Kenapa para ulama meriwayatkan kepada kita hingga ke batang tubuh baginda Rasulullah atasnya selawat dan salam .
Jawapan :
Setakat ini saya tak pernah jumpa apa-apa pendapat ulama dalam riwayat mereka daripada mana-mana kitab , kalau ada kongsikan di sini bersama alfaqir untuk pengetahuan semua bersama .
Cuma di sini apa yang terlintas dalam fikiran sahaja .
Pertama : besar dan agungnya risalah yang dibawa oleh baginda , hinggakan kepada batang tubuh baginda para ulama meriwayatkan kepada kita agar tidak timbul ruang kepada pencela kemudian hari untuk mencela batang tubuh baginda , seterusnya mencela dan menafikan Risalah baginda , tidak ada ruang langsung ke arah itu , ditutup rapat oleh para ulama periwayat hadis .
Oleh itu , tidak ada lagi suara sumbang yang mengambarkan sosok Nabi dengan cara yang sengaja atau tidak , seterusnya boleh merosakkan kefahaman masyarakat tentang risalah baginda .
Kedua : sempurnanya batang tubuh baginda mengambarkan sempurnanya risalah baginda , seterusnya wahyu Allah dapat diterima oleh masyarkat dengan baik .
Ketiga : bagaimana umat islam khusus para ulama sangat mengambil berat tentang risalah baginda hinggakan soal batang tubuh baginda juga diriwayatkan kepada kita , begitu teliti para ulama perawi ini , hinggakan berapa urat uban di atas kepala baginda ditulis oleh mereka .
Keempat : umat akhir zaman , walaupun tidak dapat berada pada zaman baginda tapi masih dapat mengetahui risalah baginda dan sosok agung Rasul akhir zaman ini , dengan itu tidak ada lagi siapa yang mahu temberang tentang Baginda .
Kelima : betapa tingginya kecintaan para ulama ini , hinggakan anak- anak mereka pun tidak diketahui secara detail , lebih daripada apa yang mereka tahu tentang Baginda Rasul atasnya selawat dan salam .
Keenam : menanam kecintaan umat kepada Baginda , kerana membencinya adalah kufur , dan sosok yang mereka cintai adalah sempurna zahir dan batin .
Ketujuh : menzahirkan keistemewaan makhluk Allah yang sempurna zahir dan batin , kerana baginda adalah semulia-mulia makhluk ciptaanNya , Baginda adalah habib ( kekasih ) Allah .
Kelapan : jafa’ ( keras hati tiada perasaan ) siapa yang hanya mahu bercerita tentang risalah Baginda , tapi tidak mahu bercerita tentang syamail Baginda , menyebabkan mereka tidak dapat menghayati makna rahmat yang ada disebalik risalah baginda .
Kesembilan : Baginda adalah hadiah Allah kepada umat manusia akhir zaman dan kita adalah umat Rasul agung terakhir utusanNya .
Oleh itu bergembiralah .
Yang lain sambung sendiri .
اللهم صل على محمد وعلى آله وصحبه وسلم .
والله أعلم .