Antara adab yang telah diajarkan oleh para ulama kita sejak sekian lama ialah menutup kepala ketika masuk ke tandas. Adab ini bersandarkan kepada hadis Nabi صلى الله عليه وآله وسلم yang daif (didaifkan oleh al-Baihaqi) dan disokong pula oleh athar daripada Sayyiduna Abu Bakar r.a. yang dinilai sebagai sahih oleh al-Baihaqi. Ya, walaupun hadisnya daif, tetapi boleh diamalkan kerana ia termasuk dalam kategori fadail al-a’mal, apatah lagi jika disokong oleh athar yang sahih. Inilah cara faham para ulama. Imam al-Nawawi menjelaskan dalam kitab al-Majmu’:

قال إمام الحرمين والغزالي والبغوي وآخرون : يستحب أن لا يدخل الخلاء مكشوف الرأس ، قال بعض أصحابنا فإن لم يجد شيئا وضع كمه على رأسه ، ويستحب أن لا يدخل الخلاء حافيا ، ذكره جماعة منهم أبو العباس بن سريج في كتاب الأقسام . وروى البيهقي بإسناده حديثا مرسلا ، { أن النبي صلى الله عليه وسلم كان إذا دخل الخلاء لبس حذاءه وغطى رأسه } ” وروى البيهقي أيضا عن عائشة ” { كان النبي صلى الله عليه وسلم إذا دخل الخلاء غطى رأسه … } ” لكنه ضعيف ، قال البيهقي : وروي في تغطية الرأس عند دخول الخلاء عن أبي بكر الصديق رضي الله عنه وهو صحيح عنه ، قلت : وقد اتفق العلماء على أن الحديث المرسل والضعيف والموقوف يتسامح به في فضائل الأعمال ويعمل بمقتضاه وهذا منها .

“Berkata Imam al-Haramain, al-Ghazali, al-Baghawi dan lain-lain: Mustahab tidak masuk ke dalam tandas dalam keadaan kepala terbuka. Berkata sebahagian ashab kami: Jika dia tidak mendapati sesuatu (untuk menutup kepalanya), dia boleh meletakkan lengan bajunya di atas kepalanya. Dan mustahab juga tidak memasuki tandas dalam keadaan berkaki ayam. Ini disebutkan oleh sebahagian ulama, antaranya Abu al-‘Abbas Ibn Suraij dalam kitab al-Aqsam. Dan al-Baihaqi telah meriwayatkan dengan sanadnya suatu hadis yang mursal bahawa “Nabi صلى الله عليه وآله وسلم apabila masuk ke tandas, Baginda صلى الله عليه وآله وسلم memakai kasutnya dan menutup kepalanya”. Al-Baihaqi juga meriwayatkan daripada Aisyah r.a.: “Apabila Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم masuk ke tandas, Baginda s.a.w. menutup kepalanya…”, tetapi hadis ini daif. Berkata al-Baihaqi: Amalan menutup kepala ketika masuk ke tandas juga diriwayatkan daripada Abu Bakar al-Siddiq r.a. dan riwayat daripada Abu Bakar itu sahih. Aku (al-Nawawi) berkata: Sesungguhnya para ulama telah sepakat bahawa hadis mursal, daif dan mauquf diberikan kelonggaran dalam bab fadail amal dan tuntutan (yang terdapat dalam hadis itu) boleh diamalkan dan perkara ini (iaitu masalah menutup kepala ketika masuk tandas) termasuk dalam kategori tersebut”.

Bukan ulama mazhab Syafie sahaja yang faham begini, bahkan para ulama mazhab lain juga faham dengan cara yang sama. Oleh sebab itulah mereka menyebutkan kesunnahan atau mustahab-nya menutup kepala ini dalam kitab-kitab mereka (dengan lafaz yang berbeza). Antara ulama mazhab lain yang menyebutkan tentang perkara ini ialah: al-‘Allamah Ibn ‘Abidin (ulama Hanafi) dalam Radd al-Muhtar (jil.1, hal.559, Dar ‘Alam al-Kutub), Syams al-Din al-Karlani al-Khawarizmi (ulama Hanafi) dalam al-Kifayah Fi Sharh al-Hidayah (jil.1, hal.386), al-Fatawa al-Hindiyyah (jil.1, hal. 56), al-Nasafi (ulama Hanafi) dalam al-Bahr al-Raiq (jil.1, hal.422), al-Sowi (ulama Maliki) dalam Bulghah al-Salik Li Aqrab al-Masalik (jil.1, hal.63), al-Dusuqi (ulama Maliki) dalam Hasyiah-nya ke atas al-Sharh al-Kabir (jil.1, hal.176), al-Bahuti (ulama Hanbali) dalam Kasyaf al-Qina’ (jil.1, hal.67 dan dalam jil.5, hal.219), Ibn Qudamah dalam al-Mughni (jil.1, hal.226, Dar ‘Alam al-Kutub), Mar’i al-Maqdisi (ulama Hanbali) dalam Nayl al-Maarib (hal.320), Syaraf al-Din Abu al-Naja al-Hajjawi al-Maqdisi (Hanbali) dalam al-Iqna’ Li Talib al-Intifa’ (jil.1, hal.22), al-Mardawi dalam kitabnya al-Insaf Fi Ma’rifat al-Rajih Min al-Khilaf (jil.1, hal.97) dan lain-lain (kesemua rujukan yang disebutkan ialah mengikut cetakan Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah melainkan yang dinyatakan cetakan lain).

Lagipun, jika dikatakan bahawa perbuatan menutup kepala ketika masuk ke tandas itu adalah perbuatan Sayyiduna Abu Bakar r.a. sekalipun, memang wajarlah kita mencontohinya kerana Nabi صلى الله عليه وآله وسلم sendiri memerintahkan kita mencontohi para khulafa rasyidin sebagaimana dalam hadis yang sahih: “Hendaklah kamu mengikut sunnahku dan sunnah khulafa rasyidin (Abu Bakar, Umar, Usman dan Ali r.a.) yang mendapat petunjuk. Gigitlah (Peganglah sungguh-sungguh) dengan gigi geraham”.

Jadi, teruskanlah beramal dengan adab ini yang telah kita pelajari sejak kecil. Ulama kita dah susun cantik dah.

kredit : AbdulRahman Dan UmmuRaihanah