiskrim dan cokelat. Hukumnya sama, asal ada dicampur arak, tetap haram. Tiada istihalah berlaku. Jangan bermudah mudahan menempelkan istilah istihalah dalam isu penggunaan arak dalam makanan.
Semoga kita jelas tentang isu ini. Wallahu a’lam.
Dr Saadan Man
P/S – Ada sesiapa tahu video siapa yang memandai keluar pandangan arak boleh jadi harus bila dicampur dalam masakan ni ?