Antara faedah berharga yang dikongsikan kepada kami oleh Al-Fadhil Maulana Abdul Manan Lubis bin Kasri حفظه الله تعالى ورعاه ذخراً للمسلمين ialah tentang keistimewaan kitab فتح المعين شرح قرة العين karangan al-Imam Al-Malibari رضي الله تعالى عنه dan kedudukannya di antara teks pengajian Feqah Mazhab Syafie.

Kata beliau: sesiapa yang boleh membaca kitab Fathu Al-Muin, maka dia akan boleh membaca semua kitab feqah dalam Mazhab Syafie. (انتهى)

Kitab ini bukan sahaja popular sebagai teks pengajian di bumi Malabar, India bahkan tersebar di serata tempat pengajian bermazhab Syafie samada di Makkah, Al-Ahsa, Yaman, Nusantara (Tanah Melayu, Sumatera, Jawa dan Kalimantan)

Saya pernah mendengar daripada guru kita Syeikh Wan Samsuri bin Wan Abdul Ghani حفظه الله تعالى (Mantan Syeikh Pusat Pengajian Pondok YIK) bahawa tiada (tidak ramai?) ulama Kelantan yang mengajarkan teks ini sebelum Sayyid Abu Bakar Syata Al-Dimyati رحمه الله تعالى رحمة واسعة menyusun hasyiah إعانة الطالبين untuk membantu penuntut ilmu merungkai ibarat kitab ini.

Katanya lagi: … kecuali Tok Wan Ali Kutan (Syeikh Ali bin Abdul Ghaafur Al-Kelantani) رحمه الله تعالى beliau antara ulama Kelantan yang bertumas menyebarkan ilmu di Makkah yang mengajar kan kitab Fathu Al-Muin sebelum beredarnya hasyiah إعانة الطالبين.

Tambah Syeikh Wan Samsuri lagi: faktor ini ialah kerana ‘kegagahan’ Tok Wan Ali dalam ilmu alat dan bahasa Arab. انتهى بالمعنى

Menurut Syeikh Zakaria Bila (pengarang الجواهر الحسان) Syeikh Soleh Idris Al-Kelantani @ Pak Nik Leh atau Tok Tikat Muda telah mempelajari kitab Fathu Al-Muin ini di Mekkah dengan datuk beliau sendiri iaitu Tok Tikat Tua. ( Kampung Tikat ialah sebuah kampung di jalan Kota Bharu menuju Kuala Besar)

Patut dicatatkan disini bahawa sewaktu kitab Hasyiah إعانة الطالبين dicetak anak saudara kepada isteri Tok Wan Ali iaitu Syeikh Ahmad al-Fathani رحمه الله تعالى telah mencantumkan syair pujian terhadap penyusunnya iaitu Sayyid Bakri Syata dan gurunya Sayyid Ahmad Zaini Dahlan dalam bait-bait taqriz yang diabadikan dalam kebanyakan cetakan lama hasyiah tersebut.

Selepas beredarnya hasyiah tersebut, ahli ilmu di Kelantan mula memberi tumpuan kepada kitab Fathu Al-Muin secara lebih meluas…

Kredit : Ahmad Fuad bin Amran