INI ADALAH CORETAN MENGENAI HIERARKI
SUPAYA SAYA SEDAR DIRI

Dalam sistem pemerintahan, ada hierarki. Jika di Malaysia, peringkat Persekutuan, bermula hierarki dengan DYMM Yang diPertuan Agong, seterusnya Perdana Menteri, Menteri Kanan, Menteri, Timbalan Menteri dan seterusnya. Pendapat Timbalan Menteri pada dasarnya tak boleh menyanggah Menteri dan ke atas. Bahasa umum, semua ini adaah pemerintah, namun setiap pemerintah ada hierarkinya. Dalam sistem ketenteraaan, kepolisan, bomba dan lain-lain juga ada hierarki. Dalam syarikat, sekolah, semua ada hierarki. Faham kan?

Maka begitu juga sistem keilmuan, setiap ulama ada hierarki yang disebut (tobaqāt) طبقات, lalu para ulama setiap mazhab akan disusun mengikut tobaqāt. Dasarnya jika dilihat dalam Mazhab al-Shāfii, sebagaimana disebut oleh Imām Tāj al-Dīn al-Subkī dalam karyanya Tobaqāt al-Shāfiiyyah al-Kubrā ialah:

  1. Mujtahid Mutlaq
  2. Mujtahid Muntasib
  3. Aśhāb al-Wujūh
  4. Mujtahid al-Fatwā
  5. Ahl al-Tarjīh
  6. Ahl al-Naqlah

Sebahagian ulama secara umum, membahagikan tobaqāt sebagaimana berikut:

  1. Mujtahid Mutlaq Mustaqil
  2. Mujtahid Mutlaq Ghayr Mustaqil
  3. Mujtahid Muqayyad (dikenali Aśhāb al-Wujūh)
  4. Mujtahid Takhrīj
  5. Mujtahid Tarjih (dikenali Ahl al-Tarjīh)
  6. Mujtahid al-Fatwā
  7. Muqallid

Kenapa perlu kenali tobaqāt ini?

  1. Supaya kita kenali diri kita agar jangan fatwa tanpa ilmu.
  2. Supaya kita kenal tingkatan ulama. Ulama juga ada martabat dan tingkatan masing-masing. Bukan semua pendapat ulama boleh diambil dan dibuat pegangan, bahkan ada sebahagian yang tidak mengenali, mereka sebarangan meletakkan qawl ini mutamad sedangkan qawl itu hanya masyhur sahaja, bukan mutamad. Maka dengan ini kita kenali pendapat mana yang boleh dipegang dan yang tak boleh dipegang kerana percanggahan pendapatnya dengan pendapat yang lebih mu`tamad berdasarkan tingkatan/tobaqāt. Ini kerana tobaqāt dalam keilmuan adalah berdasarkan keupayaan ilmu para ulama.

Kita analogikan begini. Dalam sebuah Syarikat akan ada tingkatan begini:

  1. Lembaga Pengarah (Board of Directors)
  2. CEO/Ketua Pengarah
  3. COO/Ketua Operasi
  4. Pengurus/Pengarah
  5. Eksekutif Kanan
  6. Eksekutif
  7. Penolong Eksekutif
  8. Pembantu Tadbir

Andaikan kita mengharap bonus, kemudian Eksekutif kata bonus ada. Adakah kita menganggap perkataannya muktamad? Masih belum lagi. Kerana kita pasti akan rujuk kepada yang lebih tinggi seperti COO atau CEO. CEO juga dalam keadaan ini, membuat keputusan ada bonus. Telah muktamad? Belum lagi. CEO perlu bentang keputusan kepada BOD, jika BOD bincang dan buat keputusan sebulat suara ada bonus, maka barulah muktamad.

Lebar lagi perbahasan.

Namun apa yang cuba disampaikan ialah, ulama tetap ulama, tanpa menidakkan ‘izzah (kemuliaan) mereka, namun yang pastinya mereka tidak maśūm. Boleh jadi ada sebahagian pendapat mereka terkhilaf dengan tobaqāt yang lebih tinggi dari mereka, apa lagi terkadang khilaf dengan ijmā, ini berlaku kerana kelemahan mereka. Jika ada sebahagian ulama lain yang menegur/kritik mereka, kita yang peringkat muqallid level-level pembantu tadbir ni, tak payah la nak acah-acah pandai. Kita hormat kritikan sesama mereka, dan kita ikut mana yang muktabar berdasarkan tobaqāt. Jangan asal ada pendapat sahaja, main ambil supaya sesuai dengan kita. Kita bukan Ahl al-Tarjīh. Kena pula kita level awam, belajar pondok tak tamakkun, belajar universiti tak habis, melompat-lompat pula macam kera kena belacan. Yang duduk kat atas tu ‘cool’ je.

Level 1 tu paling sikit kuantiti, paling sikit bercakap, paling susah kerja, paling banyak kerja. Tu yang banyak buat benda berfaedah untuk ummah.

Level 7 tu paling banyak kuantiti, paling banyak bercakap, paling mudah kerja, paling sikit kerja. Tu yang banyak buat benda tak berfaedah untuk ummah.

*tutuplah mesyuarat tingkap tu. ?

Yang tak boleh melompat,

Kredit : Dr Asyran Safwan.