KENAPA IMAM AL-GHAZALI MENGARANG KITAB IHYA’ ULUMIDDIN?
.
Ihya’ ‘Ulumiddin (karya Imam al-Ghazali) merupakan karya yang luar biasa penerimaannya di kalangan kaum muslimin sejak zaman pengarangnya hingga ke hari ini. Banyak ulamak menghasilkan ikhtisar (ringkasan) bagi Ihya’, termasuk tokoh-tokoh yang mengkritiknya.
.
Imam Ibnul Jauzi mengkritik Ihya’ kerana turut memuatkan hadis2 yang tidak sabit dari Nabi SAW, namun beliau kemudiannya meringkaskan Ihya’ menjadi kitab Minhaj al-Qasidin. Setelah itu Imam Ibnu Qudamah meringkaskan pula Minhaj itu menjadi Mukhtasar Minhaj al-Qasidin. Hari ini ramai yang mempelajari kitab Mukhtasar Minhaj al-Qasidin (termasuk terjemahan Melayunya) tanpa mengetahui ia sebenarnya dari Ihya’ (Imam al-Ghazali). Kitab Mau’izatul Mukminin (Bimbingan Mukminin) karya Syeikh Jamaluddin al-Qasimi juga berasal dari Ihya’.
.
Syeikh S’aid Hawa turut menulis ringkasan Ihya’, diberi judul al-Mustakhlas Fi Tazkiyat al-Anfus. Terbaru adalah ringkasan Ihya’ oleh Syeikh Soleh al-Syami berjudul al-Muhazzab min Ihya’ Ulumiddin (2 jilid). Dikatakan Imam al-Ghazali sendiri turut meringkaskan Ihya’nya diberi judul al-Lubab. Namun ada ulamak berkata; ringkasan al-Lubab bukan karya Imam al-Ghazali. Banyak lagi ringkasan Ihya’ dihasilkan ulamak, tidak dapat kita senaraikan di sini. Berkat ilmu Imam al-Ghazali akan berkekalan hingga akhirat, insya Allah.
.
Di awal kitab, Imam al-Ghazali menjelaskan kenapa dia menghasilkan Ihya’? Kata beliau; “Para ulamak adalah penunjuk jalan, kerana mereka adalah pewaris2 Nabi SAW. Namun ulamak-ulamak sebegitu tidak ada lagi. Yang ada ialah orang2 yang berpenampilan seperti ulamak, namun kebanyakan mereka telah ditewaskan Syaitan. Merekalah yang membina anggapan kepada orang ramai bahawa ilmu (agama) tidak lain hanyalah fatwa-fatwa….Adapun ilmu penunjuk jalan ke akhirat, yang dilalui para Salaf Soleh dahulu, ilmu yang dinamakan Allah di dalam kitabNya sebagai fiqh, hikmah, ilmu, cahaya, nur, hidayah dan rusyd maka ilmu itu seolah telah digulung, dilupai, tidak dihiraukan lagi. Oleh kerana hal ini merupakan lompang/cacat yang ketara dalam agama, maka aku melihat betapa perlu daku bertungkus-lumus menulis sebuah kitab untuk menghidupkan kembali ilmu-ilmu agama (Ihya’ Ulumiddin) dan membentangkan kembali manhaj Para Imam-Imam terdahulu (al-Aimmah al-Mutaqaddimin)”.
.
Imam al-Ghazali bertungkus lumus menghasilkannya, maka marilah kita pula bertungkus lumus membacanya, insya Allah.

Kredit : Ahmad Adnan Fadzil