Benarkah sifat 20 Allah yang dipelajari dalam subjek Aqidah di negara kita cuba guna akal yang tak sampai untuk fahami hakikat pada zat Allah?

Sebenarnya yang cuba difahami menggunakan akal adalah dalil Al-Quran yang dinyatakan oleh Allah dan bukan hakikat pada zat-Nya. Dalam kitab Aqidah A’syai’rah Nafi’ Authon ada menyebutkan:

“Maka apakala adalah Tuhan bukannya jirim dan a’radh (istilah aqidah merujuk kepada sifat-sifat yang dimiliki makhluk) maka apakah hakikatnya?

Maka jawablah olehmu pada menolak yang demikian itu iaitu tiada mengetahui akan Allah itu melainkan Allah jua dan katakanlah oleh mu ليس كمثله شيء (Tiadalah Allah meyerupai sesuatu (makhluk)) ila akhirihi (dibaca hingga habis ayat). Dan lemah daripada mendapat itu (memberikan pendapat), maka itulah pendapatan (pendapat) !!!”

Menggunakan akal untuk memahami ayat Allah bukanlah sesuatu tercela bahkan ulamak sememangnya menggunakan akal untuk mengeluarkan hukum halal dan haram dari ayat-ayat Allah dan hadis Nabi S.A.W yang disebut istinbat hukum. Adapun yang tercela ialah guna akal untuk fikir hakikat pada zat Allah.

Dalam hal ini ASWJ Asyai’rah meneliti ayat Allah ليس كمثله شيء dan mendetailkan apa ciri-ciri makhluk kerana Allah menafikan bahawa Allah sama dengan makhluk. Kenapa perlu detailkan ciri-ciri makhluk? Baiklah saya jawab dengan persoalan.. Anggap sahajalah kita tidak pernah melihat burung merpati dan burung helang.. Jadi mampukah kita membezakan diantara burung merpati dan burung helang jika kita tidak tahu apa ciri yang membezakan kedua jenis burung ini?

Bila kita tahu ciri-ciri makhluk maka tahulah kita bahawa Allah tidak mungkin demikian. Apa ciri-ciri makhluk? Menurut A’syairah makhluk itu cirinya ia mempunyai jirim (sesuatu yang mengambil ruang dan masa (time & space)) yang kemudian membentuk jisim halus (spt angin, gelombang & sebagainya) atau jisim kasar (spt meja,manusia,haiwan dan sbgnya), jauhar (sesuatu yang tidak boleh dibahagikan seperti partikel paling kecil) dan A’radh (perkara yang boleh sifati oleh pertanyaan bagaimana? bila? berapa? dan dimana?)

Pentingkah untuk tahu semua ini? Penting! sebab banyak syubhat yang cuba meragukan kita.. saya masih ingat ada seorang individu liberal pernah berkata dalam satu forum bahawa dia rasa mungkin tuhan dalam bentuk gelombang.. SubhanAllah betapa peliknya pandangan ini! Andai individu tersebut tahu ciri-ciri makhluk pasti dia tahu Allah bukan gelombang. Gelombang ialah makhluk.

Jika ada orang yang kononnya Sufi mengaku melihat Allah dalam bentuk cahaya.. dengan mudah kita tahu dia menipu walau dia pakai jubah berserban dan tasbih yang sentiasa ditangan kerana Cahaya itu makhluk dan Allah bukan makhluk. Apa yang dilihatnya bukan Allah. Firman Allah dalam surah Annur tidak boleh difahami secara literal tetapi mesti ditakwil kerana jelas dalam ayat yang lain Allah kata Allah tidak sama dengan makhluk :
اللَّهُ نُورُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ
Allah adalah cahaya langit dan bumi

Justeru itu, dalam tafsir ibnu kathir menyebutkan, sahabat Nabi S.A.W iaitu Ibnu Abbas r.a telah mentakwilkan maksud sebenar bagi ayat ini..iaitu Allah mentadbir keduanya (langit dan bumi)

Begitu juga dengan mudah kita menolak para pentaksub sains yang mengatakan kononnya ada kajian untuk mengkaji “Particles of God”. Ketahuilah Allah itu bukan juga partikel. Apa yang mereka kaji adalah makhluk dan bukan tuhan.

Datanglah apa syubhat pun di masa akan datang. InsyaAllah dengan kaedah yang betul kita akan tahu mana yang benar dan mana yang salah.

WaAllahualam.