-IBNU MULJAM MODEN-

Ramai yang menyangka bahawa si pembunuh Amirul Mukminin Saidina Ali RA pada asalnya memang seorang yang jahat, tetapi sebaliknya. Si pembunuh yang dimaksudkan ialah Abdul Rahman bin Muljam al-Muradi yang pada awalnya cukup dikenali sebagai ahli ibadah yang sangat taat pada perintah Allah. Selain itu juga beliau merupakan ahli al-Quran yang mengajar al-Quran pada umat Islam pada ketika itu.
.

Suatu hari Gabenor Mesir, Saidina Amr bin al-‘As RA mengirim surat kepada Amirul Mukminin Saidina Umar RA agar menghantar seseorang paling layak untuk mengajar al-Quran kepada masyarakat Mesir. Kemudian Saidina Umar mengutus Ibnu Muljam sebagai memenuhi permintaan Gabenor Mesir.
.

Ibnu Muljam juga dikenali sebagai seorang yang sangat kuat beribadah, siang hari disibukkan dengan berpuasa, manakala malam pula dengan bacaan al-Quran dan solat malam. Lidahnya tidak putus dengan zikrullah seolah-seolah beliau merupakan ahli ibadah yang tiada tolok bandingnya pada zaman itu.
.

Tetapi sayang ibadah dan ketaatannya tidak disertai dengan kefahaman Islam yang sebenarnya menyebabkan Ibnu Muljam sangat taksub dengan ibadah, sehinggakan beliau terpengaruh dengan ideologi sesat Khawarij yang sangat ketat dalam perihal agama. Hanya pendapat dia dan kelompoknya(khawarij) sahaja yang benar, yang lain semuanya salah dan sesat meski pun sahabat Nabi sekalipun.
.

Kerana terpengaruh dengan pemikiran yang sesat inilah menyebabkan beliau terlibat dengan komplot pembunuhan pemimpin-pemimpin umat Islam ketika dan beliau dimandatkan untuk membunuh Saidina Ali RA. Manakala al-Hajjaj al-Tamimi ditugaskan untuk membunuh Saidina Muawiyah bin Abu Sufyan RA.
.

Pada 19 Ramadan 40h, Ibnu Muljam telah membunuh Khalifah Rasulullah yang ke-4 yang mana ketika itu beliau sedang mendirikan solat Subuh. Selepas kejadian itu Saidina Ali RA cedara parah dan wafat tiga hari selepas kejadian.
.

Ketika menikam Saidina Ali RA, Ibnu Muljam membaca ayat suci al-Quran dari surah al-Baqarah, ayat 207:

وَمِنَ النَّاسِ مَنْ يَشْرِي نَفْسَهُ ابْتِغَاءَ مَرْضَاتِ اللَّهِ وَاللَّهُ رَءُوفٌ بِالْعِبَادِ

“Dan di antara manusia ada orang yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredhaan Allah dan Allah Maha Penyantun kepada hamba-hamba-Nya.”
.

Ketika saat hukuman qisas dijatuhkan ke atasnya, Ibnu Muljam sedikit pun tidak kesal dan rasa berdosa atas perbuatannya yang membunuh pemimpin yang amat dicintai oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam, bahkan merupakan Ahlu Bait Baginda yang jelas mempunyai kedudukan istimewa di sisi Allah dan Rasul-Nya sepertimana yang dinyatakan dalam banyak hadis yang sahih. Malah Ibnu Muljam tetap yakin perbuatannya itu mendapat keredhaan Allah dan syurga-Nya.
.

Imam al-Dzahabi berkata mengenai Abdul Rahman bin Muljam:

“Sebelum ini dia seorang ahli ibadah, taat kepada Allah ta’ala. Tetapi akhir kehidupannya ditutup dengan kejahatan (Su’ul Khatimah). Dia telah membunuh Amirul Mukminin Ali RA dengan alasan mendekatkan diri kepada Allah Ta’ala. (Mizan al-‘Itidal)


Zaman kini ciri-ciri Ibnu Muljam dapat dilihat dengan ketara yang mana ramai umat Islam yang amat cintakan ibadah dan dakwah, tetapi kesolehannya tidak diiringi dengan pemahaman Islam yang sebenarnya. Akibatnya agama yang dibawa hanya berkonsepkan pemahaman yang dia fahami sendiri, sehinggakan tiada siapa yang benar melainkan diri dan kelompoknya sahaja. Jangankan fatwa mufti malah fatwa para ulama dunia pun tidak diendahkan dan ditentang habis-habisan atas nama ketaatan kepada Allah.
.

Sebagai contoh, pemerintah mengarahkan agar masjid-masjid ditutup demi kemaslahatan umat agar tidak terjebak dengan wabak penyakit yang merbahaya. Seluruh umat Islam mentaati perintah ini dengan penuh taat, manakala Ibnu Muljam moden bersendirian dengan pendiriannya menentang arahan ini bahkan menghasut orang keliling supaya tidak mengendahkan arahan sehingga ada di antara mereka memanjat pagar masjid untuk mengerjakan solat di dalamnya. Tidak kurang juga ada sebahagian surau masih berdegil menjalan aktiviti ibadah tanpa memikirkan nyawa orang lain yang bakal terancam.
.

Tidak ketinggalan segelintir pendakwah menyalah gunakan terma ‘Takutkan Allah’ menyeru umat agar tidak mengendahkan arahan pihak berkuasa yang kononnya lebih ‘Takutkan Virus’ dari Tuhan. Ada juga yang menggunakan nama ‘Dajjal’ kononnya tutup masjid dan surau beerti tunduk kepada fitnah Dajjal. Belum dihitung lagi yang masih berdegil untuk terus menyertai perhimpunan dakwah (di Sulawesi) tanpa memikirkan kebarangkalian risiko yang membahayakan orang ramai. Yang masih berdegil tidak mahu membuat saringan usah dicerita, bagaikan kepalanya itu dicipta dari batu yang amat keras.
.

Akhir kata, bertakwalah kepada Allah, jangan pentingkan diri sendiri, taatlah pada arahan pemerintah selagi ia tidak bertentangan dengan syariat. Semoga Allah mengurniakan kita pemahaman agama yang benar lagi lurus. Semoga Allah melindungi kita semua dari segala malapetaka, azab sengsara dan wabak penyakit.
.

Wallahu A’lam

Kredit :
Abu Ruqayyah Ba ‘Alawi
-Syed Shahridzan Ben-Agil-