Saintis dan Tabib Pertama Menjadi Syaikhul Azhar: Imam ad-Damanhuri

al-Imam at-Tabib Syaikhul Azhar Ahmad Abdul Mun’im ad-Damanhuri al-Mazahibi al-Azhari(1190h/1776M), pengarang Idhah al-Mubham Syarah Matan Sullam dalam ilmu Mantik terkenal sebagai seorang yang menguasai lebih 70 bidang ilmu. Karyanya termasuk dalam ilmu hadis, mantik, kalam, balaghah, perubatan, geologi, kimia, anatomi, matematik, astronomi, dan lain-lain.

Beliau mempelajari ilmu perubatan sehingga menjadi pakar daripada gurunya al-Hakim Ahmad al-Qarafi di Dar as-Syifa’ Mesir. Beliau membaca al Mujaz Fi at-Tib, al-Qonun Ibn Sina, dan lain-lain. Beliau juga mempelajari ilmu senibina dan ilmu al-Bi’ah(environment/ecology) daripada as-Syaikh Salamah al-Fayyumi al-Muhandis, serta ilmu botani dan zoologi daripada as-Syaikh Muhammad as-Syahimi.

Kebanyakan karya-karya beliau masih lagi di alam manuskrip (ada dalam koleksi saya) antaranya kitab beliau dalam ilmu aqidah al-Qaul al-Mufid Fi ad-Durrat at-Tauhid. Kitab Nihayat at-Ta’rif bi Aqsam al-Hadith ad-Dhaif, dalam ilmu mustalah hadis.

Begitu juga karya beliau dalam ilmu geologi dan hydrology berjudul Ainul Hayah Fi Istinbat al-Muyah, kitab al-Qoul as-Sorih Fi Ilm at-Tashrih dalam bidang anatomi, kitab ad-Durrat al-Yatimah Fi as-San’ah al-Karimah dalam ilmu kimia, dan kitab Manhaj as-Suluk Fi Nasihat al-Muluk dalam ilmu politik dan tatanegara.

Antara manuskrip menarik beliau yang saya miliki juga adalah al-Kalam al-Yasir Fi ‘Ilaj al-Maq’adah wal Bawasir, sebuah karya penting dalam ilmu Urology(cabang ilmu perubatan – kepakaran rawatan saluran kelamin) dan Proctology (kepakaran dalam rawatan penyakit saluran dubur seperti buasir), begitu juga kitab al-Qoul al-Aqrab Fi’ Ilaj Las’il Aqrab dalam rawatan bagi sengatan kala jengking.

Beliau juga digelar as Syaikh al Mazahibi, kerana menguasai fekah 4 mazhab dan menjadi rujukan autoriti bagi keempat-empat mazhab. Radhiallahu ta’ala ‘anhu.

Rujukan:
عجائب الآثار – لعبد الرحمن الجبرتي
النور الأبهر في طبقات شيوخ الجامع الأزهر – العلامة محيي الدين الطعمي
كنز الجوهر في تاريخ الأزهر – سليمان رصد الزياتي
تاريخ الجامع الأزهر – محمد عبد الله عنان
الجامع الأزهر نبذة في تاريخه – محمود أبو العيون

Kredit : Azam Azhary