BILAKAH ORANG MELAYU KALI PERTAMA MENGERJAKAN HAJI?

Sempena Hari Raya Haji ini, saya ingin menjawab tentang persoalan di atas.

Dakwah Islam telah sampai ke Alam Melayu pada abad ke-7 Masihi lagi seperti mana yang dinukilkan oleh Syed Naqib al-Attas, Sayyid Alwi bin Tahir Al Haddad, Hamka dan ramai lagi.

Kerajaan Islam pertama pula dicatatkan tertubuh pada abad ke-9 Masihi iaitu Kesultanan Perlak. Pada abad ke-12, Raja Kedah mula memeluk Islam. Pada abad ke-14 Masihi, Ibnu Battutah telah mencatatkan betapa kuatnya pegangan agama Islam oleh Kerajaan Samudera Pasai.

Dalam tempoh tersebut (abad ke-7 hingga 14), sudah pasti bangsa Melayu sudah pun menunaikan ibadah Haji di Mekah memandangkan ibadah Haji merupakan satu ibadah yang penting kerana termasuk dalam rukun Islam.

Tambahan pula aktiviti pelayaran merupakan salah satu kepakaran bangsa Melayu suatu ketika dahulu sehinggakan pengkaji seperti Kevin Reilly dan Lynda Shaffer menulis bahawa pelayar-pelayar Melayu telah belayar ke Afrika sebelum Masihi. Malah Lynda Shaffer mendakwa selewat-lewatnya pada abad pertama sebelum Masihi, pelayar-pelayar Melayu telah menetap di persisir Laut Merah.

Namun begitu, tiada catatan sejarah tentang kedatangan jemaah Haji dari Alam Melayu dari abad ke-7 hingga 14 Masihi. Catatan terawal tentang kedatangan jemaah Haji dari Alam Melayu ke Mekah dicatatkan oleh Ludovico di Varthema, pelayar Itali yang hidup sezaman dengan Kesultanan Melaka.

Ludovico di Varthema yang tiba di pelabuhan Jeddah pada tahun 1503 telah mencatatkan bahawa beliau telah melihat rombongan jemaah Haji dari Alam Melayu (Nusantara) di Jeddah. Seterusnya pada tahun 1506, Ludovico di Varthema tiba pula di pelabuhan Kota Melaka. Beliau mencatatkan bahawa sebahagian orang Melaka berpakaian seperti orang Arab.

Tome Pires, penulis Portugis yang juga hidup sezaman dengan Kesultanan Melaka juga mencatatkan bahawa dua orang Sultan Melaka iaitu Sultan Mansur Syah dan Sultan Ala’uddin Riayat Syah meninggal dunia dalam persiapan untuk belayar ke Mekah bagi menunaikan Haji. Jika sultan yang sibuk dengan urusan pentadbiran negara pun pergi menunaikan Haji, apatah lagi para pedagang yang biasa belayar hingga ke Laut Merah.

Selain itu, seorang ahli akademik Harvard yang bernama Dr Barry Fell mendakwa dalam bukunya bertajuk Saga America bahawa terdapat penemuan satu perkataan yang ditulis dengan huruf Arab (Jawi) ditemui terukir di sebuah gua di daerah Corinto, El Salvador iaitu perkataan “Katib Malaka Haji Mi Malayu”.

Berdasarkan penemuan tersebut, Dr Barry Fell merumuskan bahawa seorang pelayar dari Alam Melayu telah sampai ke benua Amerika sebelum Columbus. Jika dakwaan ini benar, nama Katib Malaka Haji Mi Malayu (?) itu jelas sekali membawa maksud seorang penulis Melaka yang telah mengerjakan Haji.

https://www.facebook.com/1793962151/posts/10216382278908258/?d=n

Kredit : Hasanuddin Yusof
Maktab Penyelidikan
Tamadun Alam Melayu dan Islam